Pages

Friday, 2 May 2014

KLIA2 BEROPERASI SECARA RASMI





SEPANG: Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) memulakan operasinya secara rasmi dengan pendaratan pertama pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu kira-kira pukul 12.10 tengah malam Khamis.

Sementara itu penerbangan Cebu Pacific 5J502 ke Manila, Filipina menjadi pesawat pertama yang dijadual berlepas dari KLIA2 pada pukul 3.15 pagi Jumaat.

Seramai 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.

Peristiwa bersejarah pembukaan mercu tanda baru negara itu turut disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.


Pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu disembur dengan air sebagai simbolik ketibaan di KLIA2.
Ab Aziz berkata pendaratan pertama pesawat Malindo Air itu membuktikan keselamatan KLIA2 berada pada tahap yang terbaik.

"Kita telah buktikan bahawa lapangan terbang ini selamat untuk mendarat," katanya di sini.

Terdahulu ketika pesawat Malindo dari Kota Kinabalu yang membawa 110 penumpang itu disembur dengan air sebagai simbolik ketibaannya.

Bermula 2 Mei, selain Malindo Air tiga lagi syarikat penerbangan yang memulakan operasi masing-masing di KLIA2 ialah Cebu Pacific Airways, Lion Air dan Tiger Air.

Selain itu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dijadual beroperasi di KLIA2 bermula 9 Mei ini.

Terminal KLIA2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Sementara itu MAHB dalam kenyataan berkata, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan KLIA2 setiap hari dan jumlah itu akan mencecah sehingga 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini.
MStar

No comments:

Post a Comment