Pages

Thursday, 22 May 2014

LORI REMPUH PAGAR RUMAH


SEREMBAN - Seorang wanita terkejut apabila lori tiga tan yang diekorinya semasa pulang dari membeli sarapan kira-kira jam 6.40 pagi semalam, tiba-tiba terbabas dan merempuh pagar rumahnya depan mata sendiri.

Menceritakan semula detik cemas dialami, Hamidah Ab Rahman, 53, berkata, dia hanya pasrah apabila melihat tembok pagar rumahnya musnah sekelip mata dalam kejadian yang berlaku di Batu 6, Jalan Labu-Seremban, dekat sini.

“Ketika itu, saya sedang memandu dari gerai berhampiran dan melihat lori di hadapan saya bergerak semakin lama semakin ke tepi, seolah-olah mencari lokasi sesuai untuk berhenti di bahu jalan.

"Namun jangkaan saya meleset apabila tiba-tiba sahaja lori itu hilang kawalan ketika di kawasan selekoh, sebelum  membelok ke arah rumah saya yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya.

Walaupun terkejut dan bersedih dengan kejadian tersebut, Hamidah tetap bersyukur kerana dirinya tidak terlibat dalam kemalangan itu.

“Tidak dapat dibayangkan, apa akan terjadi jika saya berada di hadapan lori atau sedang membelok masuk ke rumah pada ketika itu,” katanya yang pertama kali melihat kemalangan berlaku depan mata.

Menurut Hamidah, difahamkan lori dinaiki dua beranak yang penuh dengan muatan barangan elektrik itu dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Melaka.

“Paling tidak dapat saya lupakan apabila melihat kaki kanan anak pemandu lori yang terpusing ke belakang dari bahagian lutut ke bawah akibat kemalangan dialami.

“Malah semua yang ada di tempat kejadian turut dikejutkan dengan kehadiran seekor anak ular yang menyelinap masuk ke dalam lori dan menuju ke arah remaja berkenaan, tetapi mujurlah salah seorang jiran bertindak pantas membuang ular tersebut,” katanya.

Sementara itu, bapa mertua Hamidah, Md Sari Naim, 87, pula berharap pihak berwajib memasang pengadang keselamatan di sepanjang bahu jalan memandangkan kemalangan kerap berlaku di kawasan itu.

“Kejadian pertama membabitkan sebuah kenderaan berat, lebih kurang tiga tahun lepas. Kemalangan kali kedua dan ketiga pula melibatkan Proton Iswara dan Toyota LE sekitar penghujung tahun lalu.       

“Pada masa sama, saya minta jasa baik syarikat pemilik lori berkenaan supaya menanggung segala kerosakan terhadap pagar rumah yang dianggarkan berjumlah antara RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang jiran Hamidah, Noramirah Mohd Zaki, 27, berkata, kemalangan tersebut menyebabkan dia lewat ke tempat kerja.

“Sejak 6.30 pagi saya sudah bersiap untuk ke tempat kerja. Malangnya, semua kenderaan termasuk motosikal sekali pun tidak dapat lalu kerana jalan keluar sudah ditutup lori terbabit,” katanya yang bekerja di sebuah bakeri terletak lebih kurang 10 kilometer dari rumahnya.     

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Harzizi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden terbabit sekitar jam 6.48 pagi.

“Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik sahaja sampai di situ, kita dapati lori dinaiki Zulkifli Hashim, 45, bersama anaknya, Zulhakimi Zulkifli, 13, sudah terbalik ke sebelah kiri,” katanya.

Harzizi berkata, kira-kira 15 minit diperlukan untuk mengeluarkan kaki Zulhakimi yang tersepit bawah lori berkenaan.

“Mangsa yang patah kedua-dua belah kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang menjelaskan bapa mangsa hanya cedera ringan.

No comments:

Post a Comment