Pages

Sunday, 11 May 2014

GELAGAT PEMANDU BAS EKSPRES KETIKA MEMANDU TERBONGKAR !!!

Gambar Hiasan
*BENARLAH seperti tuduhan – dan kebimbangan – orang ramai mengenai gelagat dan perangai haprak sesetengah pemandu bas ekspres kita. Pegawai JPJ telah melihat dengan mata sendiri betapa musibatnya pemandu berkenaan.

Pegawai yang menyamar sebagai penumpang dalam bas mendapati ada pemandu yang merokok dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, juga melanggar pelbagai kesalahan lalu-lintas.

Awal bulan lalu berlaku beberapa kemalangan maut melibatkan bas ekspres, yang antara puncanya, seperti didakwa penumpang, ialah pemandu memecut sambil bermain telefon bimbit.

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad pegawainya yang menyamar dalam operasi antara 22 April hingga 5 Mei lepas telah mengeluarkan saman terhadap pemandu atas pelbagai kesalahan.

Sudahlah memandu melampaui had laju, merokok sesuka hati, asyik pula bermain telefon bimbit. Begitulah berisikonya menaiki bas ekspres kita. Tidak hairanlah sana sini ada bas terbalik.

*SEPERTI yang disahkan oleh Ismail, sepanjang tempoh operasi berkenaan pihaknya telah juga menggantung lesen 17 pemandu bas ekspres yang gagal dalam ujian saringan dadah.

Mereka adalah antara lebih 2,000 pemandu bas ekspres yang diperiksa di 22 terminal bas ekspres di seluruh negara. Terbukti kini memang ada pemandu bas ekspres yang menagih dadah dan memandu di bawah pengaruh benda haram itu.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana orang kaki dadah boleh diterima sebagai pemandu? Apakah kriteria yang digunakan oleh syarikat-syarikat bas dalam memilih calon pemandu?

Atau, apakah memang syarikat tidak mempunyai sebarang garis panduan atau prasyarat ketika memilih pemandu? Sekiranya pengambilan pekerja dibuat secara hentam kromo, nyawa penumpanglah menjadi taruhan.

Maka syarikat hentam kromo seperti ini pun patut sekali dikenakan tindakan. Benar, matlamat perniagaan adalah keuntungan. Tetapi kena juga timbangkan keselamatan penumpang. Apa kata SPAD?

*LAGI-LAGI harta karun! Seperti yang dilaporkan Bernama, Pulau Nangka, Pulau Besar dan Bukit St Paul di Bandar Hilir dipercayai dijadikan tempat menyimpan harta zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, kesultanan itu dipercayai banyak menyimpan harta bagi mengelak daripada dirampas sekiranya Melaka jatuh ke tangan musuh.

Beliau yang juga bekas Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka berkata, harta yang disimpan itu dipercayai emas berbentuk syiling, barang perhiasan seperti dulang serta patung yang dihadiahkan negara asing.

Beliau mencadangkan lebih ramai pakar dibawa masuk dalam usaha mengesan dan mendapatkan harta yang terpendam di Negeri Hang Tuah yang penuh bersejarah itu.

Pada hemat saya cukup-cukuplah kita dengan kisah harta karun yang dikatakan bernilai berbilion RM ini. Jangan habiskan masa, tenaga dan duit untuk mencari benda yang tidak pasti.

Lebih baik kerja keras dan tumpukan kepada projek-projek pembangunan untuk rakyat. Hidup adalah realiti, bukan fantasi!

*AKHIR kalam, ketika di Negeri Hang Tuah orang sibuk mengorek bukit dan laut untuk mencari harta karun yang dikatakan milik Kesultanan Melayu Melaka, lain pula halnya di Selangor.

Pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim menyedut air dari lombong sebagai usaha mengatasi krisis air. Ada pihak yang menentang atas alasan air lombong tidak selamat untuk diminum sebab mengandungi pelbagai toksik dan bahan kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai jumlah kandungan logam seperti plumbum dalam bekas lombong sebab ia masih di bawah paras dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Lagi pun katanya air lombong yang dipam ke Sungai Selangor sebelum dirawat di Loji Pembersihan Air Empangan Sungai Selangor perlu melalui beberapa proses rawatan untuk pembersihan.

Prof  Dr Ahmad Ismail dari Jabatan Biologi Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia juga menegaskan air lombong yang telah dirawat selamat diminum. Katanya, air lombong bermudarat sekiranya dicedok dan diminum terus tanpa melalui proses rawatan.

Dengan penjelasan pakar, pada hemat saya tidak perlu lagi kita berpolemik – dan berpolitik – mengenai isu ini.
TOK PERAK-SH

No comments:

Post a Comment