Pages

Monday, 10 June 2013

DAP TUDUH DEMOKRASI DI MALAYSIA "MATI".

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Suffian Awang meminta kepimpinan DAP menyuluh muka dicermin apabila mendakwa sistem demokrasi di negara ini sudah mati di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, sedangkan hakikatnya parti tersebutlah yang telah mematikan prinsip demokrasi di dalam parti mereka sendiri.
Menurut beliau, DAP tidak perlulah untuk mempertikaikan amalan demokrasi yang dilakukan oleh BN sedang parti tersebut sendiri telah mencabul hak-hak demokrasi terhadap ahli-ahli mereka sendiri.
“Jika benar DAP mengamalkan dan memegang prinsip demokrasi secara telus, saya cabar mereka untuk adakan semula pemilihan CEC mereka baru-baru ini, yang secara jelas telah melanggar prinsip demokrasi.
“Penyelewengan yang berlaku di dalam pemilihan CEC sudah terbukti apabila ahli-ahli DAP sendiri dari seluruh negara telah menyatakan bantahan mereka. Jangan jadi pepatah seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tegasnya lagi, tindakan kepimpinan DAP yang memekak telinga daripada mendengar bantahan lebih 700 ahli mereka yang dinafikan hak untuk memilih dalam pemilihan CEC membuktikan bahawa demokrasi di dalam DAP hanyalah mainan dimulut para pemimpinnya saja.
“Jika mereka mengatakan demokrasi sudah mati di bawah pemerintahan BN, bagi saya itu satu kenyataan orang yang tidak sedarkan diri. Mereka menuduh orang lain, sedangkan hakikatnya mereka sendiri mematikan demokrasi di dalam DAP.

“Lihat sajalah bagaimana urusan pemilihan jawatankuasa tertinggi DAP di jalankan. Hidupkah demokrasi di dalam DAP apabila lebih 700 anggota DAP yang layak mengundi dinafikan hak mereka, malah tidak dipanggil untuk memilih ahlijawatan kuasa tertinggi, sedangkan mereka berhak untuk pemilihan tersebut,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menasihat pemimpin parti tersebut jangan terlalu angkuh mengkritik orang lain sedangkan diri parti mereka sendiri bergelumang dengan ketidakadilan dan penyelewengan.
“Mereka ini ibarat ayam yang kuat berkokok, tetapi ekor bergelumang dengan tahi. Pandai mengata orang, tetapi diri sendiri pun tak betul. BN sejak memerintah sehingga ke hari ini, berusaha untuk memastikan prinsip demokrasi itu tertegak di dalam negara dan ini sudah pun terbukti.
“DAP jangan berlakon seolah-olah mereka itu sebuah parti yang telus dan memegang teguh prinsip demokrasi sedangkan hakikat sebenarnya, demokrasi sudah lama mati dalam DAP dan diganti dengan amalan nepotisme dan kronisme pemerintahan ala-ala Dinasti di dalam parti tersebut hari ini,” jelasnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment