Pages

Sunday, 4 May 2014

LAPORAN MEDIA ASING ITU MENGARUT - KETUA POLIS NEGARA

KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan beberapa media asing antaranya Daily Mirror yang melaporkan suspek anggota militan yang ditahan di Kedah dan Selangor minggu lepas turut disoal-siasat berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Ini laporan mengarut. Ia tiada kena mengena dengan MH370,” katanya menurut laporan The Star hari ini.
Anggota kumpulan militan yang menjadi sasaran Cawangan Khas Unit Anti Keganasan Bukit Aman dipercayai mempunyai rangkaian di Syria dan selatan Filipina.
Sehingga kini polis sudah menahan 11 suspek kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan di dalam dan luar negara.
Semua yang ditahan dalam operasi serentak di beberapa lokasi di Kedah dan Selangor itu berusia antara 22 dan 55 tahun dan disyaki terbabit dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas.
Mereka ditahan mengikut BAB VI A – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan dan Akta Kanun Keseksaan.
Hari ini laporan New York Post turut menyebut pihak risikan antarabangsa antaranya Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan risikan Britain (MI6) meminta pihak berkuasa Malaysia membuat soal siasat yang lebih tegas ke atas suspek yang ditahan itu.
SuspekMilitan
Sejak awal kehilangan MH370, media asing antaranya Daily Mail UK, CNN dan Daily Mirror kerap menghasilkan laporan berunsur sensasi semata-mata dengan banyak kekurangan dari segi maklumat dan fakta.
Mereka turut memetik pelbagai kenyataan dari jurucakap kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia bagaimanapun tidak menyertakan sekali nama sumber yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkenaan. 
MYNEWSHUB.MY

No comments:

Post a Comment