ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SPRM : KAMI SEDIA SIASAT "PENDRIVE" TMJ

Tuesday 19 July 2016

SPRM : KAMI SEDIA SIASAT "PENDRIVE" TMJ

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan Tunku Mahkot Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyerahkan 'pendrive'  yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada pihak mereka.

Semalam, Tunku Ismail mendakwa memiliki dokumen penting berkaitan aktiviti dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan pihaknya akan bertindak sejurus sahaja maklumat yang konkrit diterima mereka.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," petik kenyataan SPRM hari ini.

TMJ semalam mendakwa memiliki 'pendrive' yang mengandungi bukti rasuah selama 30 tahun FAM.

“Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

"Orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP ( Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia ) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek," katanya seperti yang dipaparkan di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu, kemas kini status di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger hari ini memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal bertemu dengan Exco Tertinggi serta pegawai-pegawai  dalaman FAM di Kuala Lumpur atau Johor Bahru secara tertutup.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bertujuan bagi menggesa individu-individu tertentu untuk berundur dan menyerahkan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi dan penuh integriti bagi menerajui FAM serta pengurusan pasukan kebangsaan.

Selain daripada itu, kemas kini status berkenaan juga turut menyatakan bahawa Tunku Ismail tidak mahu membuat pendedahan secara keseluruhan berikutan tidak mahu menganiaya sesetengah individu serta mahu menyimpan sebahagiannya terlebih dahulu atas sebab ia mempunyai nama serta dapat memberi implikasi besar kepada individu tertentu.
SH

No comments:

Post a Comment