KLUANG: “Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan menutup kesan kelar menggunakan tangan bagi mengurangkan darah memancut keluar. Sebagai ibu, saya hanya mampu memangkunya dan berharap ada orang tampil memberikan bantuan.
“Beberapa minit kemudian, seorang jiran menawarkan kenderaan untuk membawa anak saya ke hospital. Malangnya, sebaik mengangkat tubuhnya ke dalam kereta, badannya mulai sejuk dan dia sudah tiada,” kata Saemah Mogeri, 43, ibu kepada mangsa bunuh di Jalan Sentosa, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Nurul Amin Mohamed Ishak, 22, dipercayai cuba mempertahankan kehormatan diri adiknya yang disyaki cuba diperkosa seorang rakannya, namun mangsa maut selepas lehernya dikelar dengan objek tajam.
Sebelum kejadian, mangsa membawa tiga lelaki dipercayai rakannya bagi menyelesaikan masalah peribadi yang berlaku antara mereka, Selasa minggu lalu.
Saemah berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memaklumkan sudah menemui tiga lelaki itu di sekitar bandar Kluang selepas cuba mengesan mereka sejak hampir seminggu lalu.
Adik dicabul
“Dia (suspek) masuk ke bilik tidur saya dan menekup muka menggunakan kain sebelum cuba menyentuh kemaluan saya,” kata adik Nurul Amin Mohamed Ishak yang hanya mahu dikenali sebagai Alya, 15.
Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi Selasa lalu, suspek yang juga rakan abangnya memasuki kediaman mereka dalam keadaan mabuk bersama seorang lagi rakannya. “Mereka memang sering datang ke sini. Bagaimanapun, pada malam kejadian mereka berkelakuan pelik dipercayai akibat mabuk.
“Ketika seorang lagi rakannya tidur di ruang tamu, dia menyelinap masuk ke bilik sebelum cuba merogol saya,” katanya.
Alya berkata, dalam kejadian itu, dia meronta dan berjaya meloloskan diri, manakala suspek melarikan diri bersama rakannya.
“Saya memaklumkan kejadian itu kepada ibu sebelum sampai ke pengetahuan abang.
“Berikutan itu, abang (Nurul Amin) mencari suspek, namun tidak menemuinya hinggalah mereka bertemu di satu kawasan di bandar Kluang, malam kelmarin.
“Sebaik menemuinya, abang membawa rakannya itu ke kawasan stor berhampiran rumah kami untuk berbincang sebelum keadaan menjadi tegang,” katanya.
Harian Metro difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar di sini dipercayai maut akibat parah pada lehernya selepas dikelar menggunakan objek tajam.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke Hospital Kluang, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan berkata, akan membuat sidang akhbar hari ini.
sumber : pilihan-anda
No comments:
Post a Comment