Kita
sering mendengar ungkapan (cliché) "kenaikan harga ini adalah minima dan
tidak membebankan rakyat" atau "kenaikan harga ini tidak dapat
dielakkan dan rakyat perlu berjimat cermat, jangan membazir" keluar
daripada mulut para pemimpin negara setiap kali berlaku kenaikan harga
sesetengah barangan atau perkhidmatan.
Ungkapan-ungkapan ini dijangka akan kembali
kedengaran sekiranya harga minyak di pasaran dunia semakin tinggi. Jadi seyogialah
kita semua bersedia untuk membayar lebih lagi untuk bahan bakar tersebut dan
juga barangan-barangan yang berada di bawah kumpulan makanan dan minuman;
perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api, dan pengangkutan.
Selain ungkapan-ungkapan tersebut, ada satu yang
bertentangan dengan pendapat yang diterima umum yang dapat kita perhatikan
melalui suasana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini, iaitu di sebalik
kenaikan harga, indeks harga pengguna (IHP) negara kekal stabil pada paras yang
rendah.
Apapun, kita terpaksa mengakui bahawa rata-rata
ahli masyarakat sekarang mengeluh kerana berhadapan dengan masalah kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan kerana akan berlaku peningkatan kos sara hidup.
Jadi apa ikhtiar kita untuk menangani masalah ini? Perlukah kita mengambil
saranan para pemimpin supaya berjimat cermat dan jangan membazir sedangkan
sumber kewangan terhad yang kita ada semakin hari semakin mengecil nilainya
akibat dihakis oleh masalah kenaikan perbelanjaan sara hidup ini?
Sebenarnya apa yang kita alami sekarang turut
dialami oleh masyarakat Muslim yang terdahulu. Terdapat beberapa bukti yang
menunjukkan masalah kenaikan harga ini berlaku dalam sejarah tamadun Islam
seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, Khalifah Umar Ibn al-Khattab
dan Khalifah Uthman Ibn al-Affan.
Berbeza dengan pendekatan yang diamalkan oleh
kerajaan kita yang banyak menggunakan pendekatan kawalan harga ke atas
keperluan asas dan memberi subsidi ke atas barangan tertentu. Pendekatan Nabi SAW untuk masalah ini dilihat
lebih adil dan saksama kepada pihak pengeluar dan pengguna. Baginda membiarkan
aliran permintaan dan penawaran yang menentukan rangkaian taraf harga. Ini
adalah lebih adil kerana ada waktunya harga meningkat kerana unsur-unsur yang
ditentukan Ilahi seperti kekurangan bekalan akibat perubahan cuaca dan
sebagainya. Ia juga untuk mendidik pengguna supaya tahu menggunakan hak-hak
yang ada pada mereka untuk mengawal taraf harga pasaran tanpa perlu ada campur
tangan kerajaan.
Inilah juga pendekatan yang diambil oleh khalifah
Umar ibn Al-Khattab apabila golongan wanita datang mengadu kepada baginda
berkenaan kenaikan harga daging. Khalifah Umar menyuruh mereka menangguhkan
pembelian sehingga harga daging turun. Ia juga merupakan satu isyarat supaya
masyarakat pengguna tidak terikat dengan suatu barangan tertentu sahaja.
Sebaliknya kita perlu mencari pilihan lain kepada barang tersebut yang mungkin
lebih murah tetapi tetap mempunyai sifat dan mutu yang sama seperti barangan
asal yang kita kehendaki.
Bagaimanapun, pendekatan yang diambil oleh Khalifah
Uthman Ibn al-Affan bagi menangani masalah ini agak berbeza sedikit. Pendekatan
yang diambil mungkin berdasarkan perbezaan suasana yang dialami pada waktu itu.
Sebagai contoh, apabila masalah kenaikan harga melanda rakyat di sebuah kawasan
di bawah kuasa pemerintahannya, khalifah Uthman telah menghantar satu kafilah
barangan keperluan ke kawasan terbabit dan mengagihkan secara percuma kepada
penduduk di situ.
Dengan kata lain jika kita merujuk kepada
kisah-kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah saw, zaman Khalifah Umar dan
Khalifah Uthman, aliran Islam sebenarnya menganjurkan satu kaedah pasaran bebas
yang bertindak untuk menentukan harga barangan dan perkhidmatan. Pada masa yang
sama juga ia menganjurkan kepada umatnya supaya menggunakan kuasa yang ada
untuk mempengaruhi tahap harga di pasaran.
Di sini kita dapati unsur kepenggunaan dan kuasa
pengguna sepatutnya digunakan dengan bijaksana. Selain itu juga, kerajaan
dilihat berperanan untuk mengurangkan beban yang dialami masyarakat melalui
pendekatan-pendekatan berbentuk pengagihan kemakmuran negara secara saksama.
Selain itu peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal selia suasana pasaran
perlu juga diwujudkan supaya tidak berlaku apa yang dirujuk oleh Ibn Taimiyyah
(1263M - 1328M) di dalam bukunya "Majmuk al-Fatawa Shaikh al-Islam"
sebagai kenaikan harga yang berpunca daripada salah laku manusia dan
ketidaksempurnaan pasaran seperti perbuatan menyorok barang, spekulasi, peranan
orang tengah, amalan monopoli dan sebagainya.
Hakikatnya, masalah kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan yang kita alami sekarang bukan hanya berpunca daripada peningkatan
harga minyak dunia semata-mata. Ia juga ada kaitan lebihan permintaan, kekangan
bekalan serta kelemahan kaedah pasaran.
Walau apa pun unsur pencetus masalah ini, kita
sebagai pengguna yang bijak perlu
bersederhana dalam segi penggunaan dan perbelanjaan. Dengan bersederhana dan
berjimat cermat, jumlah permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat
dikurangkan dan wang kita boleh disalurkan untuk tujuan yang lebih baik.
Pendekatan kepenggunaan perlu berasaskan kepada
keperluan sebenar manusia bukannya penggunaan yang mengikut kehendak nafsunya
kerana kehendak nafsu manusia adalah tidak terbatas.
Gaya hidup melalui pendekatan kepenggunaan yang
mengguna atau berbelanja untuk kepuasan yang tidak terhad. Sebaliknya jika kita
mengamalkan pendekatan mengikut
keperluan dalam setiap urusan perbelanjaan kita, sudah pasti semua masalah yang
berpunca daripada pendekatan ekonomi sedia ada dapat dihindari.
No comments:
Post a Comment