Pages

Monday, 19 May 2014

BUDAK 1 TAHUN 8 BULAN MAUT LEMAS DALAM TONG !!!

BANTING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas terjatuh dalam tong simpanan air di rumahnya di Taman Pahlawan, Telok Panglima Garang, kelmarin.

Ibu mangsa, Aminah Samion, 39, berkata, ketika itu anaknya Muhammad Syawal Firdaus Nasir bermain sendirian di luar rumah kira-kira jam 4 petang sebelum dia menyedari kejadian itu.

“Saya rasa seperti ada yang tidak kena sebelum bertanya kepada abang dan kakak di mana adik berada.

“Mereka cakap tidak nampak. Ketika itu kami terus berpecah mencari arwah di dalam dan luar rumah sebelum saya jumpa dia berada di dalam tong dalam keadaan tertonggeng beberapa minit kemudian,” katanya.

Aminah berkata, dia terus meminta bantuan jiran menghantar anaknya ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke Hospital Banting.

Menurutnya, selepas rawatan susulan dibuat, anaknya terpaksa dibawa ke Hospital Ampang sebelum dimasukkan ke wad kecemasan kira-kira jam 1.50 pagi dan meninggal dunia 3.30 pagi, semalam.

“Sehari sebelum kejadian, saya masih ingat lagi arwah menjerit dan menangis apabila melihat tong itu.

“Anak saya kelihatan takut sangat. Saya hanya fikir itu perkara biasa , tapi tidak sangka itu merupakan petanda bahawa arwah akan meninggalkan kami,” katanya.

Bapa mangsa, Nasir Abdullah, 39 berkata, anaknya itu antara yang paling mesra dan manja dengannya

“Dia manja dengan saya dan biasanya akan tunggu saya pulang dari kerja,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Medan jam 12.40 tengah hari semalam.

No comments:

Post a Comment