ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: August 2016

Monday 8 August 2016

KWSP BUKA PENDAFTARAN SIMPANAN SYARIAH


PETALING JAYA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu menukar simpanan konvensional KWSP mereka kepada Simpanan Syariah boleh berbuat demikian mulai Isnin.

Simpanan Syariah KWSP, yang akan dilancarkan pada Januari, kini dibuka kepada semua ahli untuk pendaftaran di cawangan KWSP seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata bahawa pilihan untuk beralih kepada Simpanan Syariah keseluruhannya terpulang kepada ahli dan menasihati mereka untuk memahami sepenuhnya prinsip-prinsip syariah sebelum membuat keputusan bertukar daripada simpanan konvensional KWSP semasa.

Ahli-ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Syariah perlu pergi sendiri ke mana-mana cawangan KWSP dan membawa MyKad mereka untuk pengesahan cap jari. Warganegara asing yang menjadi ahli perlu membawa pasport mereka.

"Hari ini merupakan peristiwa bersejarah bagi KWSP kerana kita memulakan pendaftaran untuk Simpanan Syariah," kata Shahril Ridza dalam satu kenyataan, Ahad.

Simpanan Syariah mempunyai saiz dana sebanyak RM100 bilion, bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang berjumlah RM681.71 bilion pada akhir Mac 2016.


Ia dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. Untuk layak beralih kepada Simpanan Syariah 2017, ahli-ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana.

Bagi majikan, sumbangan dan proses penguatkuasaan semasa tetap sama.

Tiada perubahan atau borang tambahan perlu dilengkapkan majikan jika pekerja mereka memilih Simpanan Syariah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pilihan skim ini tidak boleh diubah semula kepada skim konvensional yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai Simpanan Syariah, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi talian 03-89226000.
mStar

SUAMI TERLEPAS TEMBAKAN, ISTERI, ANAK CEDERA


KEPALA BATAS - Seorang wanita dan dua anaknya cedera apabila suaminya yang merupakan anggota polis terlepas tembakan di rumah mereka di Kampung Setol, Tasek Gelugor dekat sini, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lans koperal berusia 33 tahun itu sedang bertugas, namun difahamkan pulang ke rumahnya sebentar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, semasa di rumah, anggota tersebut yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu dikatakan mengeluarkan pistol jenis Walther P99 sambil memaklumkan hendak membunuh diri.

"Isteri anggota itu yang berusia 27 tahun berada di rumah dan menyedari kejadian berkenaan cuba merampas pistol itu bagaimanapun suaminya telah tertembak lantai dalam bilik rumah mereka.


"Akibat tembakan itu, tiles lantai di bilik itu berkecai dan telah terkena isteri, anak perempuan berusia lima tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Abdul Ghafar berkata isteri mangsa mengalami kecederaan di tapak kaki kiri manakala dua anak mereka masing-masing cedera betis kanan dan tapak kaki kiri serta kanan.

Semua mereka menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan dilaporkan stabil, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menahan anggota polis itu dan merampas senjata api berkenaan.

"Anggota polis itu tidak mempunyai masalah disiplin dan ujian air kencing juga negatif. Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan," katanya.
Bernama

POKEMON : SKMM TIMBANG KELUAR GARIS PANDUAN KESELAMATAN


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan panduan keselamatan berkaitan permainan Pokemon Go.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata, hal ini selari dengan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh negara-negara lain untuk permainan alam maya itu.

“SKMM sedar bahawa Pokemon Go boleh membawa bahaya kepada orang ramai sekairanya langkah-langkah keselamatan diabaikan sewaktu bermain,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai mengutamakan keselamatan semasa bermain Pokemon Go bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Pemain harus peka dengan persekitaran mereka mengikut undang-undang biasa dan sensitiviti tempatan,” katanya.

Kelmarin, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa semua negeri mengisytiharkan permainan siber Pokemon Go sebagai haram.

Selain itu, pihak berkuasa agama Kelantan dan Kedah akan meneliti terlebih dahulu pengharaman permainan tersebut serta akan memutskannya pada bulan depan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othaman sekiranya perminan tersebut boleh memesongkan akidah seseorang maka akan menjadi haram di sisi agama Islam.
SH

Sunday 7 August 2016

KERAJAAN PERKENALKAN SEWA DAN BELI RUMAH DI 5 PPR


PORT DICKSON: Sistem sewa beli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dilaksanakan di lima PPR yang kini dalam proses penawaran kepada penyewa yang layak. 

Lima PPR berkenaan adalah di Gua Musang, Kelantan sebanyak 1,000 unit; Kampung Hassan, Hulu Selangor (300 unit); Lembah Subang 2, Selangor (1,580); Ladang Siliau, Negeri Sembilan (300) dan Jinjang, Kuala Lumpur (1,000). 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata sistem itu membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam suatu tempoh masa yang akan ditetapkan kemudian. 

Katanya, pelaksanaan sistem itu membabitkan rumah yang dibina oleh kementerian diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, minggu lalu. 

"Kerajaan bersetuju melaksanakan sistem ini kerana ramai golongan berpendapatan rendah berhadapan masalah mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah kerana bekerja sendiri seperti menjadi pemandu teksi dan peniaga kecil," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Rumah Pangsa Sri Bandar di sini, hari ini. 

Katanya, harga rumah yang ditawarkan adalah RM35,000 berbanding kos sebenar rumah sehingga kira-kira RM160,000.
bharian