Pages

Sunday, 24 February 2013

ANTARA PAS DAN DAP... SIAPA YANG KENA BULI ???


Lim Guan Eng memulakan semula golekan bola apabila menimbulkan isu penggunaan kalimah ALLAH dalam bible yang dianggap sudah lama selesai.
Ini gara-gara perutusan sempena hari Krismas tahun lalu apabila ia secara terbuka meminta kerajaan pusat menimbangkan penggunaan kalimah ALLAH dalam bible berbahasa Melayu. Barangkali Ketua Menteri Pulau Pinang itu terlupa kalimah ALLAH selama ini menjadi milik eksklusif umat Islam di negara ini.
Bagi umat Islam isu ini tidak harus dijadikan modal politik kerana ia akan mengundang polemik berpanjangan. Sebagai rakyat Malaysia, DAP atau Guan Eng harus faham mereka sebahagian dari parti dan rakyat yang hidup di bawah satu bumbung.
Tetapi kerana Guan Eng merupakan pemimpin penting Pakatan Rakyat, Pas dilihat tidak berani mendepaninya. Berlainan dengan ahli di peringkat akar umbi yang melahirkan rasa tidak senang mereka. Langkah pimpinan Pas membisu amat mengecewakan.
Pas sering mendakwa ia parti memperjuangkan Islam tapi dalam isu kalimah ALLAH, rakyat dapat menilai sendiri, ia tidak lebih sebagai satu retorik. Mufti Perak dalam kenyataan ringkas menganggap pihak bukan Islam tak harus menjuarai isu ini. Ia mencadangkan umat Islam mempertahankannya dari terus dicemari.
Sebenarnya isu kalimah ALLAH sudah selesai tetapi yang belum ialah kedudukan Pas selaku anggota Pakatan Rakyat. Sejak menjadi kerabat Pakatan Rakyat, Pas lebih berani mendepani Umno dari mengkritik DAP. Sehingga timbul pertanyaan sinis: apa sudah jadi dengan Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam?.

Bukan menuduh kosong jika Pas dianggap sering bernada kompromi dalam isu-isu yang turut membabitkan DAP. Perjuangan Pas di beberapa negeri membabitkan isu arak dan maksiat dilihat suam-suam kuku. Atau dengan lain kata mereka tidak bersungguh-sungguh seperti mana mereka melawan Umno.
Ironinya Pas sanggup menuduh Umno sebagai dalang dalam setiap kejadian sehingga memberi gambaran DAP lebih mulia daripada Umno.
Kita lihat sejak 2008, Pas yang menjadi regu PR adalah antara parti paling berpengaruh dalam komponen PR. Dulu ia sebuah parti yang disertai orang-orang tua. Bagi budak-budak muda, Pas tidak ada hala tuju yang jelas.
Setelah menjadi regu PR, Pas muncul parti paling popular kerana disertai 100 peratus orang Melayu beragama Islam. Kadangkala budak muda yang baru kenal politik A, B dan C pun tertarik menyokong Pas. Soal amalan serta bab ibadat dilihat kedua penting dari politik. Artis mee segera yang terpanggil berhijrah menjadikan Pas medan baru. Konon Pas boleh “mengislamkan” mereka semula setelah lama tersesat.
Demikian juga pengaruh Pas di kampus-kampus termasuk di luar negara yang berjaya menarik perhatian golongan muda. Apa yang Pas berjaya lakukan tidak berupaya dibuat PKR walaupun pemimpin utama PKR seorang yang paling karistmatik.
Justeru jika Pas ingin sendirian tanpa memikirkan sebarang risiko politik, ia mampu menjadi sebuah parti yang lebih berpengaruh. Tapi masalah pokok ialah ia tidak yakin boleh berdikari jauh sekali diterima oleh orang bukan Islam. Bagi Pas tanpa pengundi bukan Islam, usaha menawan Putrajaya sekadar satu impian kosong.
Kita lihat awal-awal lagi DAP menolak pembentukan sebuah negara Islam seperti yang diperjuangkan Pas. Pengerusi DAP secara terbuka memberi amaran pada Pas “over my dead body” jika nak buat juga. Hadi menyetujui dengan menukar perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan. Tersenyum lebar puak-puak DAP.
DAP menguji lagi Pas dengan isu arak di Selangor yang dijuarai Ronnie Liu, anggota Exco dari DAP. Arahan agar arak yang dirampas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipulangkan kepada pemilik. Kita juga lihat Hassan Ali kehilangan kedudukan dan keahlian dalam Pas kerana mahu menjadi juara Islam.
DAP sudah berpuluh tahun hidup sebagai pembangkang. Ia tidak memerlukan sesiapa untuk beroleh kuasa. Pulau Pinang miliknya dan tetap menjadi miliknya untuk jangka panjang. Ia sanggup kehilangan peluang memiliki Putrajaya asalkan ia dapat menyekat Pas dari melaksanakan undang-undang Islam.

No comments:

Post a Comment