Pages

Wednesday, 9 April 2014

TERKINI : DUA ISYARAT BAHARU DIKESAN DALAM MISI MENCARI MH370

Penyelam Tentera Laut Australia dari Kapal Ocean Sheild memulakan
misi mencari serpihan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
PERTH: Kapal pertahanan Australia (ADV), Ocean Shield mengesan dua isyarat baharu ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masih hilang sejak 8 Mac lalu.

"Ocean Shield dapat mengesan semula dua isyarat pada petang dan lewat malam (Selasa)," kata Ketua Penyelaras Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston, di sini, Rabu.

Beliau berkata, satu isyarat 'ping' dikesan selama kira-kira lima minit 25 saat, manakala yang ke dua untuk tempoh selama tujuh minit.

Sebelum ini, Tentera Laut Amerika Syarikat mengesan dua isyarat yang berlarutan sehingga lebih dua jam.

Misi mencari pesawat MAS kini memasuki hari ke-33 dengan 11 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 14 kapal dikerah ke kawasan meliputi 75,423 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Usaha itu kini menjadi misi mengejar masa memandangkan hayat bateri kotak hitam itu hanya boleh bertahan dalam tempoh 30 hari dan paling lama beberapa hari lagi selepas itu sebelum penghantaran isyarat berhenti sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan, JACC berkata pusat kawasan pencarian itu kira-kira 2,261km di barat laut Perth.

Menurut JACC, usaha mencari di dasar laut diteruskan dengan ADV Ocean Shield di hujung sebelah utara kawasan carian dan kapal China Haixun 01 dan HMS Echo di sebelah selatan.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia, termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.
Mstar

No comments:

Post a Comment