KUALA LUMPUR: Ketika suaminya meringkuk dalam penjara, seorang wanita ligat berfoya-foya di kelab malam bersama lelaki lain hampir setiap malam dan tergamak meninggalkan tiga anak yang masih kecil di bawah jagaan ibu bapa mentua yang uzur.
Berikutan sikapnya yang curang dan tidak bertanggungjawab, ‘isteri terlampau’ berusia 25 tahun itu menerima musibah apabila dia cedera teruk akibat dibelasah abang iparnya.
Sumber polis berkata, wanita terbabit yang mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan tujuh tahun dibelasah abang iparnya sebaik saja dia selesai berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy di sini, bersama empat rakan kira-kira jam 2.20 pagi, Rabu lalu.
“Ketika mangsa berjalan menuju kereta milik seorang daripada temannya, dia ditahan seorang lelaki yang mendakwa kenalan rapat suaminya. Lelaki itu mengarahkan mangsa menunggu seketika sementara abang iparnya dalam perjalanan ke pusat hiburan berkenaan."
“Sebaik saja tiba di tempat kejadian, abang ipar mangsa yang berusia 29 tahun menumbuk muka mangsa bertubi-tubi menyebabkan muka mangsa lebam dan matanya berdarah.
“Selepas puas membelasah mangsa, lelaki itu mengheret mangsa ke balai polis berhampiran dan meminta polis menahan mangsa yang didakwanya lari dari rumah dan sengaja meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil di bawah jagaan bapa mentua yang sudah uzur."
“Sebaliknya, mangsa membuat laporan polis mendakwa dikasari dan dipukul secara tidak wajar. Mangsa yang parah di mata kanannya selain luka di kepala dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sumber itu berkata, berdasarkan siasatan awal, suami mangsa kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buluh atas kesalahan terbabit penyalahgunaan dadah.
Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan sepasang kekasih veteran berusia 41 dan 54 tahun kerana disyaki terbabit secara aktif sebagai dalang pertaruhan judi lumba kuda dan nombor ekor tidak berlesen.
Sumber polis berkata, pasangan kekasih itu menjalankan kegiatan mereka dengan duduk melepak di tembok batu berhampiran sebuah rumah flat bagi memudahkan mereka mengambil wang pertaruhan daripada pelanggan.
Menurutnya, pasangan berusia 50-an terbabit mampu memperoleh keuntungan lebih RM3,000 sebulan hasil kegiatan menjual nombor ekor haram di kawasan perumahan mereka di Jalan Hang Tuah di sini.
“Mereka di tahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur dalam operasi jam 5 petang, kelmarin. Pada mulanya, mereka melarikan diri, namun selepas dikejar kira-kira 50 meter mereka ditangkap” katanya.
Katanya, polis merampas satu alat kelui yang disembunyikan di celah tembok, telefon bimbit, wang tunai dan kertas pertaruhan, selain nombor dipilih pelanggan yang hanya dicatatkan di atas kertas akhbar untuk dijadikan bahan bukti.
sumber : paapaada
No comments:
Post a Comment