Pages

Thursday, 24 April 2014

ORANG RAMAI DILARANG SERTAI HIMPUNAN BANTAH CPB 1 MEI. - @pdrm


Kuala Lumpur, 23 April - Orang ramai dilarang menyertai Himpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CPB) yang dijadual bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini kerana program itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata program itu tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa selepas pihak penganjur perhimpunan gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka untuk menggunakan lokasi berkenaan.

Katanya beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa penganjur, S. Arutchelvan, yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pembantunya pada 16 April lepas bagi tujuan mendapatkan maklumat bagi membolehkan polis membuat persiapan awal.

"Arutchelvan telah memberitahu bahawa mereka semua akan berkumpul di KLCC pada tengah hari dan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka.

"Saya menasihatkan mereka supaya mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran pihak pengurusan lokasi perhimpunan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zainuddin berkata dua hari selepas pertemuan itu, pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan kepada pihak polis tanpa surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka.

Beliau berkata pada 21 April lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dan Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli.

"Mereka memaklumkan akan mengadakan perhimpunan yang sama tetapi disebabkan masih tidak mempunyai kebenaran daripada pengurusan di kedua lokasi itu maka saya menasihatkan mereka supaya memilih lokasi alternatif di Stadium Merdeka," katanya.

"Saya mengesyorkan supaya mereka memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk mendapatkan kebenaran namun sehingga ke hari ini mereka juga tidak memberikan sebarang jawapan," katanya.

Justeru, Zainuddin berkata oleh kerana pihak penganjur gagal mematuhi akta tersebut dan sekiranya diteruskan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment