Pages

Tuesday, 20 May 2014

10 TIPS BERHENTI MEROKOK !!!


Beribu-ribu wang telah dihabiskan untuk membeli rokok selama beberapa tahun kebelakangan ini. Prestasi kesihatan anda pula, semakin menurun.
Jika dulu anda boleh berlari dan bermain bola tanpa rasa penat, kini, baru naik tangga rumah contohnya sudah pun termengah-mengah.
Tidak perlulah kami menceritakan secara terperinci akan keburukan merokok kerana kami pasti anda pun sudah sedia maklum.
Malah anda mungkin lebih arif lagi mengenainya. Masakan tidak, setiap hari anda membaca notis amaran serta melihat gambar yang mengerikan yang terdapat pada kotak rokok tersebut. Sudah tentunya anda sudah begitu faham dan tahu mengenainya.
Namun begitu, walaupun betapa nikmatnya anda menghisap asap pahit itu, kami pasti, ada sekelumit niat serta keinginan di dalam diri anda untuk berhenti merokok.
Niat untuk berhenti merokok ini sememangnya ada di setiap benak fikiran dan sanubari semua perokok.
Tetapi, ramai yang gagal. Jika berjaya pun, hanya untuk sementara waktu sahaja.
Dua atau tiga hari selepas itu mereka akan menghisap rokok semula. Akhirnya, mereka pasrah dan berfikir, “Tidak mengapalah, lama-lama nanti aku akan berhenti sendiri bila sampai waktunya”.
Mungkin 10 amalan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengurangkan dan seterusnya berhenti :-
Lengahkan
Jika ada rasa mahu ‘pekena sebatang’ lengahkan. Lewatkan 10 minit. Buatlah perkara lain dulu. Minum kopi atau buat apa saja yang boleh mengalihkan perhatian. Ulang sebanyak mungkin bila tiba rasa nak merokok.
Tolak Konsep ‘Cukuplah Sebatang’
Jangan terperdaya dengan ‘cukuplah sebatang’. Tak payah hisap langsung jika sudah ada keinginan nak berhenti merokok. Ini kerana sebatang rokok akan menyebabkan rokok dihisap habis sekotak.
Elakkan Punca Merokok
Kenali apa punca merokok. Contohnya semasa bersama dengan kawan-kawan, menghadapi tekanan atau selepas makan. Cuba sebaik mungkin untuk terlibat dengan punca-punca merokok ini. Jika ramai kawan-kawan yang merokok, cuba elakkan untuk melepak terlalu lama. Atau jika sebelum ini bercakap di telefon menimbulkan rasa hendak merokok, ambillah sebatang pen dan contenglah sepuas hati.
Bersenam
Ya, cara berhenti merokok ini sangat membantu menghilangkan ketagihan merokok. Adakan rutin 30 minit senaman setiap hari. Jika tersangkut di pejabat. Lakukan senaman ringan seperti push up, lari-lari anak atau buat solat sunat dan jika ada masa lagi bacalah Al-Quran. Dan berdoa minta Allah kuatkan semangat untuk tak menjamah rokok.
Belajar Untuk Bertenang
Tekanan adalah satu penyebab paling popular kenapa merokok. Jadi cubalah menjadi seorang yang lebih ‘cool’ dan lebih bijak dalam berdepan dengan tekanan. Contoh paling baik, ambillah air sembahyang. Atau buat teknik ‘deep breathing’ (dua saat tarik nafas- empat saat tahan- lapan saat hembus nafas keluar). Atau, bayangkanlah sesuatu yang membuatkan anda rasa sejuk.
Libatkan Keluarga Dan Rakan-Rakan
Beritahu ahli keluarga dan kawan-kawan bahawa anda mahu berhenti merokok. Jadi bila timbul keinganan nak merokok, beritahu mereka. Sudah pasti mereka akan ingatkan kembali niat murni anda yang sudah tak mahu merokok. Paling efektif ialah beritahu pada isteri. Sudah pasti dia akan menyokong 100% keputusan itu.
Ingatlah Kebaikan Tidak Merokok
Buat senarai atau sebutkan kebaikan yang akan dapat jika tidak merokok. Sebagai contoh, isteri semakin menyayangi anda dan bagi yang sudah berkeluarga, anak-anak akan bertambah sihat. Bagi pemuda pula, anda akan semakin awet muda serta nafas akan berbau harum. Jadi, jika yang masih belum berkahwin pasti akan memudahkan anda berkomunakasi dengan wanita. Apa saja yang menambahkan semangat untuk tak merokok lagi.
‘Go Online’
Rajinkan diri mencari inspirasi kisah-kisah mereka yang sudah berjaya berhenti merokok. Ketahui dan belajar bagaimana cara mereka berhenti merokok, bertarung dengan keinginan hendak merokok. “Brader, you are not alone”.
Menguyah
Jika rasa hendak merokok, kunyah adalah cara untuk anda berhenti merokok yang paling senang. Cari bahan kunyahan yang sihat seperti kacang atau gula-gula getah yang kurang gula.
Sibukkan diri anda setelah makan
Banyak perokok yang setelah makan mereka akan memilih untuk menghisap rokok. Namun jika anda sudah memutuskan anda harus benar-benar berhenti, caranya mudah iaitu selepas selesai menjamu selera cepat-cepat menggosok gigi atau melakukan sesuatu perkara seperti berjalan bagi melupakan keinginan anda untuk merokok setelah makan. Meskipun agak berat jika anda lakukan secara rutin tetapi anda akan biasa apabila setiap hari anda mengulangi perbuatan yang sama. 
Mynewshub

No comments:

Post a Comment