Pages

Monday, 30 December 2013

HARUN TAIB AKUI BUKAN MUDAH UNTUK "GULING KERAJAAN" !!!


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, kerajaan negara ini amat sukar untuk digulingkan mana-mana pihak apatah lagi proses rampasan kuasa itu berlaku secara kekerasan dan huru-hara.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada dan juga akan datang merupakan pemerintah yang cukup teguh dengan kekuatan pasukan keselamatan yang sentiasa mantap dan cekap.


"Atas sebab itu saya masih berpendapat bahawa tidak mudah untuk gulingkan kerajaan (Malaysia) dan saya juga berpendapat lambat lagi nak berlaku macam itu (guling kerajaan).

"Malah saya juga tak fikir akan berlaku keadaan huru-hara pada himpunan itu nanti (Himpunan Guling Kerajaan)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai desakan pelbagai pihak yang kian memuncak membantah Himpunan Guling Kerajaan pada malam sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka Selasa ini.

Semalam, polis mendedahkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang sebagai dalang utama merancang mengadakan himpunan itu bagi menimbulkan huru-hara semasa sambutan ambang tahun baharu tersebut.

Harun tidak menolak kemungkinan berlaku kekecohan dan huru-hara pada malam sambutan itu nanti sekiranya pihak kerajaan sendiri melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

"Kata nak guling kerajaan itu sebenarnya pihak kerajaan cakap saja, tapi kalau kerajaan bertindak luar biasa mungkin juga berlaku huru-hara," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa himpunan itu diadakan bukan bertujuan menimbulkan huru-hara dan untuk menggulingkan kerajaan seperti mana didakwa banyak pihak.

Sebaliknya kata Harun, perhimpunan ini sekadar untuk menyatakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar kerajaan terutama berkaitan isu kenaikan harga barang, cukai dan sebagainya sehingga membebankan mereka.

"Hanya mereka yang berani cakap saja yang akan bersuara dalam himpunan itu sedangkan kerajaan tak susah apa pun dengan kenaikan harga barang sebab mereka ada pendapatan tetap.

"Kalau Selangor lainlah sebab wakil-wakil rakyatnya naik gaji, tak apalah," katanya berseloroh.

No comments:

Post a Comment