Pages

Friday, 16 August 2013

PROF AGUS - KERAJAAN KELANTAN, BERSEDIALAH TERIMA KRITIKAN



Rentetan tulisan saya tentang kerajaan Kelantan, pelbagai komen yang diberikan. Komen tersebut menunjukkan tahap kepekaan politik yang tinggi. Saya senang sekali dengan sikap sebegitu. 

Yang saya tidak senang ialah apabila tujuan asal posting saya dipesongkan. Tujuan saya ialah untuk mengingatkan kerajaan negeri tentang harapan rakyat yang menunggu perubahan dan pembangunan selepas pilihan raya berakhir.

Saya menulis demikian kerana pesimis akan terlaksananya projek lebuh raya rakyat dan air bersih yang mereka nantikan. Betul, kerajaan negeri tidak ada duit untuk melaksanakan projek yang besar itu. Betul, kerajaan negeri dinafikan wang royalti. Betul, kerajaan negeri didiskriminasikan.

Tapi, apakah dengan semua kekangan tersebut boleh mewajarkan kerajaan negeri selesa? Saya hujahkan, selesa atau tidak, kerajaan negeri perlu ada cetak biru pembangunan negeri selepas 100 hari memerintah. Itu inti utama posting saya.

Malangnya, inti tersebut tidak kita berikan perhatian. Yang diberikan perhatian ialah saling menyalahkan. Maka muncullah dakwaan saya penyokong Datuk Husam dan lainnya.

Saya hairan mengapa kita perlu begitu sensitif pada hal yang tak penting, tapi isu pokoknya tentang pembangunan negeri kita abaikan.

Sebagai sebuah kerajaan, jika ada masalah, berbincanglah dengan kerajaan pusat. Jika kerajaan pusat berterusan nafikan hak negeri, rakyat tahu. Dan rakyat hukum dalam pilihan raya. Itupun yang telah dilakukan oleh rakyat Kelantan selama ini.

Masalahnya tidak mudah untuk kerajaan negeri berhubung dengan pusat. Ini kerana jika tersalah berhubung takut pula dikatakan mahu bergabung.

Mengapa sampai begitu tajamnya perbezaan politik kita? Saya mohon supaya kita bersederhanalah dalam politik.

Pada penyokong kerajaan negeri, saya pesan satu perkara: Jika kita boleh lantang mengkritik kelemahan kerajaan pusat, bersedialah juga kita untuk menerima teguran dan kritikan. Tidak semestinya kerana PAS memperjuangkan Islam, maka PAS tidak ada kelemahan.

No comments:

Post a Comment