Pages

Monday, 28 April 2014

PENCARIAN MH370 DI DASAR LAUT LEBIH LUAS AKAN DIPERGIAT - PM AUSTRALIA


PERTH – Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi akan memasuki fasa baharu yang memberi tumpuan di kawasan dasar laut lebih luas.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata keputusan itu diambil, antara lain, setelah didapati begitu tipis kemungkinan sebarang serpihan pesawat berkenaan akan dijumpai di permukaan laut.

“Di peringkat ini, kebanyakan serpihan tentu sudah tenggelam. Semua pesawat udara yang terlibat dalam kegiatan mencari sudah beroperasi hingga ke tahap paling wajar serta selamat dan oleh itu kami akan beralih daripada fasa sekarang,” katanya pada sidang akhbar Isnin.

Ia turut dihadiri Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston di Bangunan Parlimen di Canberra, yang disiar secara langsung melalui beberapa saluran televisyen.

Abbot berkata selain Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21, yang menjalankan misi ke-16nya pada Isnin, satu lagi teknologi mencari di laut dalam dirancang digunakan, termasuk sejenis peralatan sonar ‘side-scan’ yang ditarik oleh kapal.

Menurut beliau, setelah berunding dengan kerajaan Malaysia, kerajaan Australia bersedia menggunakan khidmat syarikat swasta, yang akan mengikat kontrak dengan kerajaan Australia bagi menjalankan tugas itu.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan China untuk menggiatkan lagi operasi, tetapi kami akan mengambil masa beberapa minggu untuk memuktamadkan perjanjian kontrak ini,” katanya.

Operasi mencari memasuki hari ke-52 hari ini, 41 hari daripadanya diselaraskan kerajaan Australia.

Bagaimanapun, menurut Abbott, hingga kini tiada sebarang bukti berkaitan pesawat itu dijumpai, walaupun pencarian dilakukan di kawasan permukaan laut seluas lebih 4.5 juta km persegi dan di kawasan dasar laut seluas 400 km persegi, yang melibatkan 334 penerbangan dan 3,000 jam waktu udara.

“Dalam fasa baharu nanti, sasarannya ialah melakukan pencarian di dasar laut dengan semampu yang mungkin, jika perlu di seluruh kemungkinan zon impak berukuran kira-kira 700 km kali 80 km.

“Perkara yang menjadi pegangan saya selama ini ialah kami bertanggungjawab kepada keluarga terbabit, kami bertanggungjawab kepada mereka yang membuat perjalanan untuk melakukan apa yang termampu oleh kami untuk merungkai misteri ini,” katanya.

Abbott berkata walaupun operasi mencari memasuki fasa baharu beberapa minggu lagi, namun, yang pasti, ia bukanlah yang terakhir.

Sepanjang tempoh itu, satu pasukan kapal yang penuh berdedikasi dari Australia, Malaysia dan China akan meneruskan operasi maritim bagi mengekalkan kesinambungan dan momentum operasi mencari ini.

“Di samping itu, pesawat udara Australia P3 Orion juga akan diletak dalam keadaan bersiap sedia untuk berkhidmat dengan segera sekiranya bangkai pesawat berkenaan dijumpai,” katanya.

Ditanya tentang kos, Abbott berkata fasa baharu itu, yang melibatkan kontraktor yang memiliki kepakaran tinggi dalam pencarian di laut dalam, akan memakan belanja kira-kira AUD60 juta (RM184 juta).

Malaysia, katanya akan terus mengetuai penyiasatan, manakala tanggungjawab terhadap zon mencari dan menyelamat di Australia akan dipikul kerajaan Australia.

Keseluruhan operasi ini dianggarkan mengambil masa antara enam dan lapan bulan, bergantung pada keadaan cuaca dan kelengkapan yang digunakan, katanya.

Abbott mengucapkan terima kasih dan memuji semua kru udara dan pelaut dari lapan negara yang terlibat dalam operasi mencari itu.

Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment