Pages

Thursday, 11 July 2013

PRK DUN KUALA BESUT :- PENDUDUK MAHU PARTI POLITIK BERKEMPEN SEDERHANA SEMPENA RAMADHAN !!!



KUALA BESUT: Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan. 


Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen 'keterlaluan' pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan.

Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60, berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon 'matang' yang tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat. 

"Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. Di sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan," katanya.

Wee berkata kekurangan bank komersial perlu diatasi memandangkan Kuala Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran mengeluarkan wang tunai.

Kempen bersederhana juga dipersetujui pemandu pelancong Azwee Pin, 37, yang berharap bandar kecil itu tidak dibanjiri terlalu ramai orang luar bermula hari penamaan calon pada Jumaat ini sehingga hari mengundi kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tambahan pula menurut anak jati Kampung Gertak Seratus di sini, jumlah kehadiran pelancong asing tinggi bulan ini terutamanya dari negara Eropah yang bercuti sempena musim panas.

"Jalan di sini kecil. Jika ramai datang untuk tolong kempen, kami akan ada masalah membawa pelancong yang datang dari Kota Baharu (Kelantan) untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian kerana perjalanan yang selalu mengambil masa sejam boleh bertambah," katanya.

PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu. SPR menetapkan hari penamaan calon Jumaat ini manakala 24 Julai sebagai hari pengundian.

Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan BN bagi PRK DUN Kuala Besut dengan PAS menamakan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor sebagai calon parti itu.

Bagi pengundi muda Tuan Nur Shafikah Alia Tuan Nor, 22, dari Kampung Nail di sini, beliau berharap penyokong parti terutamanya dari luar tidak akan berkempen secara keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya orang pantai timur.

Katanya calon juga perlu bijak mengawal penyokong mereka dan kebolehan berbuat demikian dapat menjadi 'mata penentu' untuk rakyat tempatan mengundi mereka pada 24 Julai nanti.

Sementara itu, pekerja am Jeti Kuala Besut, Suhaibah Muda, 45, berkata beliau berharap PRK pertama sejak PRU13 itu dijalankan secara bersederhana termasuk dari segi kewangan dan tidak menggunakan surau atau masjid sebagai medium berkempen.

"Tak perlu buat (kempen) besar-besaran, sampai pasang banyak bendera di setiap penjuru jalan. Ini bulan molek (baik) lebih baik berjimat dan duit itu digunakan untuk bantu orang susah terutama apabila hendak raya nanti," katanya.

Beliau yang berasal dari Kampung Alor Teratai di sini, juga berharap calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus meletakkan permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang.

"Kita duduk di kampung, tapi masih mahu pembangunan untuk golongan muda. Sebab itu perlu wakil yang senang untuk jumpa. Kempen kecil pun, jika pandai ambil hati, pasti orang Kuala Besut akan pangkah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment