Pages

Thursday, 20 February 2014

JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN PERWATAKAN SESEORANG !!!




KUALA LUMPUR - Akibat percaya janji, seorang janda kerugian kira-kira RM200,000 selepas tidak sedar dikikis oleh seorang lelaki berperwatakan baik yang konon boleh membantunya menyelesaikan pembahagian harta pusaka milik arwah suaminya.

Mangsa Norizah Muslim, 44, berkata, dia mengenali  suspek  selepas dihubungi lelaki itu yang dikenali sebagai Rizman, 38,  yang berminat mahu menyewa rumah milik arwah suaminya di Butterworth pada Mei tahun lalu.

“Dia berperwatakan baik malah dalam waktu yang singkat  dia banyak membantu kami sekeluarga termasuk urusan pembahagian harta pusaka  arwah suami,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, sikap lelaki itu yang gemar membantu menyebabkan dia sekeluarga  berasa senang dengan kehadirannya.

“Kami  suka sebab dia  ringan tulang malah sanggup menghantar dan mengambil anak perempuan  saya yang belajar di  sebuah IPTA di Perlis pada waktu cuti,” katanya.

“Pada awal November, kami menyerahkan wang deposit sebanyak RM25,000 sebagai deposit pembelian rumah. Dia membawa kami melawat rumah yang bakal dibeli sebelum meminta lagi RM38,000  sebagai wang pendahuluan selepas menandatangani perjanjian jual beli dengan syarikat pemaju perumahan berkenaan.

Menurut Norizah dia memang sudah lama berhasrat untuk membeli rumah teres di Kuala Lumpur.

“Malah dia juga meyakinkan saya  untuk melabur dalam projek ternakan ayamnya yang beroperasi di sebuah kawasan Di Bukit Mertajam. Saya dibawa ke kawasan penternakan yang dimilikinya dan bersetuju untuk menyertai pelaburan itu dengan modal permulaan RM50,000,” katanya.

“Untuk projek ternakan dia berjanji akan membayar keuntungan RM2,000. sebulan dan bagi menyenangkan saya berulang alik melihat pusat ternakan, dia memujuk  supaya membeli sebuah kereta dengan cara membuat pinjaman peribadi dari sebuah bank berjumlah RM45,000.

Katanya, kesemua wang  berjumlah kira-kira RM200,000 ini diserahkan kepada lelaki itu dari Oktober hingga Disember tahun lalu.

“Saya hanya menyedari ditipu selepas mendapat tahu Rizman dipukul oleh lelaki yang merupakan pemilik sebenar pusat penternakan kerana gagal melangsaikan hutang pembelian ayam berjumlah puluhan ribu ringgit.

“Bila dapat tahu perkara itu, saya memberikan pelbagai alasan kepadanya untuk mendapatkan kembali wang yang telah diberikan, namun dia memberikan pelbagai alasan termasuk sanggup berkahwin dengan saya untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Norizah berkata sepanjang mengenali lelaki itu, dia pernah membawa seorang wanita yang didakwa sebagai isterinya, Selepas diselidiki, keluarga wanita itu sebenarnya turut menjadi mangsa penipuan ‘Rizman’.

“Ramai lagi mangsa di  sekitar Bukit Mertajam ditipu dengan  pelaburan ternakan ayam yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Katanya, disebabkan itu dia kini terpaksa menyelesaikan hutang dengan bank selain menanggung kerugian  besar disebabkan ‘Rizman’  menghilangkan diri.

Norizah membuat laporan  di Balai Polis Ampang sebelum kesnya dirujuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Perda, Bukit Mertajam Disember tahun lalu.
SH

No comments:

Post a Comment