Pages

Thursday, 8 August 2013

AMALAN-AMALAN SUNNAH PADA 1 SYAWAL.


1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Dilakukan pada pagi 1 Syawal sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri. Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta'.

Bahawasanya Abdullah bin Umar seringkali akan mandi pada Hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Memakai bau-bauan yang wangi
Sunnah ini hanya bagi kaum lelaki. 

3. Memakai pakaian yang paling baik
Pakaian tidak semestinya baru tetapi pakaian yang indah dan rapi sudah mencukupi.
Daripada Jabir r.a. katanya : Bagi Nabi SAW ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat. (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)

Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.

4. Makan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat hari raya Aid al-Fitri.
Sunnah memakan tamar dalm bilangan ganjil jika tiada sudah cukup memakan apa-apa juadah sekali pun.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :
Adalah Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil. (al-Bukhari : 953)
Al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengkomentar hadith ini dengan berkata : Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut). (Fath al-Bari : 2/446)

5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke tempat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Sunnah mengajak seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan perempuan yang datang haid, diasing perempuan yang datang haid daripada perempuan yang boleh solat.
Bagi perempuan yang dating haid sunnah mereka turut serta ke temapat solat supaya mereka dapat menyaksikan upacara solat Hari Raya dan mendengar khutbah solat raya aidilfitri.
Ummu Athiyah radhiallahuanha telah berkata:

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi SAW) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita- wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu Aun berkata: atau wanita-wanita pingitan,dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi SAW) agar menyaksikan jemaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Iedaini, no: 981.

6. Keluar dengan berjalan ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain. Daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma katanya :

Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).(al-Bukhari : 986)


Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya :

Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.(al-Albani menghasankan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah)

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv. Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.

No comments:

Post a Comment