JOHOR BAHRU - Seorang budak lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemui lemas di dalam tong simpanan air di rumahnya di Kampung Jemari Baru, Mersing dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Zulkepli Hashim berkata dalam kejadian 4 petang itu Mohd Adam Kamaludin dipercayai terjatuh ke dalam tong air tersebut.
Ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama kakak dan abang yang berumur 12 dan lapan tahun, manakala ibu bapa mereka keluar bekerja, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkepli berkata berdasarkan laporan polis oleh bapa mangsa, ketika kejadian kanak-kanak itu berada di dapur manakala kakak dan abangnya mengulang kaji pelajaran di ruang tamu.
Beliau berkata Mohd Adam ditemui oleh si abang dalam keadaan terlangkup di dalam tong yang mengandungi 3.5 liter air di dapur dan dia kemudian meminta pertolongan jiran untuk membawa adiknya ke Hospital Mersing.
Pegawai perubatan yang bertugas di hospital itu mengesahkan Mohd Adam meninggal dunia akibat lemas, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment