Pages

Monday, 11 March 2013

TERKINI #LAHAD DATU @110313


SIDANG MEDIA PDRM


OP DAULAT: SIDANG MEDIA PJP SABAH - 11 MAC 2013 (10.45 AM)

Jumlah tangkapan setakat hari ini, seramai 97 orang dan semua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 130C (1) (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Security Offences (Special Measures) Act 2012.
Setakat hari ini, 54 orang penceroboh telah berjaya ditembak mati dan daripada jumlah tersebut 22 mayat telah dibawa keluar. Manakala jumlah pasukan keselamatan yang tercedera setakat ini ialah 6 orang.

TEMBAK PENGGANAS SULU SAMPAI MATI ATAU TANGKAP HIDUP_HIDUP

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengganas Sulu harus dibicarakan mengikut undang-undang Malaysia kerana telah bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi selain menahan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu kerana mereka telah bertindak kejam membunuh lapan anggota polis dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

"Jangan ada seorang pun penceroboh terlepas...kita mahu penceroboh militan ini sama ada ditembak mati atau ditangkap hidup-hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Barisan Nasional dan Badan Bukan Kerajaan kawasan Gopeng di sini, Ahad.

Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan bahawa pengganas dipengaruhi dadah atau menggunakan ilmu hitam sehingga bertindak kejam terhadap anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

"Dalam undang-undang peperangan sekalipun tidak ada yang membenarkan mana-mana penceroboh atau anggota yang terlibat dalam peperangan boleh mencungkil mata, boleh penggal kepala atau memotong anggota tubuh badan.

"Apa yang mereka lakukan ini tidak boleh diterima rakyat Malaysia kerana perbuatan ini tiada belas kasihan," katanya.

Beliau berkata polis bertindak mengikut undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap pengganas militan itu.

"ATM (Angkatan Tentera Malaysia) apabila kita berada di barisan hadapan, kita harus musnahkan musuh...kita hormati bidang kuasa yang ada pada polis dan kita serahkan kepada polis dalam menjalankan tugas mengikut perundangan," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan mana-mana pihak tidak perlu mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM dalam insiden pencerobohan itu.

PEGGANAS SULU MENGAMUK DI KG. TANJUNG LABIAN

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Tanjung Labian meninggalkan kediaman masing-masing dan keluar mencari tempat perlindungan selepas mendengar bunyi tembakan pada hari keenam Ops Daulat, di Lahad Datu, Sabah hari ini.

Penduduk di Tanjung Labian, dekat sini bertindak melarikan diri secara beramai-ramai ke kawasan yang lebih selamat setelah mendengar beberapa das tembakan di kampung tersebut hari ini.

Tembakan pada pagi ini dilepaskan oleh saki-baki kumpulan pengganas Sulu yang cuba masuk ke kawasan perkampungan tersebut. Tindakan penceroboh itu telah menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk.


ANGKA KEMATIAN SEBENAR TRAGEDI #LAHAD DATU

Seorang remaja tidak dikenali ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia pagi ini, dan meningkatkan jumlah kematian kepada 62, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar mengesahkannya hari ini.

Remaja tersebut, yang dipercayai berusia 12 hingga 15, terbunuh apabila anggota keselamatan berhenti dan bertanya soalan kepada lima individu, tiga lelaki dan dua wanita, di Kampung Sungai Bilis ketika Ops Daulat sedang dijalankan jam 9.45 pagi ini.
Menurut The Star Online, pasukan keselamatan melihat pergerakan berhampiran semak dan menembak, sebagai reaksi kemungkinan ia datang dari penceroboh Sulu.
Kemudian pasukan mendapati seorang remaja terbunuh dan seorang lelaki berusia 30an cedera pada kaki.
Dalam laporan Malaysiakini mengenai insiden tersebut, Ismail berkata polis sedang cuba menyiasat identiti dua lelaki tersebut, termasuk lima individu yang disoal siasat pada awalnya.
"Mereka tidak mempunyai dokumen jadi kita menyiasat dari mereka datang dan apa mereka buat di sini," katanya yang dipetik dari portal berita tersebut.
"Selepas kita diberitahu mengenai insiden tersebut, pusat arahan taktikal kami terus menghantar pasukan kecemasan dalam kenderaan berperisai ke lokasi di mana tujuh orang tersebut, termasuk yang cedera dan mati berjaya dikeluarkan.
Seramai 62 orang terbunuh sejak Jumaat lalu, termasuk 53 militan Sulu, lapan anggota polis Sulu dan seorang remaja yang tidak dikenali.
Hari ini ialah hari keenam Ops Daulat sejak Selasa lalu, dan hari ke 29 sejak sekumpulan bersenjata seramai 200 orang dari Sulu di Filipina mendarat di Lahad Datu untuk menuntut Sabah.

RUMAH SARANG PENGGANAS SULU AKAN DIMUSNAHKAN

Sembilan rumah yang disyaki menjadi sarang kumpulan pengganas dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas, mungkin diroboh, kata Ketua Kampung Ramlee Saraman. 

Ramlee berkata beliau difahamkan ada pemilik rumah yang mungkin terperdaya dengan kumpulan itu sehingga 'menjualkannya' tanpa menyedari ia mungkin dijadikan sarang operasi pengganas.


Beliau berkata tindakan meroboh premis itu akan dilaksana pihak berkuasa seperti majlis daerah selepas pihak keselamatan mengesahkan ia dijadikan sarang pengganas. 

"Kalau benar, rumah-rumah ini akan dirobohkan. Bagi saya, ia dapat mengembalikan kepercayaan penduduk di sini bahawa perkampungan mereka selamat," katanya ketika meninjau kampung itu bersama wartawan Bernama hari ini. 

Beliau berkata sejak pembukaan Kampung Simunul pada 9 Mac 1939, kejadian 2 Mac lepas, yang menyaksikan enam anggota pasukan keselamatan terkorban dalam insiden serangan hendap itu, adalah yang pertama berlaku di kampung itu.

TEROWONG BAWAH TANAH DARI SELATAN FILIPINA KE TANDUO

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menafikan dakwaan penceroboh dari selatan Filipina berjaya memasuki Kampung Tanduo menerusi terowong bawah tanah yang dibina sejak November lepas.

"Setakat ini kami tidak mendapat sebarang maklumat mengenai adanya terowong itu.

"Malah, apabila tentera mengadakan serangan udara pun kami tidak temui terowong bawah tanah itu, yang ada cuma kereta yang hancur," katanya hari ini ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 yang disiar secara langsung.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik penduduk Kampung Tanduo di Lahad Datu sebagai berkata, penceroboh Sulu telah membuat perancangan rapi ketika memasuki kampung itu termasuk membina terowong bawah tanah.

Penduduk mendakwa, penceroboh menggunakan jentera pengorek untuk menggali lubang seolah-olah sedang mencari emas tetapi didakwa helah membina kubu dan terowong bagi dijadikan tempat persembunyian apabila diserang.

Ditanya sama ada kemungkinan penceroboh Sulu hanya berada di sekitar Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, Hamzah berkata: "Tak boleh anggap mereka (penceroboh) berada di dua kampung ini sahaja."

No comments:

Post a Comment