ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BEKAS KETUA HAKIM NEGARA KRITIK KERAJAAN MANSUHKAN ISA

Sunday 23 November 2014

BEKAS KETUA HAKIM NEGARA KRITIK KERAJAAN MANSUHKAN ISA


Bekas Ketua Hakim Negara kritik kerajaan mansuhkan ISA
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak patut berlembut apatah lagi takut kepada golongan yang mengkritik pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata demikian sebagai mengkritik tindakan kerajaan memansuhkan ISA dan menggesa kerajaan memikirkan semula keperluan akta itu.

“Tidak guna mempunyai undang-undang jika tidak berani menggunakannya. Pelampau tidak memahami diplomasi,” ujar beliau dalam ucapan khas sempena Konvensyen Perpaduan Nasional yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Menurut Abdul Hamid, kerajaan membuat satu lagi kesilapan apabila ia hendak memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, iaitu Seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa,” ujar beliau.

Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (PU (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10 Ogos 1970.

“Bagi saya, Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” jelas Abdul Hamid yang menambah rancangan memansuhkan Akta Hasutan adalah hasil tuntutan pembangkang, Majlis Peguam dan NGO-NGO bukan Melayu.

“Ertinya, sekali lagi, suara golongan itulah yang didengar sedangkan mereka tidak pernah dan tidak akan mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN), manakala orang Melayu yang menjadi penyokong setia UMNO dan BN dipinggirkan,” tegas Abdul Hamid.

Abdul Hamid turut mempertikaikan keputusan kerajaan dengan menyentuh tentang individu-individu yang berada di sebalik penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) dan Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D).

Dalam hal tersebut, menurut beliau, Akta Hasutan yang sepatutnya di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri kini beralih ke Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Intergasi Nasional (JPNIN) untuk diserahkan kepada Majlis PEguam bagi penggubalan undang-undang memansuhkannya.
Astro Awani

No comments:

Post a Comment