Pages

Saturday, 15 March 2014

WANITA PATAH KAKI GARA-GARA BEREBUT ANAK DENGAN BEKAS SUAMI !!!


KAJANG: Seorang wanita cedera di kepala dan patah kaki kanan akibat terseret kereta dipandu bekas suaminya sejauh kira-kira 10 meter selepas kedua-duanya berselisih faham kerana berebut anak.

Kejadian berlaku di Taman Prima Kajang, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari dan mangsa yang berusia 29 tahun dikatakan pengsan akibat kecederaan dialami.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Rama, 49, berkata, anaknya diserang bekas suami berusia 30-an yang mahu mengambil anak lelaki mereka berusia lima tahun.

Menurutnya, pasangan itu sudah bercerai sejak sebulan lalu dan hak penjagaan terhadap dua anak lelaki mereka yang berusia setahun dan lima tahun dijaga mangsa.

“Sebelum kejadian, bekas menantu saya datang ke rumah dan mahu mengambil anak sulung mereka hingga berlaku pergaduhan. Anak saya cuba menghalang apabila bekas suaminya mahu membawa anak mereka ke rumah ibunya di Pahang.

“Sebaik merampas kanak-kanak itu, bekas suaminya terus masuk ke dalam kereta menyebabkan anak perempuan saya berlari untuk mendapatkan kembali anaknya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa cuba mengambil anaknya yang diriba bekas suaminya, namun tidak berjaya apabila lelaki itu terus memandu kereta tanpa menghiraukan mangsa yang terseret.

Rama berkata, dia membawa anak perempuannya itu yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment