Pages

Thursday, 29 May 2014

ALMARHUM SULTAN AZLAN SHAH DALAM KENANGAN


IPOH — Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah, dikenali sebagai seorang yang bijak dan arif selain merupakan satu-satunya raja yang pernah menyandang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

Walaupun pernah memegang jawatan Ketua Hakim Negara dari 1982 hingga 1984, baginda adalah seorang raja yang penuh sifat belas kasihan, rendah hati dan mudah memaafkan kesalahan orang.

Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah semalam. Almarhum berusia 86 tahun.

Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar petang ini.

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.

Diputerakan pada 19 April, 1928 di Kampung Manggis, Batu Gajah, Perak, Sultan Azlan Shah juga dikenali sebagai seorang yang mementingkan soal disiplin, kebersihan dan ketepatan masa.

Berpendidikan awal di Sekolah Kerajaan Inggeris Batu Gajah, yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf, dan menyambung pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom sebelum dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1953.

Sekembalinya ke tanah air, baginda memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 1954.

Baginda menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu setahun kemudian dan dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama pada 1956.

Berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan undang-undang, baginda pernah bertugas sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Penasihat Undang-undang negeri, Timbalan Pendakwaraya, Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Pada 1965, baginda menjadi hakim termuda di negara Komanwel apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada usia 37 dan pada 1979 dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.

Sultan Azlan Shah berada di kemuncak bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1982.

Baginda kemudian meletakkan jawatan pada 1984 setelah berkhidmat selama 30 tahun bagi menaiki takhta negeri Perak.

Sultan Azlan Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-34 selepas kemangkatan ayahanda saudaranya Sultan Idris Shah pada 3 Feb 1984.

Enam hari selepas itu, baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun, dan pada 26 April 1989, baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-Sembilan.

Baginda merupakan seorang ahli sukan yang aktif dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan bola sepak, kriket, olahraga, hoki dan golf serta pernah mengetuai kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Montreal di Kanada pada 1976.

Sultan Azlan Shah juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa dan juga Presiden Persekutuan Hoki Asia.

Dalam bidang pendidikan pula, baginda merupakan Canselor Univeriti Malaya sejak 1986 dan telah menerima pelbagai anugerah kehormat daripada universiti dalam dan luar negara.

Antaranya ialah ‘Honorary Bencher’ dari Lincoln’s Inn, doktor kehormat undang-undang dari University Nottingham serta ‘Honorary Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh’.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment