Pages

Friday, 7 March 2014

PEMANDU TERSEPIT DISERET 1.5KM GARA-GARA TERLELAP.




GUNUNG SEMANGGOL - Gara-gara terlelap, dua lelaki maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah lori muatan ayam dan sebuah treler yang berlaku di Kilometer 185.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di sini, awal pagi semalam.



Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian jam 3.25 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Siron, 46, yang merupakan pemandu lori ayam dan kelindannya, Arshad Saad, 48, maut di tempat kejadian setelah kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang treler muatan besi yang sedang bergerak di laluan lorong perlahan.

Menurutnya, lori muatan ayam dinaiki kedua-dua mangsa ditemui remuk teruk apabila dipercayai berlanggar dan melekat di bahagian belakang treler terbabit, sebelum diseret sejauh 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

“Berikutan kemalangan ngeri itu, pemandu lori ayam berkenaan dipercayai maut setelah tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu.

“Manakala kelindannya yang sedang tidur, difahamkan tercampak keluar melalui bahagian cermin hadapan lori dan digilis tayar hadapan lori sebelum ditinggalkan di tengah jalan setelah lori terbabit melekat pada bahagian belakang treler,” katanya sewaktu ditemui media, semalam.

Mat Fauzi berkata, berdasarkan keterangan saksi kejadian, pemandu treler terbabit menyedari bahagian belakang kenderaannya itu seolah-olah dilanggar sesuatu dan segera memperlahankan treler.

Menurutnya, setelah treler itu diberhentikan sejauh 1.5 kilometer dari lokasi kejadian, pemandunya terkejut mendapati sebuah lori melekat pada belakang kenderaan itu, manakala pemandu lori terbabit tersepit pada stereng lori.

“Pemandu treler berkenaan segera melaporkan kejadian itu kepada polis dan hasil siasatan kami mendapati kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian dada, pecah tempurung kepala dan hancur sebahagian tubuh badan.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai terpaksa mengambil masa lebih 10 minit untuk mengeluarkan mayat pemandu lori berkenaan yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala mayat kelindan lori hanya ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi treler diberhentikan,” katanya.

Mat Fauzi berkata, kedua-dua mayat mangsa segera dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10 pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan ahli keluarga mereka, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan menghantar bekalan ayam hidup dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, manakala treler muatan besi sedang menuju ke Taiping dari arah Pulau Pinang.

“Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam mungkin terlelap dan mereka hanya menyedari lori dinaiki melanggar bahagian belakang treler berdasarkan kesan geseran tayar yang berjarak tidak sampai satu meter dari lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam pada itu, Mat Fauzi menggesa pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih berhemah di kawasan Lebuhraya Plus, terutamanya sewaktu melalui Kilometer 180 hingga Kilometer 190 dari kedua-dua arah yang dikenal pasti pihaknya sebagai laluan maut.

SH

No comments:

Post a Comment