Pages

Tuesday, 1 April 2014

WANITA MENGANDUNG 7 BULAN MAUT DALAM KEMALANGAN !!!



JOHOR BAHRU: Seorang wanita sarat mengandung, maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah lori pasir, dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Baru di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika Noor Hayati Che Aziz, 30, yang mengandung tujuh bulan menaiki kereta jenis Proton Persona terbabit, bersama suami, dua anak dan adik lelakinya.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suami Noor Hayati, Mohd Faizal Rosli, 31, dari arah susur keluar pasar raya AEON Big menghala ke Taman Johor Jaya telah dilanggar dari arah tepi kiri bahagian penumpang oleh lori pasir itu yang muncul secara tiba-tiba dari arah Lebuh Raya Pasir Gudang menuju ke bandar raya Johor Baharu," katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata akibat pelanggaran itu, kereta tersebut telah diseret kira-kira sejauh 20 meter yang menyebabkan Noor Hayati, dari Taman Air Biru dekat Pasir Gudang, mengalami cedera parah lalu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di sini.

Beliau berkata adik lelaki Noor Hayati, Nasarudin Che Aziz, 20, turut mengalami kecederaan dan dirawat di hospital yang sama manakala suami serta dua anaknya, Muhamad Farhan Danial, 6 serta Noor Fazliyana Dania, 5, tidak mengalami kecederaan.

Katanya pemandu lori pasir berkenaan bertindak melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesannya.

No comments:

Post a Comment