ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: July 2016

Sunday 31 July 2016

"SETIAP GENG ADA PEMBUNUH"


'Fin', itu gelaran anggota kongsi gelap yang sanggup melakukan apa sahaja untuk geng mereka, termasuk membunuh. 

Bekas anggota sebuah geng di ibu kota yang mahu dikenali sebagai 'Dino' berkata, mereka yang digelar Fin ini akan bertindak lebih ganas dan tidak mempunyai belas kasihan terhadap sesiapa pun yang disasarkannya. 

"Fin bererti penyudah atau pengakhiran dalam Latin dan itulah maksud mereka terhadap mangsa. 

"Mereka ini dianggap seperti komando yang berani mati dalam menjalankan setiap arahan atau tugasan yang diterima," katanya. 

Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, boleh dikatakan semua kumpulan kongsi gelap mempunyai pembunuh mereka sendiri. 

Dia percaya pembunuhan seorang lelaki yang dikata ketua geng 'Satu Hati' di Setapak Rabu lalu adalah perbuatan Fin. 

"Memang tugas Fin menakutkan kumpulan lain yang mungkin mahu menceroboh kawasan geng mereka," kata Dino. 

Katanya, kawasan ditakluk geng dikenali sebagai 'port'. Kumpulan berkenaan mengutip wang perlindungan serta menjalankan pelbagai aktiviti haram di kawasan itu. 

"Peperangan" berlaku ketika satu geng cuba merampas port kumpulan yang lain, tambah Dino, yang sekarang bekerja sebagai 'bouncer' di kelab malam. 

"Pergaduhan berlaku hampir setiap minggu. Biasanya jika bergaduh, hanya senjata tajam digunakan...tetapi sejak kebelakangan ini banyak kumpulan telah memiliki senjata api kerana harganya murah dan ia mudah didapati," katanya. 

"Kebanyakkan mereka mendapatkan senjata api ini dari Thailand yang diseludup melalui 'jalan tikus' dengan harga antara RM1,000 dan RM20,000 bergantung kepada jenis senjata," katanya. 

Dino berkata, dia terpengaruh untuk menyertai geng lima tahun lalu kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap. 

"Pada mulanya, memang saya tidak berminat langsung untuk menyertai kumpulan ini...tetapi saya perlukan duit...lagipun ketika itu saya tergoda dengan sebuah filem tempatan menayangkan kehidupan kumpulan kongsi gelap. 

"Tugas saya mudah...mengugut dan memukul orang dan jenayah dadah...saya mendapat wang tunai beribu ringgit," katanya - BERNAMA

Wednesday 27 July 2016

PKR BELUM YAKIN CADANGAN ADAKAN PRN PULAU PINANG

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum yakin dengan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dikemukakan DAP.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan DAP berhubung cadangan itu.

Jelasnya, PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertingginya bagi menerangkan pendirian parti kepada pimpinan DAP dalam tempoh terdekat.

"Selepas perbincangan menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan masyarakat, mesyuarat telah memutuskan secara sebulat suara bahawa Keadilan masih belum yakin dengan cadangan tersebut.

"Bagaimanapun, atas dasar semangat setiakawan, Keadilan tetap bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan parti rakan di dalam Pakatan Harapan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas di ibu pejabat PKR di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merayu PKR dapat membuat keputusan bersama untuk menyokong diadakan PRN.

Guan Eng mengumumkan bahawa hanya parti Amanah yang setakat ini bersetuju menyokong PRN diadakan.

PENIPUAN LIBATKAN JENAMA AIR ASIA

AirAsia Bhd mengingatkan orang ramai mengenai satu lagi aktiviti penipuan dalam talian yang tersebar luas menerusi media sosial menyatakan syarikat penerbangan itu menawarkan penerbangan percuma selepas mereka menyelesaikan satu tinjauan.
AirAsia atau mana-mana syarikat sekutunya tidak menjalankan tinjauan itu, sebaliknya satu aktiviti penipuan yang menggunakan jenama AirAsia secara tidak sah.
"Kami menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan pelawaan itu, dan AirAsia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas mana-mana dakwaan membabitkan skim palsu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami mengulangi bahawa AirAsia tidak melibatkan perkhidmatan pihak ketiga dalam penganjuran aktiviti, dan sebarang pengumuman akan dibuat menerusi saluran rasmi seperti media masa yang berwibawa serta saluran media sosial rasmi kami," kata syarikat penerbagan tambang rendah itu.
AirAsia sudah membuat laporan polis dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau kumpulan yang terlibat dalam penganjuran skim haram menggunakan jenama AirAsia.

Tuesday 19 July 2016

SPRM : KAMI SEDIA SIASAT "PENDRIVE" TMJ

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan Tunku Mahkot Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyerahkan 'pendrive'  yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada pihak mereka.

Semalam, Tunku Ismail mendakwa memiliki dokumen penting berkaitan aktiviti dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan pihaknya akan bertindak sejurus sahaja maklumat yang konkrit diterima mereka.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," petik kenyataan SPRM hari ini.

TMJ semalam mendakwa memiliki 'pendrive' yang mengandungi bukti rasuah selama 30 tahun FAM.

“Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

"Orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP ( Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia ) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek," katanya seperti yang dipaparkan di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu, kemas kini status di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger hari ini memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal bertemu dengan Exco Tertinggi serta pegawai-pegawai  dalaman FAM di Kuala Lumpur atau Johor Bahru secara tertutup.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bertujuan bagi menggesa individu-individu tertentu untuk berundur dan menyerahkan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi dan penuh integriti bagi menerajui FAM serta pengurusan pasukan kebangsaan.

Selain daripada itu, kemas kini status berkenaan juga turut menyatakan bahawa Tunku Ismail tidak mahu membuat pendedahan secara keseluruhan berikutan tidak mahu menganiaya sesetengah individu serta mahu menyimpan sebahagiannya terlebih dahulu atas sebab ia mempunyai nama serta dapat memberi implikasi besar kepada individu tertentu.
SH

Wednesday 13 July 2016

@PDRMsia NAFI KHABAR ANGIN PERGADUHAN KAUM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan khabar angin kononnya keganasan kaum akan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September depan.

Sehubungan itu, PDRM memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan berbaur hasutan dan penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

"PDRM ingin menegaskan bahawa mesej itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat ketenteraman awam," kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Khabar angin itu, yang disebar melalui media sosial, turut meminta orang bukan Melayu supaya menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain bagi menghadapi kejadian yang dikatakan akan berlaku pada 16 September itu.
BERNAMA

LARANG LAKSANA KAEDAH LAHIR BAYI DALAM AIR


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) melarang kaedah melahirkan bayi dalam air dilakukan di mana-mana hospital swasta di negara ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran.

Beliau berkata, larangan itu dilakukan kerana masih tiada bukti yang mengatakan kaedah kelahiran seperti itu dapat memberi manfaat kepada para ibu.

Baru-baru ini, KKM memberikan notis larangan tersebut kepada Hospital Pantai, Kuala Lumpur yang kemudian mencetuskan perdebatan di media sosial susulan arahan tersebut.

Jelasnya arahan yang sama akan diberikan kepada mana-mana hospital yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

"Kita mengeluarkan arahan ini demi faktor keselamatan, walaupun kaedah itu telah dipraktikkan beberapa tahun sebelum ini dan tidak berlaku apa-apa insiden namun sekiranya ada bayi yang meninggal dunia menggunakan kaedah itu, siapa yang akan bertanggungjawab?"," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya larangan itu akan diteruskan selagi masih tiada bukti yang menunjukkan kelahiran dalam air adalah selamat dan memberi manfaat kepada ibu dan mereka yang terlibat.
Bernama