Pages

Wednesday, 12 June 2013

EMAIL BERAPI DARI PEMBACA KHAS UNTUK KEMENTERIAN KESIHATAN !!!

Kat bawah ni aku nak share dengan korang satu email yang sangat menyentuh hati. Benda ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Maka diatas kesedaran itu aku mahu pihak bertanggungjawab supaya mencari penyelesaian terabik untuk permasalahaan ini. Marilah kita baca luahan hati Hamba Allah yang tak mahu namanya disiarkan:


Saya adalah rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana berasal dari Kelantan. Rata-rata ahli keluarga serta sanak saudara saya berpendapatan rendah dan sederhana.

Kami tergolong dalam golongan masyarakat luar bandar. Rata-rata ahli keluarga kami dan sanak saudara kami adalah pengundi BN. Keterujaan dan kesetiaan kami kepada BN tidak perlu dipertikaikan lagi. Kami menghargai dan kami menyanjungi kerajaan yang ada kerana ianya banyak membantu kami golongan luar bandar.

Tujuan saya menulis surat ini bukan untuk menyalahkan Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri , Menteri berkenaan atau BN. Saya hanya ingin memberitahu dan meminta kerajaan memperbetulkan masalah yang berlarutan sejak sekian lama dan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

Pada tanggal 4.Jun.2013, pakcik saya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM). Beliau dimasukkan kerana melalui satu surat rujukan daripada sebuah klinik swasta kerana sakit dalam bahagian perut.

Pakcik saya ditempatkan di Wad 2 Intan. Doktor telah melakukan X Ray keatas beliau. Setelah ditanya oleh ahli keluarga doktor menjelaskan bahawa terdapat bubble di bahagian usus pakcik saya. Semasa di dalam wad ada masanya pakcik saya sakit dengan kuat, ada masa sakit sederhana dan ada masa sakitnya hilang. Tetapi tiap-tiap hari beliau akan sakit.

Selepas dua hari di hospital ahli keluarga masih belum mengetahui apa penyakit pakcik saya. Adakah ianya kanser, ada ketumbuhan atau penyakit lain ? Doktor hanya berkata tidak dapat dipastikan lagi, melainkan jika dilakukan CT Scan. Kami memohon kepada doktor agar dilakukan CT Scan. Doktor menjawab tidak boleh kerana mereka perlu mengutamakan pesakit lain. Tak mengapalah, kami menunggu.

Hari demi hari berlalu tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Setiap hari pakcik saya sakit. Perutnya makin membuncit. Akhirnya pada tanggal 10.Jun.2013 kami ahli keluarga sepakat untuk discaj pakcik saya dari HUSM dengan risiko sendiri.

Dari HUSM kami membawa pakcik saya ke sebuah hospital pakar swasta di Kota Bharu. Tujuannya untuk melakukan ujian CT Scan supaya kami dapat tahu apa penyakitnya. Setelah dibawa ke hospital swasta dalam masa 2 jam sahaja kami telah mengetahui penyakitnya. Doktor mengatakan ada satu benda seolah-olah ketumbuhan yang wujud berhampiran ususnya. Jika mahu dilakukan pembedahan ianya boleh dilakukan keesokkan harinya iaitu pada 11.Jun.2013. Kosnya lebih kurang RM 20,000.00. Kami tiada pilihan melainkan setuju. Soal kos kami sanak saudara sumbang sedikit seorang.

Hasil pembedahan yang dilakukan pada pagi 11.Jun.2013 doktor berjaya mengeluarkan hampir 1 liter nanah dibahagian usus pakcik saya. Dalam masa beberapa jam sahaja pakcik saya stabil dan kini telah ditempatkan di wad biasa.

Enam hari di HUSM tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Dalam masa 24 jam dipindahkan ke hospital swasta segalanya berubah.

Apakah nasib yang akan menimpa pakcik saya jika beliau terus berada di HUSM ? Tidak mustahil beliau akan kehilangan nyawa.

Kami bernasib baik kerana kami dapat kumpulkan wang sumbangan dari sanak saudara untuk membiayai rawatan pakcik saya. Bagaimana pula dengan nasib orang-orang yang tidak berkemampuan ? Adakah mereka terpaksa menggadaikan nyawa di hospital kerajaan kerana mereka tidak punyai wang ?

Saya pun buntu dalam hal ini. Untuk salahkan kerajaan tidak boleh kerana kerajaan telah berusaha sedaya mungkin menolong rakyat dalam urusan kesihatan.

Nak salahkan pihak hospital juga tidak boleh kerana mereka juga menghadapi banyak masalah , seperti kekurangan doktor, kekurangan peralatan , bilangan pesakit yang terlalu ramai dan sebagainya. 

Akhirnya nyawa rakyat yang menjadi mangsa.

Perkara ini bukan perkara baru. Ianya telah berlarutan sejak zaman berzaman. Satu kaedah atau satu jalan penyelesaian baru harus dicari untuk menyelesaikan masalah ini.

No comments:

Post a Comment