Pages

Tuesday, 25 March 2014

SALAM TAKZIAH DAN AL FATIHAH MH370 !!! (UPDATE TERKINI)


Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat sebentar tadi bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Perdana Menteri berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) itu turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan penumpang serta anak-anak kapal pesawat berkenaan.
"Bahawa dewan ini (juga) menyatakan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya kepada negara-negara luar yang telah banyak memberikan bantuan dalam operasi tersebut."
"Apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan akan datang ini ialah untuk mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya kita boleh mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di selatan Lautan Hindi,"

MH370: Ops Mengesan Serpihan Diteruskan - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar.

"Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370.

"Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat," katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini, Selasa.

Najib berkata kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu.

MH370: PM Mahu Polis Siasat Setiap Sudut

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rapi dari segenap sudut berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Perdana Menteri berkata walaupun jawapan sebenar kepada misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh diketahui melalui rakaman perbualan kokpit di dalam kotak hitam, namun mereka perlu komited dan profesional semasa menjalankan siasatan.

"Siasatan lain amat perlu dilakukan kerana keluarga mangsa mahukan jawapan segera. Ini merupakan satu tragedi besar dan menyayat hati Malaysia dan negara lain.

"Misi menjejaki pesawat MH370 dijalankan bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan 26 buah negara, namun siasatan punca kejadian perlu dilakukan secara rapi bagi mengurangkan spekulasi," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, Selasa.

Dalam sidang akhbar malam Isnin, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, polis juga telah mengambil keterangan lebih 50 individu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat terbabit.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

MH370: China Mahu Malaysia Sediakan Bukti Data Satelit

BEIJING: China menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang ada selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman bahawa pesawat MH370 telah mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi berdasarkan data dari satelit.

Najib pada malam Isnin mengumumkan bahawa pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal telah mengakhiri penerbangan di lautan berdasarkan data satelit yang dikumpul pasukan penyiasat kemalangan udara dari United Kingdom.

Dalam mesyuarat pada lewat Isnin, Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng telah memberitahu Kedutaan Malaysia di China untuk menyediakan bukti terperinci mengenai 'kesimpulan' yang dibuat, kata Kementerian Hal Ehwal Luar China.

"Kami telah meminta pihak Malaysia untuk menyatakan bukti terperinci mengenai pengumuman yang telah dibuat dengan menyediakan kesemua maklumat satelit data yang diperolehi.

"Kerja mencari dan menyelamat tidak boleh dihentikan sekarang, kami meminta Malaysia meneruskan segala usaha menyelamat yang telah dimulakan," kata Xie pada Selasa.


Pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu MH370 hilang dari radar pada 8 Mac lalu ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal ke Beijing dari Kuala Lumpur.

Pada masa sama, agensi berita di China melaporkan negara tersebut kini telah menghantar lebih banyak kapal ke Lautan Hindi untuk mengesan serpihan pesawat tersebut.

MH370: Kotak Hitam Bakal Rungkai Misteri

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab pada malam Isnin menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.

Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.

Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.

Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu.
SUMBER : MSTAR

No comments:

Post a Comment