Pages

Saturday, 15 February 2014

AL-FATIHAH... : PDRM KEHILANGAN 2 PEGAWAI KANAN !!!


Kuala Lumpur, 15 Februari - Polis Diraja Malaysia hari ini telah kehilangan dua orang pegawai kanan pagi tadi masing- masing berpangkat Inspektor dan Penolong Penguasa Polis (ASP) dalam kemalangan jalan raya dan serangan jantung.

Insp Muhammad Azri bin Ismail, 33 tahun dari Unit Tindak Khas telah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2 Februari lalu semasa dalam perjalanan menghadiri kursus di Lumut, Perak. {Baca berita mengenai kemalangan tersebut} 

Beliau telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan kembali ke rahmatullah pada jam 7.30 pagi ini. Jenazah telah dimandikan di Masjid Bukit Aman dan akan dikebumikan di Pasir Mas Kelantan.

Allahyarham Azri meninggalkan seorang balu yang kini mengandung 2 bulan dan tiga anak lelaki masing-masing berusia 8, 4 dan 2 tahun.

Sementara itu, seorang lagi pegawai kanan polis, ASP Mohamad Hasri bin Abdullah, 48 tahun dari Jabatan Logistik, Bukit Aman telah meninggal dunia di Hospital Slim River pada jam 5.13 pagi tadi setelah mengalami serangan jantung.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Bakar Arang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Penghulu Him Sungai Petani, Kedah.

Allahyarham Hasri meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Ketua Polis Negara dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua allahyarham. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Al- Fatihah buat arwah Insp Muhammad Azri dan arwah ASP Mohamad Hasri.
Semoga arwah di tempatkan bersama mereka yang beriman.
Dan takziah buat ahli keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment