Pages

Friday, 27 December 2013

SUSPEK KES BUNUH PERAIH EMAS DITAHAN BANTU SIASATAN !!!


Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan mayat peraih emas dalam semak tepi tebing jambatan kereta api Gertak Kusial, Paloh Rawa, Machang, petang kelmarin.

Penahanan pembaiki tayar lori yang beralamat di Kampung Padang, Temangan itu dibuat, awal pagi semalam iaitu dalam tempoh tidak sampai 24 jam mayat tersebut ditemui orang awam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek yang dikenali dengan panggilan Pok Yie itu ditahan di sebuah rumah di Taman Desa Arif Machang, pada jam 1.40 pagi.

Suspek mengaku sebelum kejadian dia bersama dua lagi rakannya Adik Yo dari Selising, Pasir Puteh dan Hambali dari Cerodok, Machang, berjumpa dengan mangsa di hadapan Bank Rakyat untuk menjual beberapa barangan kemas tiruan, pada jam 12.30 tengah hari, 22 Disember.

“Mangsa kemudian dipelawa menaiki kereta jenis Perodua Kancil milik Adik Yo yang tidak pasti nombor pendaftarannya bertujuan berurusan.

“Semasa meronda di bandar dan tiba di hadapan Masjid Besar, Adik Yo tiba-tiba menjatuhkan kerusi penumpang hadapan lalu terkena leher mangsa yang berada di tempat duduk belakang menyebabkannya jatuh serta tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita, semalam.

Tidak lama kemudian, suspek seterusnya memeriksa pernafasan mangsa dan mendapati wanita warga emas berusia 60 tahun itu sudah tidak bernyawa.

“Mereka kemudian membawa kereta itu melalui Batu 30 ke Paloh Rawa seperti dicadangkan suspek sebelum menarik mayat keluar dari kereta dan membuangnya ke dalam semak, pada jam 1.30 tengah hari,” katanya.

Sehubungan itu, dua rakan suspek yang masing-masing berusia 17 dan 19 tahun itu diburu polis. Sementara, motif sebenar masih dalam siasatan. Selain mereka, anak lelaki Adik Yo yang berusia 7 tahun turut berada di dalam kereta terbabit.

“Suspek yang ditahan sudah berkahwin, mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah ragut pada 2011 dan dadah serta berada dalam parol sehingga 17 Februari tahun depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada jam 6 petang, kelmarin, mayat Tuan Faridah Tuan Losen dari Kampung Raja, Panyit ditemui dalam keadaan berulat dan tersangkut sebatang pokok oleh sepasang suami isteri yang pergi memetik pucuk beko di kawasan itu.

Mayat berjubah hitam dan sudah berbau serta muka bengkak dihinggapi lalat tersebut dipercayai mati dua atau tiga hari lalu kerana dicekik. Tiada sebarang dokumen atau barang kemas dijumpai.

Anak dan menantu mangsa mengecamnya sebagai mayat Tuan Faridah berdasarkan jubah yang dipakai. Laporan kehilangan ibunya itu sudah dibuat selepas dia gagal dihubungi pada jam 9.20 malam, 22 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment