Pages

Sunday, 7 July 2013

DEMOKRASI KERJA JAHAT AMERIKA & ISRAIL - NIK AZIZ


Kita ketika ini digemparkan dengan berita penggulingan Presiden baru Mesir, Mohamad Morsi dari Ikhwanul Muslimin oleh tentera Mesir ekoran rakyat tidak setuju dengan pentadbiran Morsi yang hanya berjalan selama seminggu sahaja.

Dikatakan corak pentadbiran Morsi adalah berbentuk diktator hinggakan rakyat sanggup mengadakan gerakan di jalan raya.

Cara yang sama juga digunakan dalam menumbangkan Hosni Mubarak sebelum Morsi mengambil alih tampuk pemerintahan Hosni.

Itulah cerita yang sedang bergolak di Mesir sekarang ini. Dalam kekecohan itu, Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan satu pandangan beliau sendiri mengenai isu rakyat menolak pemerintahan presiden baru Mesir.
Menerusi penulisan beliau dalam Sinar Harian, Nik Aziz menyatakan pergolakan di Mesir menyerlahkan sikap sebenar AS sebagai satu pihak yang telah menodai sistem demokrasi yang diamalkan. Bila mana Morsi yang dipilih rakyat sebagai pemimpin menerusi pilihan raya, digulingkan hanya atas dasar rasa tidak puas hati dan disokong terang-terangan oleh pihak AS.

Pandangan Nik Aziz itu tidak ada salahnya. Cuma, di penghujung pandangan beliau itu, luahannya itu seolah-oleh beliau sendiri tidak sedar akan tindakan yang telah dilakukan oleh parti pembangkang di Malaysia.
"Saya yakin, AS dan Israel akan berterusan memainkan jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan demokrasi namun apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka akan mencabul demokrasi. Lihat sahaja, adakah mereka menghormati pilihan rakyat di Algeria ketika FIS digulingkan? Adakah mereka menghormati pilihan rakyat ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk berkuasa di Turki? Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat ketika Hamas memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada prinsip demokrasi?"

Sekali lagi, tidak ada salahnya bagi Nik Aziz menyalahkan AS yang bergerak menjatuhkan negara Islam lebih-lebih lagi memporak-perandakan umat Islam di negeri tersebut.

Tetapi, berdasarkan pandangannya yang mengatakan AS tidak menghormati pilihan rakyat, apakah parti pembangkang di Malaysia juga menghormati keputusan PRU13 yang sudah lebih 2 bulan berlalu? Apakah pembangkang juga menghormati pilihan rakyat yang mahu kerajaan UMNO dan BN untuk terus memerintah negara Malaysia?

Adakah dengan mengadakan beberapa siri himpunan haram sebagai bantahan keputusan PRU13 sebagai menghormati pilihan rakyat dan demokrasi yang sememangnya ada di Malaysia?

Bukan itu sahaja, Nik Aziz menyatakan AS bukan sahaja tidak menghormati pilihan rakyat secara demokrasi, tetapi juga berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada.

Apakah Nik Aziz lupa pembangkang sudah terlalu banyak melakukan pelbagai cara untuk menggulingkan kerajaan? Sebagai contoh, bukan sahaja himpunan Blackout 505, himpunan Bersih 1, 2, dan 3, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) serta melakukan fitnah kononnya BN membawa masuk 40 ribu pengundi asing juga, menggesa Ketua SPR dan timbalannya meletakkan jawatan adalah sama seperti cara mahu menjatuhkan kerajaan kita?

Nampaknya, Nik Aziz perlu membuka minda dan pemikirannya sama seperti pandangan yang dibuat soal isu pergolakan di Mesir.

Penting untuk Nik Aziz sedar, sekiranya beliau menyatakan AS dan Israel bermuka-muka mahukan negara Islam membangun, samalah seperti peranan DAP dalam parti gabungan Pakatan Rakyat.

Seperti AS yang bergerak secara diam menjatuhkan Islam dan mewujudkan keadaan tegang sesama umat Islam, cara dan kaedah yang sama dilakukan oleh DAP. Apabila PAS bertegas mahu mewujudkan negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam, DAP akan bangkit menentang habis-habisan.

Nik Aziz perlu memahami setiap pandangan yang beliau buat dengan cara memuhasabah diri tentang cara parti pembangkang berpolitik di Malaysia. Soalan yang penting perlu Nik Aziz fikirkan sedalam-dalamnya, tidakkah sama sahaja modus operandi pembangkang dengan AS dan Israel? Apa-apa pun, pergolakan kritikal di Mesir elok untuk dijadikan sebagai iktibar lebih-lebih lagi kepada parti pembangkang.

Oleh Nor Azlina Shaari

No comments:

Post a Comment