Pages

Tuesday 24 December 2013

MESTI BACA !!! KISAH BENAR – HAKIKAT MENGHERDIK ANAK YATIM.


Disember 8, 2013, kami seramai 36 orang menghadiri jemputan Majlis Makan Malam Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Itu kali pertama untuk anak-anak kami dijamu di sebuah hotel mewah bertaraf 5 bintang. Namun semuanya berakhir tidak seperti yang dijanjikan.

Bermula sekitar 3 minggu sebelum itu, seorang Dato’, wakil dari Yayasan datang ke rumah kami. Pada mulanya, agak angkuh bahasanya kerana beliau katakan melalui wakil kami En. Pitry Dato’ Bahrim yang beliau sangat sibuk jadualnya dan jika beliau terasa nak datang, beliau akan datang sahaja. Di situ saja kami sudah terpaksa mengurut dada bersabar dan bersangka baik, beliau mungkin ada banyak urusan. 


Maka, kami kompromi untuk menyesuaikan diri kami mengikut masa Dato’ ini. Jika diikutkan, kami tidak harap pun untuk terlibat dalam majlis yang bakal dianjurkan tetapi kami melihat sebagai satu jemputan yang mana mereka berkehendakkan anak-anak kami untuk memeriahkan majlis malah menyanyikan 2 buah lagu dalam koir. 

Pertemuan pertama ditangguh banyak kali, begitu juga pertemuan lain yang diaturkan juga ditangguh dan dan dibatalkan tanpa notis atau dengan notis minit akhir sedangkan anak-anak kami telah buat persiapan sepanjang hari untuk kononnya menunjukkan progress latihan lagu-lagu yang diminta untuk dinyanyikan. Lebih dari 4 kali berjanji semuanya tidak ditepati. Nak kata ON pun tidak, nak kata CANCEL juga tak pasti. Beberapa kali anak-anak menunggu sepanjang hari sampai ke lewat malam kerana Si Dato’ janji nak datang tengahari. Hancur semua program kem cuti sekolah gara-gara acara ini.

Dalam kesabaran anak-anak diuji begitu sekali, Dato’ yang memetik nama Tuanku Sultanah Haminah membawa titah meminta anak-anak memainkan lagu “Minta Sedeqah” yang bertajuk “Tolong Kami” dendangan asal Allayarham Tan Sri P. Ramlee. 

Anak-anak kami sudah kami didik untuk tidak meminta-minta. Furqan mereka mengatakan, adakah wajar kami nyanyikan lagu ini? Namun kami pujuk mereka mengatakan lagu ini kita nyanyikan UNTUK PIHAK YAYASAN yang mahu mengutip derma, bukan kita. Di dalam benak kami, masih kami berbaik sangka sedang pada ketika ini kami sudah lihat seperti ada yang tidak kena. Bukanlah kami ini sombong kerana tidak meminta derma. Tetapi kami lebih suka berbuat sebaiknya, dan jika ada yang simpati dan suka, mereka boleh memberi dengan ikhlas atas dasar kasih suci kerana Allah, bukan kerana kami meminta-minta.

Begitulah seterusnya, pelbagai janji kunjungan untuk pemeriksaan latihan, latihan bersama combo DBKL, pertemuan bersama composer, mesyuarat protocol, nak bawa anak ke Istana dan entah apa-apa, kesemuanya dibatalkan tanpa notis. Kehadiran terakhir Dato’ ini beberapa hari sebelum majlis membawa titah lagi, iaitu minta anak berlatih lagu Yayasan terkini oleh Dato’ Siti Nurhaliza yang bernada tinggi kerana beliau tidak dapat hadir. Hancur suara anak-anak sampai ada yang sakit tonsil, ada yang demam termasuk vokalis utama.

Kem Cuti Sekolah yang menjadi rutin tahunan kami kepada anak-anak kami tergendala sepanjang 3 minggu untuk latihan koir dan MENUNGGU janji yang tidak ditepati oleh munafik ini. 

PADA PETANG SEBELUM MAJLIS

Program rehearsal protokol adat istiadat dan latihan bersama okestra DBKL yang dijanjikan jam 10 pagi ditunda jam 1 ptg. Itupun tertangguh lagi. Lagu “Ampuni kami” yang awalnya diminta Tuanku telah dibatalkan. Lagu itu mungkin terlalu Islamik, mencacatkan majlis kerana mereka belum bersedia untuk beristighfar lagi agaknya. Lagu “Tema Yayasan” bernada tinggi yang telah membuatkan anak-anak demam dan pecah suara turut dibatalkan. 

Yang diminta ialah lagu “Minta sedekah”. Itu pun di’trimmed’ menjadi 3++ minit dengan versi mereka, bukan versi yang kami latih anak-anak. Segalanya harus dirombak semula dalam masa beberapa jam itu juga. Janji untuk latihan secara live bersama Okestra juga mendukacitakan. Kami diberi rakaman minus-one yang entah apa-apa. Mereka sibuk melatih Jamal Abdillah, Jaclin Victor dan seorang penyanyi India. 

Anak-anak kena jadi pak pacak berdiri memerhati penyanyi Diva berlatih. Hampir jam 7, mereka kata masa dah tak ada. Anak-anak tak perlu berlatih dengan Okestra. Kami kata apa sudah jadi? Lagu diubah senikata, nada dan kunci. Semua 3 lagu yang dilatih dibatalkan semuanya. Akhirnya dapatlah berlatih HANYA 1 KALI bersama okestra. Nak minta tambah mikrofon pun mereka tak beri.

Si Dato’ menjanjikan 3-4 buah bilik yang akan menjadi tempat berehat dan persiapan anak-anak lelaki dan perempuan sebelum persembahan. Makan pagi dan tengahari tak perlu risau katanya kerana ia juga telah disediakan. Dato’ juga dengan yakin menjanjikan meja anak yatim di barisan depan, sebaris meja utama Tuanku Sultan. Anak-anak ini akan diraikan sebagai VVIP dalam majlis itu. Nama majlis itu sendiri adalah untuk meraikan anak-anak yatim kononnya. 

Berubah dari janji awal jam 10 am, kami dipanggil jam 12 tengahari untuk mengadakan rehearsal penuh bersama combo DBKL dan mesyuarat protokol pada jam 1 petang. Kami diingatkan untuk tidak lewat agar tidak menjadi masalah kepada Pegawai Protokol Istana sedangkan beberapa kali pegawai protokol dan combo DBKL janji untuk hadir ke RPWP terus senyap begitu saja..!

Sebelum jam 12 tengahari, kami sudah berada di sana. Pada ketika ini, kami terbiar terkontang kanting sendirian apabila Dato’ yang menjadi individu pengatur kami di sana gagal dihubungi. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berjawab. Keadaan berterusan sehingga beliau sendiri muncul pada sekitar jam 4 petang. Waktu itu anak-anak sudah kelaparan dan bergelimpangan atas lantai tepi tandas. Anak-anak diberikan satu rakaman dan memaksa mereka ikut rentak baru yang diringkaskan itu, nada dan senikata semua kena ubah semula.

Kami yang hadir awal akhirnya tiada taklimat protokol dan juga tiada rehearsal selain penyelarasan mikrofon sahaja. Dengan Dato’ masih terus gagal dihubungi, 36 orang rombongan yang DIJEMPUT SEBAGAI VVIP ini menjadi gelandangan di tepi tandas lobi bawah berhadapan dengan ballroom yang mewah. Anak-anak sudah mengeluh lapar dan makanan di hotel kesemuanya terlampau mahal untuk kami beli. Bilik yang dijanjikan juga tiada, menyebabkan anak lelaki dan perempuan terpaksa menjadi gelandangan di atas karpet hotel sementara menunggu jam 6 petang untuk waktu rehearsal yang BARU. 

Pada mulanya, di luar ballroom itu ada juga beberapa set sofa untuk kami 35 orang menunggu dengan perut yang kelaparan, tetapi sehingga jam 2.30 petang, pihak hotel telah mengalihkan kesemua sofa yang tinggal untuk di bawa ke tempat lain. Barangkali itu cara mereka mengusir kita dari bersidaian di lobi itu dan mencemar pandangan ‘orang-orang tertentu’. Tambahan pula lobi itu menjadi persiapan satu parti sosial remaja yang macam “sial” lucahnya. Anak-anak geleng kepala, bagaimana majlis Ketua Agama Negara dibuat di tempat dan masa yang sama dengan majlis maksiat yang bertelanjangan dan mabuk-mabuk semuanya?

Kami tiada pilihan selain menunggu dengan bersila di atas lantai. Lebih memalukan, di antara 36 orang ini ialah Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri yang dahulu adalah usahawan yang berjaya. Sekadar Shangri-La bukanlah sebuah hotel yang asing pada beliau. Beliau sendiri memfakirkan kesemua kekayaan dan segala harta yang ada pada beliau termasuk diri beliau sendiri untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin DISOKONG oleh 19 lagi “co-founder” yang lainnya.

Dr. Masjuki masih tenang sambil berbaring di lantai dek kerana kepenatan dalam mempersiapkan anak-anak selama tempoh 3 minggu. Salah seorang dari co-founder mencadangkan kepada beliau untuk balik dan tidak beserta dalam program makan malam yayasan itu. Dr. Masjuki menjawab, ikutkan hati begitulah juga. Tetapi kerana hormat akan Tuanku Sultanah dan prinsip mendaulatkan Sistem Beraja, beliau telan sahaja layanan buruk yang sedang berlaku ketika itu. 

Seolah-olah kehadiran kami di sana tidak wujud dan tiada siapa yang kisah sekumpulan 36 orang dari Rumah Pengasih Warga Prihatin ini menjadi gelandangan di situ. Tiada yang prihatin untuk tanya sudah makan ataupun belum. Perut anak-anak sudah berkeroncong. Pengiring dewasa menahan lapar, sedikit bekalan roti dan susu diberi pada anak-anak untuk alas perut. Setelah pasti tiada lunch dari Dato’ penganjur yang tidak nampak muka dari pagi, kami terpaksa menghantar wakil untuk mencari makanan luar. Jam 4 petang, wakil kami pun berjalan lebih 2km untuk mencari makanan yang wajar untuk mengalas perut anak-anak. 

Dalam menunggu makanan dibeli, Dato’ dari Yayasan itu tiba-tiba muncul. Tidak ada bahasa lagi kerana kehadiran beliau terus meluru kepada anak-anak untuk dipalau memalu kompang, bukan nak tanya dah makan ke belum? Dah dapat bilik ke belum?. Beliau hanya memeriksa apa yang beliau rasa perlu untuk persembahan malam itu. Tidak pula beliau menemui, jauh sekali meminta maaf terus kepada Dr. Masjuki, seorang OKU yang jelas dilihat terbaring keletihan di lantai penjuru dinding itu. 

Jam 5 petang kami diberikan 2 bilik kecil. Sebaik saja kami anak beranak mula makan makanan yang dibeli setelah berjalan merata bandar itu, 5.30 petang baru kami dijemput ‘makan tengahari’. Rehearsal pula akan bermula jam 6 petang. Itu bermakna, tiada rehat langsung. Kami ambil keputusan hanya anak-anak nisak dan ibu-ibu saja turun makan, yang lain cukup alas perut makanan yang telah dibeli.

Jelaslah satu pembuktian dari sangkaan kami bahawa insan ini hanya memikirkan tentang ‘perutnya’ sahaja tanpa mengira akan kebajikan dan perasaan orang lain. Minta maaf diberikan lebih kurang sahaja. Mungkin malu YANG AMAT BESAR lalu mereka berdua tidak berani berhadapan dengan co-founder, sampai kami pulang. 

KONFLIK REHEARSAL

Sebelum makan malam, sesi rehearsal bersama combo DBKL hampir dibatalkan kerana kesuntukan masa. Mereka dahulukan latihan seorang anak India, Jamal dan Jaclin Victor sampai lancar. Dengan tegas kami katakan kami dipanggil untuk rehersal dan tidak diberi peluang langsung. Kami akan tinggalkan majlis kerana tidak mahu mengorbankan maruah anak-anak kami untuk membuat persembahan tanpa latihan. Akhirnya anak-anak diberi peluang untuk mencuba. 

Alhamdulillah latihan agak lancar biarpun Cuma sekali. Padahal anak-anak ramai yang DEMAM dan KEPENATAN, terutama sekali anak perempuan kami yang tidak boleh selamba-selamba baring di atas karpet dan secara tak langsung membenarkan orang yang lalu lalang memerhatikan tubuh mereka yang sedang tidur itu. Mereka sudah diajar tentang aurat itu bukan sekadar BALUT tetapi menutupi dan juga postur yang nampak dan menggamit aura. 

Apapun, prinsip kami adalah untuk melakukan apa sahaja dengan bersungguh sungguh. Memang kami didik anak anak kami untuk mendaulatkan Raja. Atas alasan itu juga kami teruskan persembahan dengan bersungguh sungguh walaupun tidak dilayan seperti yang dijanjikan sejak menjejak kaki di hotel pagi itu. Jika ini jemputan komersial biasa, pasti kami sudah tinggalkan sahaja majlis itu.

MALAM MAJLIS

Kami jenuh menenangkan anak-anak kami yang terkurung awal dalam dewan, asyik bertanya kenapa maghrib itu tidak solat berjemaah macam biasa? Mereka juga pelik kerana dikatakan VVIP majlis, tapi diletakkan di tepi dinding HUJUNG dewan. Ada 5 meja untuk anak-anak yatim termasuk dari 2 sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur berada dalam barisan “VVIP” kami di sebelah dapur. Hiasan bunga di atas meja juga tidak sama. Menu makanan yang sepatutnya menu masakan Cina pada malam itu tetapi yang sampai ke meja anak-anak “VVIP” majlis hanyalah “makanan gorengan mudah” dan tidak ditambah apabila habis. 

Mujur kami didik anak kami untuk tidak gelojoh dalam menjamah. Seorang sudah terbiasa ambil satu dan tidak lebih. Tetapi kami sempat jeling meja anak-anak tahfiz dan yatim yang lain di sebelah kami yang licin tak berbaki. Ada anak tahfiz yang baru 9 tahun umurnya mengatakan masih lapar. Sebak kami mendengarnya kerana mereka juga senasib dengan kami dan kami juga rasa ia tidak mengenyangkan anak-anak kami. Malang bagi mereka kerana murobbi mereka tidak ada bersama untuk membela.

Majlis yang dihadiri seorang Ketua Agama Negara itu menyaksikan seolah-olah satu pertunjukan fesyen pula. Anak-anak kami yang diletak di belakang asyik bertanya..>

“Ayah, ayah… boleh ke makcik tu pakai tudung baju ketat begitu? pakai tudung tapi dada terbelah begitu? Boleh ke pakai sopan tapi kain terbelah sehingga ke pangkal paha? Kenapa pakaian Makcik itu terbelah di belakang?”… Kenapa tinggalkan solat?

Dan macam-macam lagi soalan yang terpaksa kami jawab kepada anak-anak kami. Baik juga kerana boleh kami tunjukkan mana baik dan mana yang buruk. Pada kami, ia seperti satu penghinaan kepada seorang ketua Agama Negara Islam yang berdaulat dengan tetamu majlis berpakaian secara jahilliyah. 

Duduk sahaja Sultan dan Sultanah, seorang MC wanita membuka tirai program dengan mempersilakan sebuah tarian kebudayaan persembahan JKKN. Hati kami terdetik, di manakah daulat Ketua Agama Islam apabila disambut dengan tarian kebudayaan dan sepanjang aturcara sehingga pulang tiada langsung doa dibacakan. Kami berbaik sangka lagi, mungkin kerana berkompromi dengan kira-kira 10-20% tetamu beragama lain. 

Di dalam ucapan Dato’ Wira yang juga orang kuat kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, beliau menyatakan highlight program-program sepanjang tahun yang lalu. Kami mendengar dengan khusyuk. Pastinya dalam program yang singkat, beliau memberikan highlight kepada program yang paling besar sahaja. Antara program yang dinyatakan ialah seperti; 

1. Lawatan ke rumah anak yatim
2. Pembelian baju kelengkapan sekolah untuk 200 orang anak yatim
3. Sunat beramai-ramai (50 orang)

Dengan kutipan derma berjumlah RM2.3 JUTA diumumkan pada malam itu, kami sebagai pentadbir Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan 109 orang warga berani katakan kesemua program di atas itu sepatutnya tidak menelan belanja lebih dari RM100,000. Jika di”lajak”kan sekalipun mungkin boleh cecah RM500,000 dan ia masih jauh dari kutipan yang diperolehi. Kami tak mahu menyangka-nyangka tentang ini, cukuplah kami tinggalkan satu persoalan di sini. 

Dalam ucapan Dato’ Wira, beliau membacakan banyak hadith tentang anak-anak yatim. Antaranya adalah pesanan untuk tidak mengherdik anak yatim. Namun bagi kami, mengherdik itu tidaklah hanya terhad kepada meninggikan suara kepada anak-anak yatim. Apabila hak asas mereka mendapat makanan itu juga dinafikan, kami kira itu lebih dari satu herdikan halal seorang guru kepada muridnya. Kedudukan meja VVIP yatim, Jenis makanan berbeza untuk VVIP yatim, bilik rehat dan makan tengahari yang dijanjikan kesemuanya gambaran MENGHERDIK secara hakikat. Yang paling penting ialah bagaimana mereka mengeksploitasi anak-anak yatim semahunya untuk kepentingan kutipan yang kami tidak pasti untuk apa. 

Sejak 8 tahun dengan residen seramai 109 orang, kami di RPWP jalankan usaha dengan cara berpuasa. Semua co-founder mengeluarkan dana dan tenaga sendiri mentadbir rumah ini. Mungkin pada malam itu, sebahagian pegawai Yayasan memandang kami yang MENGIRING ini sama seperti mereka yang mendapat faedah dari kutipan tetapi di sebalik itu mereka mungkin tidak Nampak, Dr Masjuki sendiri bukan bertambah kaya setelah menubuhkan RPWP sebaliknya terus menjadi fakir. Begitu juga co-founder yang lain. Semuanya korbankan harta masing-masing dahulu dan tidak mengharap derma untuk menjalankan program harian kami. 

Kami sedar, mereka rupanya tidak cukup atau mungkin tiada anak yatim di bawah naungan mereka. Anak-anak kami diwajibkan memakai badge Yayasan dan dengan itu ucapan Dato’ Wira boleh memberikan highlight kepada Sultanah yang di dalam ballroom pada malam itu ada 66 orang anak-anak yatim. Pengacara Aznil jelas mengatakan Yayasan yang memberikan penempatan untuk anak-anak kami kerana lencana Yayasan itu, atau mungkin diminta berkata begitu. 

Jelas kami dah faham. Sebuah yayasan yang sebenarnya tidak / kurang memiliki atau menjaga anak-anak yatim secara sistematik, juga tiada laman web yang aktif dengan facebook yang baru 300 likes membuat makan malam dengan menggunakan Nama Sultanah Kedah (Permaisuri Agong) bagi mengutip derma korporat dan persendirian dengan jumlah yang banyak. 

Kami tak mahu melanjutkannya seperti ia satu tuduhan yang pasti, tetapi yang nyata kami hanya di bawa untuk menyanyikan lagu “minta sedekah” dan langsung diletak di hujung dewan TANPA ADA SEORANG PUN pegawai Yayasan yang sudi menjengah meja-meja yang “Kononnya VVIP” itu. Kehadiran anak-anak yatim di hujung dewan hanya satu lesen bagi penganjur mengatakan mereka ada anak yatim dan juga membuka simpati penderma untuk menderma lagi. 

Operasi kami memelihara 109 orang anak yatim dan asnaf yang menjadi residen berbeza sekali. Di atas tanah seluas setengah ekar dengan kos pembinaan, makanan berkhasiat, pendidikan dari pakar pendidik. Prasarana asas yang memadai yang kami bina sendiri secara gotong royong lebih dari 8 tahun lalu. Belanja bulanan kami hanya sekitar RM35,000-45,000 sebulan. Bukan mewah tetapi mencukup. Jika dihitung selama 1 tahun, kos operasi kami adalah sekitar RM500,000 sahaja. Semuanya berkat infaq dan hasil perniagaan kecil kecilan yang kami tabungkan kesemuanya.

Kuncinya ialah PUASA. Kami pihak co-founder MELABUR harta dan diri kami, BUKANNYA mengambil sebahagian untung dari pendapatan derma. INILAH JULUNG KALI kami izinkan anak-anak kami turutserta dalam program malam amal setelah bertahun-tahun kami menolak permintaan banyak pihak lain untuk menggunakan Nama kami untuk tujuan ini. Dan apa saja penyelewengan yang kami bimbangkan jelas terjadi pada kali pertama ini juga.

Sila ikuti beberapa klip video sebagai pengesahan berita.






JANGAN CEMARI INSTITUSI BERAJA

Kami kecewa dengan apa yang berlaku. Kami pasti Tuanku Permaisuri Agong juga akan kecewa jika mengetahui perkara sebenar di belakang tabir. Kami pula tiada laluan memandangkan laluan untuk kami menyuarakan perkara ini bagi pihak Yayasan mengambil pelajaran seperti tertutup. Maka, artikel ini kami karang supaya ia menjadi pelajaran kepada yang lain-lain.

Jika ada laluan yang lebih baik untuk kami memaklumkan perkara ini kepada Kebawah Duli Tuanku, pasti kami juga tidak gemar menyampaikannya dalam rencana terbuka sebegini setelah si Dato' yang berjanji untuk datang sendiri itu gagal menemui kami memberikan penjelasan hingga saat ini.

Sebelum ini kita dengar ada rumah-rumah anak yatim dari utara Malaysia yang anak-anaknya dikerah menjual barang dan meminta derma kononnya mereka daif. Tetapi dilihat, pengasasnya berkereta mewah dan akhirnya ia diharamkan. Rupanya, kita mungkin akan saksikan apa yang terjadi ini adalah satu scam berprofil tinggi. Pengutipan derma untuk anak yatim tanpa ada anak yatimnya.

Sebagai hamba rakyat, kami tidak rela jika nama raja yang menyayangi anak-anak yatim dan asnaf digunakan untuk kepentingan segolongan manusia. Jauh sekali dengan sebarang niat untuk merendahkan Institusi Raja yang kami sendiri doakan dalam majlis itu dan dalam banyak artikel kami sebelum ini. 


Ramai yang meminta kami menyaman penganjur, namun itu bukan kerja kami. Banyak lagi urusan kami yang lain untuk anak-anak ini. Cukuplah kisah ini diambil pelajarannya oleh masyarakat. Para pengasas tidak hairan dengan makanan dan bilik hotel. Tapi apa yg dilakukan terhadap anak-anak kami SANGAT KAMI TIDAK RELA.! Kerana kami sayang mereka, kami tatang mereka macam minyak yang SANGAT penuh.

Alhamdulillah bersyukur beberapa anak dapat buahtangan angpau RM100 seorang dan kuih raya yang kami tidak tahu bila tarikh luputnya kerana bungkusan itu bertulis SELAMAT HARIRAYA 2013.

WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment