ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PKR BELUM YAKIN CADANGAN ADAKAN PRN PULAU PINANG

Wednesday 27 July 2016

PKR BELUM YAKIN CADANGAN ADAKAN PRN PULAU PINANG

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum yakin dengan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dikemukakan DAP.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan DAP berhubung cadangan itu.

Jelasnya, PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertingginya bagi menerangkan pendirian parti kepada pimpinan DAP dalam tempoh terdekat.

"Selepas perbincangan menyeluruh termasuk mengambil kira pandangan masyarakat, mesyuarat telah memutuskan secara sebulat suara bahawa Keadilan masih belum yakin dengan cadangan tersebut.

"Bagaimanapun, atas dasar semangat setiakawan, Keadilan tetap bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan parti rakan di dalam Pakatan Harapan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas di ibu pejabat PKR di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merayu PKR dapat membuat keputusan bersama untuk menyokong diadakan PRN.

Guan Eng mengumumkan bahawa hanya parti Amanah yang setakat ini bersetuju menyokong PRN diadakan.

No comments:

Post a Comment