Pages

Monday, 29 July 2013

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR !!!


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda ..., “Ketika datang bulan Ramadan: 
sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

Wujudnya satu malam rahsia yang amat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadan khusus untuk umat Islam. Walaupun begitu, Allah merahsiakan waktu sebenar berlakunya malam tersebut daripada pengetahuan manusia agar mereka bersemangat untuk mencarinya. Ribuan malaikat akan turun ke bumi dan datang mendekati manusia yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan lalu mendoakan setiap daripada manusia itu yang sentiasa mendekati Allah SWT pada malam tersebut. Allah juga menyatakan kepada para malaikat bahawa doa-doa yang dipohon hambanya akan di makbulkan.

Antara kelebihan malam tersebut ialah malaikat turun bersama empat panji-panji iaitu empat bendera yang diletakkan di empat tempat iaitu, diletakkan di atas makam nabi, di Baitul Maqdis, Baitullah dan Bukit Thur.

Lailatul Qadar adalah malam yang penuh berkat dan digambarkan ia lebih baik daripada 1000 bulan. Barang siapa yang terlepas daripada mengecap malam itu, maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan sangat rugi.

Oleh yang demikian, seorang Muslim itu seharusnya berebut-rebut dalam mencari ganjaran pahala Allah dan melakukan ibadah dengan lebih giat dengan dasar iman. Mereka haruslah mencontohi Rasulullah yang gigih beribadah pada sepuluh malam ganjil terakhir bulan Ramadan yang dikatakan berlakunya malam Lailatul Qadar itu. ‘Aisyah r.a menceritakan, “Rasulullah s.a.w. sangat bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan melebihi kesungguhan baginda di waktu yang lainnya.” (Riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar adalah dengan melakukan ibadah pada sepertiga malam dan bukannya seluruh malam. Ibadah yang dilakukan bukan hanya dengan bersolat, malahan berzikir kepada Allah dan membaca Al-Quran. Namun, amalan solat merupakan amalan yang lebih utama dari amalan yang lainnya. Sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis, “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Bukhari)

Setiap umat Islam sangat digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan doa pada malam tersebut terutama doa yang sentiasa menjadi amalan Rasulullah. Dari ‘Aisyah r.a berkata, “Katakan padaku wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika kau mengetahui suatu malam adalah Lailatul Qadar. Apa yang aku katakan di dalamnya?”
Baginda menjawab, “Katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah) 

Antara tanda terjadinya malam istimewa itu adalah suasana yang tidak panas dan tidak sejuk serta pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu.

Kebiasaannya Rasulullah s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramadan selepas waktu asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bersembahyang. Isteri-isteri baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadan adalah fardu Kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad (utama) dalam mazhab Syafie.



No comments:

Post a Comment