Pages

Thursday, 31 January 2013

UNDANG-UNDANG PERLU LINDUNGI KALIMAH ALLAH !!!

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mahu undang-undang diperkenalkan supaya penggunaan kalimah Allah hanya untuk Muslim dan tidak boleh digunakan dalam kitab agama bukan Islam.
“Saya nak menyarankan perlu ada protection (perlindungan) kalimah Allah itu melalui kekuatan undang-undang,” kata beliau pada satu kuliah di Masjid Negeri Shah Alam.
“Pihak berkuasa agama daripada atas sampai ke bawah harus buat satu peraturan yang jelas (bahawa) Allah adalah eksklusif untuk orang Islam dan tidak boleh mana-mana orang (bukan Islam) menggunakan nama Allah dalam kitab agama mereka,” tegas beliau.
Cadangan pemimpin tertinggi PAS itu dilontar dua hari selepas PKR menolak pendirian Majlis Syura PAS bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan partinya hanya menerima perakuan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa bukan Muslim boleh menggunakan kalimah itu.
Perakuan Hadi itu diangkat sebagai pendirian rasmi Pakatan Rakyat susulan desakan DAP mahukan kalimah Allah dibenarkan dalam Bible Bahasa Melayu yang digunakan di Semenanjung.
Tuntutan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu ditegur oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah bahawa kalimah Allah hanya untuk penganut Islam.
Haron tidak mengulas bantahan PKR atau Pakatan terhadap ketetapan Majlis Syura yang dianggotai beliau, namun berkata “orang yang menyetujui Allah yang Maha Suci diterjemahkan kepada Allah yang berbilang-bilang adalah syirik.”
PAS tidak menolak hak bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam pertuturan namun bukan sebagai terjemahan daripada perkataan ‘God’ dalam mana-mana kitab bukan Islam.
“Kalau mereka sekadar mahu menyebut Allah sahaja yang menjadikan langit dan bumi, yang disembah oleh orang Islam, itu betul tetapi dengan mengatakan ‘God’ itu Allah adalah tidak benar,” tegas beliau.
“Umat Islam wajib menjaga iman dan agama mereka. Jaga iman jangan sampai tercemar dengan kesyirikkan dengan Allah,” ujarnya.
Menjaga agama dengan memelihara titah perintah Allah. Dengan itulah Islam terjaga, nama Allah akan terpelihara,” kata Haron.
Haron kemudian mengupas rasional disebalik keputusan Majlis Syura Ahad lalu.
“Allah yang pilih nama dia, Allah Yang Esa, ‘Yang Satu’ maka namanya pun satu, dia tidak macam perkataan God. Ada Gods, satu Tuhan, dua Tuhan, lima Tuhan.
“Dan God ini pula ada Goddess, iaitu Tuhan betina itu memang sesuai kerana mereka (penganut bukan Islam) berpegang dengan Tuhan yang banyak,” jelas beliau.
“Allah tidak beranak, Allah tidak ada anak, Allah tidak diperanakkan, Allah tidak ada bapa dan tidak ada ibu…tidak mungkin Allah itu ada kumpulan atau pasangan,” katanya.
“Allah dalam Islam itu selama-lamanya, dulu, sekarang dan selama-lamanya satu, dan Allah ini tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa,” tambah beliau.
Haron menegaskan bahawa konsep yang dipegang oleh agama-agama lain tentang Tuhan amat berbeza dengan konsep Allah yang diiman oleh orang Islam.
“Kalau orang Islam, Tuhan itu selama-lamanya Esa sedangkan dalam agama Hindu bila sebut Tuhan amat ramai Tuhan mereka.
“Tuhan dalam Kristian ialah Triniti iaitu tiga dalam satu dan satu dalam tiga iaitu bukan ada satu Tuhan, sekurang-kurangnya ada tiga,” kata beliau.
“Jika God yang mereka (orang bukan Islam) faham begitu diterjemahkan kepada Allah orang Islam pun rosak, mereka orang Kristian pun rosak,” tegas beliau.
“Orang Islam rosak kerana telah mencemarkan nama Allah daripada Allah yang Maha Esa, Maha Tunggal kepada Tuhan yang ada anak jika dibenarkan mereka (bukan Islam menggunakan kalimah Allah) berbuat demikian,” kata Haron.
“Dan mereka (orang bukan Islam) juga mungkin tidak sedar dikatakan bahawa Allah yang mereka faham selama ini iaitu Allah tiga itu disebut God dalam Allah, Allah jadi tidak ada anak untuk mereka (bukan Islam), rosak akidah mereka."

No comments:

Post a Comment