Pages

Sunday, 25 August 2013

UNTUK MAKLUMAN DAN TINDAKAN SEGERA YB NIK ABDUH P22 PASIR MAS & YB HANIFA N12 PENGKALAN PASIR.

PASIR MAS - Lebih 10 rumah di Dun Pengkalan Pasir di sini rosak teruk apabila dipukul ribut dalam kejadian, petang kelmarin.

Ribut yang seakan-akan ‘puting beliung’ itu dikatakan melanda beberapa kampung di kawasan tersebut selama 20 minit sehingga menyebabkan banyak kerosakan berlaku.

Cedera selamatkan anak

Seorang buruh, Wan Mohamad Wan Omar, 42, di Kampung Pondok Haji Omar, Kubang Bemban menerima 12 jahitan di kepala apabila terkena serpihan batu ketika cuba menyelamatkan anak bongsunya, Wan Azim Haikal, 2, daripada ditimpa bumbung.

“Kejadian berlaku dalam jam 5.30 petang, ketika itu anak bongsu saya sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu rumah.

“Tiba-tiba angin kuat datang dan menerbangkan bumbung rumah kami sehingga menyebabkan semua benda di dalam rumah berterbangan.

"Saya cuba menyelamatkan dia untuk dibawa keluar dari rumah, namun terkena serpihan batu yang jatuh dari bumbung ketika itu,” katanya ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ribut tersebut berlaku begitu pantas dan ia menakutkan mereka sekeluarga apabila rumah didiami turut merasai gegaran.

Wan Mohamad berkata, dia bersyukur kerana kesemua lima anaknya serta isteri selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan walaupun rumah mereka rosak teruk.

Kedai bergegar, bumbung tercabut

Manakala di Kampung Dangar, seorang peniaga, Rohana Omar, 43, berkata, ketika kejadian itu dia, anak, bersama empat cucunya sedang mengemas barang di dalam kedai tersebut.

“Tiba-tiba dinding kedai bergegar dan angin kuat datang menyebabkan semua bumbung tercabut serta terbang.
“Pada masa itu makcik merasakan seperti sudah hilang nyawa kerana angin kuat dan hujan lebat,” katanya yang sudah 17 tahun berniaga di sini.

Dia berkata, selepas bumbung kedainya itu diterbangkan, mereka sekeluarga cuba menyelamatkan diri ke rumah yang terletak 50 meter di belakang kedai tersebut, tetapi gagal apabila sebuah pokok ketapang yang besar tumbang dan menghempap belakang kedai.

Rohana berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu duduk di dalam kedai sambil dibasahi hujan lebat.

Menurutnya, kesemua cucunya yang berusia antara 15 bulan hingga sembilan tahun menangis ketakutan akibat kejadian tersebut.

“Walaupun banyak harta rosak, tetapi makcik bersyukur kerana kami semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Hampir roboh sebab angin kuat

Seorang lagi peniaga, Zabilah Jaafar, 51, berkata, angin kuat menyebabkan kedainya yang sudah 10 tahun beroperasi bergegar dan ketika itu terdapat tiga pelanggan yang masih menjamu selera.

Dia berkata, seorang pelanggannya keluar dari kedai untuk menyelamatkan diri dan menjerit supaya dia dan anaknya, Noraini Mohd Nasir, 16, keluar apabila melihat kedai tersebut seakan-akan hendak roboh.

“Pada masa itu saya dan anak hanya mampu menyelamatkan diri dalam tandas kerana panik, kami merasakan tempat tersebut paling selamat.

“Ini merupakan pengalaman buruk pertama kami lalui, sebelum ini hanya hujan lebat biasa sahaja dan tiada angin kuat,” katanya.

Zabilah berkata, walaupun bumbung kedainya rosak teruk dalam kejadian kelmarin, ia tidak menghalang dirinya meneruskan perniagaan seperti biasa semalam kerana ia merupakan punca rezeki kepadanya.

Ekoran kejadian tersebut, Zabilah dan Rohana sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pasir Mas, 9 malam kelmarin.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kampung Baru, Romli Che Kob berkata, kejadian tersebut adalah kali kedua berlaku pada tahun ini.

“Sebelum ini pernah berlaku iaitu pada awal tahun ini dan kebanyakan penduduk mengalami masalah kerosakan bumbung rumah akibat diterbangkan angin kuat,” katanya.


SH

No comments:

Post a Comment