ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: October 2015

Saturday 31 October 2015

HANYA BEG BERISI PAKAIAN


Kuala Lumpur: Pusat beli-belah di Jalan Ampang, dekat sini, gempar selepas jaga jumpa tiga beg hitam di pintu utama bangunan itu, pada 12.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat pengurusan pusat beli-belah itu mengenai penemuan beg itu.

Zainuddin berkata, pengurusan beli-belah itu mendakwa kemungkinan beg itu berisi bom.

Sehubungan itu, katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi bersama Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pusat beli belah itu turut ditutup di kawasan pintu utamanya bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan, kami mendapati beg berkenaan hanya berisi pakaian yang mungkin ditinggalkan.

“Kawasan sekitarnya juga sudah diperiksa dan kini selamat untuk digunakan dan dilalui orang awam," katanya ketika dihubungi.
hmetro

TIGA TERBUNUH LANGGAR KREN

Machang: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan jentera berat (kren) di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Bukit Belah, Machang, di sini, 2.15 petang, hari ini.

Pemandu lelaki berusia 51 tahun dan dua wanita berusia 36 tahun serta seorang yang belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu MPV berkenaan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu dipercayai cuba memotong, namun gagal sebelum melanggar jentera berat itu dari arah bertentangan.

Katanya, akibat pelanggaran itu pemandu dan dua penumpang mengalami maut.

"Mereka dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat. Pemandu jentera berat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini.

HENTIKAN SPEKULASI 7 PEMIMPIN AKAN DIPECAT

Pengerusi Kelab Penyokong BN, Tan Sri Shahrir Abdul Samad meminta semua pihak menghentikan spekulasi berkaitan tujuh pemimpin parti itu bakal berdepan tindakan disiplin.

Bagaimanapun menurutnya, sekiranya benar ada pemimpin yang bakal dikenakan tindakan disiplin, mereka perlu akur kerana perkara itu bukan baharu, sebaliknya amalan dipraktikkan dalam parti.

“Dulu saya bercakap dengan parti lawan dalam PRU pun kena gantung dan tak diberi peluang untuk dijelaskan. Perkara ini bukan baharu dalam parti, sebaliknya dari zaman Tunku Abdul Rahman sudah ada yang kena pecat.

“Jadi siapa rasa ada terlanjur soal disiplin parti kena tahu sendiri, semak kelakuan kita sendiri dan bersedia menerima tindakan kerana amalan ini sudah lama ada dalam parti,” katanya selepas Program Dermasiswa Bakti di sini, semalam.

Ditanya kemungkinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara pemimpin Umno yang akan tersenarai, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru mengingatkan ahli supaya tidak mudah percaya pada spekulasi yang belum pasti.

Menurutnya, beliau tidak nampak perkara yang boleh menyebabkan Mohamed Khaled dilibatkan dalam tindakan itu.

“Kalau belum dinamakan siapa pemimpin Umno yang tersenarai itu, ini hanya spekulasi.

“Kita masih samar dan tak tahu siapa pemimpin yang di Johor tersenarai kerana ia akhirnya akan terlibat proses tunjuk sebab, sesi pendengaran, ditanya dan sebagainya, jadi lebih baik kurangkan spekulasi kerana kita tak tahu,” katanya.

Tegasnya, adalah lebih baik semua ahli parti menunggu kenyataan rasmi parti darip membuat ramalan tanpa asas.
SH

KERAJAAN TIDAK HARAMKAN VAPE - ISMAIL SABRI


Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berkongsi berita itu menerusi laman Facebook beliau, Ismail Sabri dalam catatannya menulis: "... Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape".
Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kerajaan akan menimbang untuk mengharamkan penggunaan vape dalam masa terdekat bagi mengelak risiko lebih buruk terhadap kesihatan penggunanya.
Dr Subramaniam berkata kementerian juga sedang meneliti undang-undang bagi menambah baik akta sedia ada.
BERNAMA

Friday 30 October 2015

KERAJAAN KAJI HARAMKAN VAPE



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat terus hangat dengan isu penggunaan rokok elektronik (vape) apabila terkini Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata ia akan diharamkan.

Katanya, kerajaan sedang berbincang dan mengambil langkah dari segi perundangan untuk mengharamkan vape yang menjadi kaedah alternatif untuk perokok tegar berhenti merokok itu.

“Pelan jangka masa panjang adalah untuk mengharamkan ‘vape’, kita sedang mengerakkan usaha dari segi undang-undang, bagaimana untuk melaksanakannya.

“Kita sedang kaji beberapa langkah bersama kerajaan dan kementerian, kita akan pilih langkah yang paling sesuai," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.

Dr Subramaniam berkata,  kementeriannya masih berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak  berkepentingan untuk mendapatkan pandangan mengenai kesan kaedah  merokok ini terhadap kesihatan.

Mengenai pandangan peribadinya berkaitan ‘vape’,  Ahli Parlimen Segamat itu mahu penggunaan rokok elektronik yang kini menjadi fenomena diharamkan serta merta.

“Kalau ikut saya, ia perlu dilaksanakan secepat mungkin. Sebab saya rasa kita perlu hentikan ini sebelum ia menjadi isu besar,” katanya.

Terdahulu, timbalannya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam Dewan Rakyat memaklumkan bahawa 'vape' gagal menghentikan perokok tegar daripada menghentikan tabiat buruk mereka itu.

Jelasnya, kebanyakan mereka yang berhasrat berhenti merokok pada mulanya berjaya meninggalkan tabiat itu dengan menggunakan vape tetapi berakhir dengan menghisap kedua-duanya, rokok dan vape.


Mstar

10 KESALAHAN DALAM SOLAT YANG TIDAK KITA SEDARI


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita.
Maksud hadis:
“Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” [HR Thobrani]
Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insyaAllah…

10 Kesalahan Dalam Solat Yang Tidak Kita Sedari

1. Tidak berdiri lurus

– Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekiranya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri
2. Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah.

– Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).
3. Terdapat kesalahan dalam Al-Fatihah

– Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca Al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.
4. Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud

– Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz “subhanallah”. Maksud hadis:
“Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Sahabat bertanya, “Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?” “Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya” [HR Ahmad]
5. Sujud yang tidak sempurna

Anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. 7 anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari).” [Muttafaqun ‘Alaih]
6. Lafaz tahiyyaat akhir yang salah

– Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.
7. Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat

– Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.
8. Tangan berayun-ayun semasa i’tidal

-Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i’tidal, yang macam buayan tu.
9. Tidak berhenti seketika, yakni i’tidal selepas rukuk
10. Dada berpaling dari kiblat

P/s: Kalau ada yang nak tambah, silakan. Sebab saya sendiri pun cetek ilmu. Jika ada sebarang kesilapan, mohon betulkan ye. Selamat Beramal!

Thursday 29 October 2015

PAS SEDANG BERUNDING DENGAN "PARTI LAIN" - TAKIYUDDIN

PAS terus mencetuskan spekulasi apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini menyatakan parti itu sedang berunding dengan parti lain dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14, PRU-14 akan datang.

Malah, Takiyuddin juga enggan mengumumkan parti yang sedang dirunding sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang.

"Tidak semestinya kita tidak ada rakan kongsi. Kita mungkin ada rakan kongsi baru. Siapa? Tunggu dan lihat. Kalau bukan parti, mungkin individu yang akan sertai kita. Itu terbuka untuk spekulasi.
"Masih dalam rundingan. Semestinya daripada parti lain. Baik kami simpan untuk pengumuman seterusnya," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, Takiyuddin turut membidas Parti Amanah Negara ( Amanah) dengan menasihatkan parti itu agar fokus kepada usaha memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

"Buatlah kerja sendiri. Kamu uruskan ahli parti kamu, kami uruskan parti kami. Jangan bising lah.

"Kukuhkan parti kamu dulu. Kami ada cara kami iaitu lebih baik bekerjasama dengan musuh berbanding dengan bekas rakan seperjuangan. Bekas rakan seperjuangan tahu rahsia kamu," katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan PAS masih kekal sebagai pembangkang dan hanya akan bekerjasama dengan parti-parti lain dalam soal kebajikan rakyat.

PUKAU DI ATM/CDM SEKITAR LEMBAH KELANG


Pukau di ATM/CDM sekitar Lembah Klang, hati-hati kaum wanita.

Sahabat baik saya baru sahaja kena benda ni. Mohon kita saling mengingati pada adik abang kakak saudara sahabat kita supaya berhati-hati dan lebih peka.

Modus operandi mereka hampir sama. Saya lampirkan cerita dibawah sebagai ingatan.

Kejadian berlaku pada siang hari dan sahabat saya ini bukan keseorangan didalam bank atau lebih tepat orang ramai juga ada untuk urusan keluar masuk wang dlm ATM/CDM.

Mulanya mangsa mengeluarkan wang dari ATM yang berjumlah RM2850.00 untuk dimasukkan dalam CDM, selepas itu mangsa beratur menunggu giliran kerana 2 mesin CDM rosak hanya 1 mesin berfungsi.

Kemudian datang 2orang (mengaku orang turkey) bertanya soalan pada mangsa "adakah mesin ini menerima wang selain wang Malaysia?" Mangsa menjawab tidak dan seterus soalan-soalan yg melalaikan mangsa diaju. Tapi ketika ini mangsa masih menunggu giliran dan belum masukkan wang dalam CDM.

Kemudian semasa tiba giliran mangsa untuk masukkan wang didalam CDM dan sedang memasukkan wang dalam slot CDM, pemukau datang dengan kelam kabutnya dan terus mengambil wang dari slot CDM dan bertanya "adakah wang Malaysia macam yang kamu pegang ini diterima dalam mesin?" Mangsa jawab ya. Sementara itu bahu mangsa ditepuk dan wang didalam slot CDM sudah separuh diambil oleh pemukau.

Kes yang hampir sama ada berlaku. Ini berpandukan laporan polis yang dibuat oleh mangsa lain. Jumlah wang didalam slot CDM & wang didalam poket beg wang diambil kira-kira RM5000.00.

Cara yang paling mudah dan selamat untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku adalah dengan tidak melayan mana-mana orang yang tidak dikenali ketika sedang mengeluarkan atau memasukkan wang di mana-mana bank.

Muka penjenayah ada disertakan. Lokasi dan bank mana saya rahsiakan atas permintaan pengurus bank tersebut.





NIZAR MOHON MAAF KEPADA PM @NajibRazak

ADUN Changkat Jering yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas membuat permohonan maaf terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memfitnah Perdana Menteri tiga tahun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat Mohammad Nizar di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu mahkamah, pihaknya ada menerima permohonan daripada Mohammad Nizar dalam surat bertarikh 22 Oktober lalu yang dihantar kepada Perdana Menteri memohon supaya kes itu dikompaun mengikut Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau didakwa memfitnah Najib dalam ceramah di Taman Desa Pakatan pada 23 April 2012 di mana beliau mendakwa telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah memanggil panglima Angkatan Tentera dan mengarahkannya membuat sesuatu jika Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 
MG

PAS BOLEH KERJASAMA DENGAN UMNO DALAM PERKARA KEBAJIKAN UNTUK RAKYAT - MB KELANTAN

KOTA BAHARU: PAS hanya bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam perkara yang membawa kebaikan dan kebajikan kepada rakyat dan bukan atas dasar politik.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perkara tersebut telah menjadi dasar PAS sejak sekian lama. 

"Contohnya dalam masalah banjir yang melanda Kelantan akhir tahun lepas, kita boleh berkompromi, kita boleh bincang dan ketepikan dari segi politik untuk menyelamatkan rakyat kita...itu perkara berkebajikan.

"Jadi pada pokoknya itulah yang dikehendaki presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

"Dalam hal ini (kebajikan) politik tidak berbangkit.. politik kita dasar masing-masing. Tetapi kerjasama politik, tidak sama sekali," katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung pendirian Abdul Hadi yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam perkara yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Wednesday 28 October 2015

RUMAH MANGSA BANJIR KELANTAN SIAP SEPENUHNYA JUN 2016



KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan.

RASUAH RM5 JUTA : KELANTAN TAK AKAN LINDUNGI ADUN

Gambar hiasan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai lebih RM5 juta terhadap seorang Adun yang mempunyai hubung kait dengan kegiatan pembalakan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sejak pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan), Kelantan begitu terbuka dalam setiap isu yang dibangkitkan.

“Kalau sudah bawa kepada SPRM kita serah pada SPRM, kerajaan Kelantan terbuka, sejak dari zaman Tok Guru (bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) kita sentiasa terbuka.

“Kita akan memberikan kerjasama dan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya didapati terlibat, kerajaan negeri penuh integriti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Sebelum ini satu aduan rasmi berkaitan dakwaan rasuah bernilai lebih RM5 juta terhadap Adun itu telah difailkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama wakil pengundi muda luar Kelantan.

Wakil pengundi muda luar, Mohd Afiq Ayob dipetik sebagai berkata, beliau yakin SPRM dapat menjalankan siasatan dengan bantuan 50 helaian dokumen yang menjadi bukti untuk menyelesaikan hampir separuh daripada kes ini.

"Dokumen yang saya serahkan terkandung atau menyatakan dengan jelas wujudnya transaksi melibatkan pembayaran wang kepada seorang Adun Kerajaan Negeri, 'sumbangan' kenderaan Toyota Fortuner termasuk salinan perjanjian jual belinya, dan pembayaran perbelanjaan ke luar negara seorang exco negeri Kelantan.

"Dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai 'sumbangan' RM32,000 berbentuk lembu korban ke kawasan seorang Adun kerajaan negeri, ‘sumbangan’ ‘tiles’ untuk lantai bagi ubah suai bernilai RM34,544.80 termasuk invoice penghantaran yang mana bilnya dibayar oleh sebuah syarikat yang terlibat pembalakan dan mendedahkan pembayaran melalui peguam bernilai RM1 juta. Dokumen berbentuk resit dan salinan cek disertakan.

"Selain itu, dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai satu dokumen pembayaran tunai atas nama anak syarikat kerajaan negeri kepada seorang yang berpangkat Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara bernilai RM150,000 yang tercatat baki bernilai RM4,850,000 (RM4.85 juta). Salinan cek pembayaran kepada seorang yang berpangkat Datuk bernilai RM1juta."

JUMPA BAYI DALAM MESIN BASUH


Yan: Bayi perempuan baru berusia sehari ditemui di dalam mesin basuh milik penduduk di Kampung Ulu Dulang, di sini, 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.44 malam dan terus ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati bayi perempuan berusia sehari ditemui dalam keadaan cukup sifat dan disahkan sihat oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Yan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke rumah terbabit melalui pintu belakang yang tidak berkunci sebelum meletakkan bayi berkenaan di dalam mesin basuh.

“Kita sedang mengesan suspek dan meminta pihak hospital kerajaan mahupun klinik swasta untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang disyaki datang mendapatkan rawatan," katanya.

Muhamad Halim berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Hmetro

WANITA 30-AN RENTUNG, KERETA TERBABAS & TERBAKAR



Pasir Puteh: Wanita berusia 30-an ditemui rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 5, Jalan Pasir Puteh-Jelor-Bachok dekat Kampung Jelor Hulu, di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal dunia serta merta.

Difahamkan, mangsa memandu kereta seorang diri menghala ke Jelawat, Bachok sebelum hilang kawalan dipercayai mahu mengelak pokok tumbang.

Akibatnya kereta mangsa terbabas ke kiri jalan, terbalik ke dalam parit dan terbakar, manakala mangsa gagal keluar untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superitendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






Tuesday 27 October 2015

PENDUDUK DI KELANTAN KEMBALI RESAH, MUSIM TENGKUJUH BERMULA



GUA MUSANG: Musim tengkujuh atau monsun timur laut telah bermula, dengan hujan lebat pertama dijangka berlaku dalam tempoh seminggu lagi.

Bagi beribu-ribu rakyat Kelantan, mimpi ngeri lama kembali menjelma.

Disember lalu, banjir yang paling teruk dalam sejarah telah melanda negeri itu, menyebabkan beribu-ribu penduduk terkandas.

Malah, pejabat daerah dan jawatankuasa bencana juga menjadi mangsa banjir dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mangsa lain.

Lebih daripada 100,000 orang di 12 daerah telah dipindahkan dengan Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Baru menjadi kawasan paling teruk terjejas.

Di Bandar Utama, banyak keluarga kini hidup dalam ketakutan.

Sekurang-kurangnya 14 keluarga masih tinggal di khemah selepas hujan lebat pada Disember lalu menghanyutkan kira-kira 200 buah rumah di Gua Musang.

"Setiap kali hujan saya takut. Ia mengingatkan saya kepada apa yang berlaku tahun lalu," kata Ramlah Ismail, 51, yang masih tinggal di dalam khemah.

"Ia masih segar dalam ingatan saya. Saya tidak fikir khemah ini akan dapat bertahan apabila dipukul ribut."

Pada masa yang sama, dia gembira kerana keluarganya belum lagi berpindah ke rumah baru yang telah dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Rumah-rumah tersebut terletak di atas tanah yang lebih rendah, dengan jarak lebih kurang 5km dan berkemungkinan besar akan musnah sekali lagi jika berlaku satu lagi banjir besar.

"Ia boleh jadi satu rahmat yang terselindung. Tidak ada jaminan bahawa rumah-rumah itu tidak akan ditenggelami air," katanya.

Katanya, dia tidak marah dengan pihak berkuasa kerana mengambil masa yang lama untuk membina rumah-rumah baru, walaupun khemah tempat dia berteduh berada dalam keadaan tidak baik sekarang.

"Hampir semua bahagian koyak selepas berada di bawah matahari dan lembaran plastik terpaksa diletakkan di atasnya," katanya, sambil menambah dia bernasib baik berada di tempat yang lebih tinggi.

Ku Amran Ku Mat, 49, seorang lagi mangsa banjir yang tinggal khemah-khemah di kawasan lapang, tidak gembira apabila janji bahawa rumah ganti akan siap dalam tempoh empat bulan tidak ditunaikan.

"Kami telah tinggal di khemah ini berbulan-bulan lamanya. Saya bimbang kerana musim hujan akan tiba," katanya.

"Mungkin, pihak berkuasa cuba melakukan yang terbaik dan membina rumah baru kami di kawasan bebas banjir," katanya.

"Saya tak kisah menunggu, saya tidak mahu melalui sekali lagi apa yang saya lalui pada tahun lepas.

"Saya pasti semua orang di sini merasakan yang sama," katanya.

127 keluarga daripada kira-kira 200 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada tahun lepas telah tinggal di kem PLKN di Gua Musang.

Tetapi mereka perlu keluar pada bulan Disember sebelum pelatih diambil semula pada Januari.

Pembinaan rumah baharu untuk beratus-ratus mangsa banjir sedang dilakukan namun dalam proses yang perlahan.

Kira-kira 100 buah rumah telah dibina oleh kerajaan negeri dan persekutuan, dan angka itu tidak termasuk rumah yang dibina dan disiapkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan Buddha, Mercy Malaysia dan individu-individu tertentu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada rumah-rumah ini dibina di atas tiang setinggi 2.5 meter. Banjir besar akan menyebabkan mereka terkandas di rumah mereka tanpa jalan keluar sehingga penyelamat tiba.

Kebanyakan mangsa banjir juga enggan berpindah ke Kampung Telekung, kira-kira 30km dari Bandar Kuala Krai kerana mereka bekerja dan mempunyai perniagaan.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin, menyatakan bahawa musim tengkujuh telah bermula dan hujan lebat pertama dijangka turun awal minggu depan.

Walau bagaimanapun, ia berkata, fenomena El Nino akan mengurangkan risiko hujan lebat dan banjir yang melampau.
mStar

Monday 26 October 2015

"AMANAH, KERJANYA MEMPROMOSIKAN DAP" - KETUA PENERANGAN DUPP


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Parti Amanah Negara (Amanah) telah mempromosikan DAP apabila mengangkat Lim Guan Eng sebagai tokoh dalam misi menawan Putrajaya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sebagai parti Islam, PAS mempunyai prinsipnya sendiri dari segi pemilihan pemimpin atau ketua negara.

“Pertama saya nampak memang parti serpihan PAS ini menjadi pengikut kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila saudara Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng.

“Kita (PAS) dalam kaedah Islam, ada prinsip kita, kekuasaan dan penguasaan mestilah didominasi oleh orang Islam…sebab ia bercanggah dengan Islam, tidak boleh kita jatuhkan seorang pemimpin Islam walaupun dia tidak mengikut Islam sepenuhnya digantikan dengan menteri yang bukan Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.

Katanya, masyarakat harus tahu tentang kaedah ini dan PAS sama sekali tidak akan memainkan isu pemimpin bukan Islam diangkat sebagai tokoh.

“PAS tidak akan memainkan isu ini, jadi inilah yang membezakan kita dengan parti-parti lain.

“Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam, tidak memberikan sesuatu yang positif.

“Ahli-ahli Parlimen DAP, saya tidak nampak mereka mesra pada Islam,” katanya.

Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa Guan Eng adalah contoh tokoh politik mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis bersama pimpinan Pakatan Harapan di Klang, malam Ahad.

Ketika majlis itu, Salahuddin turut mengakui bahawa tidak ada jaminan untuk Amanah bertanding atau menang dalam pilihan raya akan datang tetapi demi perjuangan menyelamatkan negara, mereka sanggup ‘cari susah’ apabila bertindak meninggalkan PAS yang juga berada dalam keadaan susah.

Mengulas kenyataan ini, Khairuddin berkata Amanah bersikap lemah semangat dan ia tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang ahli politik.

“Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi, jadi apakan lagi DAP dengan serpihan PAS ini, saya yakin mereka tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengenai sokongan terhadap PAS, beliau berkata pihaknya menerima sambutan hangat daripada orang ramai walaupun beberapa pemimpinnya beralih kepada Amanah.-MS.

ROKOK ELEKTRONIK : MALINDO AIR KAJI PROSEDUR KESELAMATAN

PUTRAJAYA: Malindo Air akan berbincang dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengkaji prosedur keselamatan dan melaksanakan strategi bagi mengelak insiden bateri rokok elektronik terbakar dalam pesawat semasa dalam penerbangan.


Malindo Air dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan bateri rokok elektronik dalam penerbangan OD1003 terbakar semasa dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Sabtu lepas.



Menurut syarikat penerbangan itu berdasarkan laporan anak kapal, insiden itu berlaku pada 6.02 petang semasa pesawat berada pada ketinggian 35,000 kaki dan di pertengahan laluan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.



"Apabila dimaklumkan mengenai insiden itu, anak kapal kabin mengambil tindakan segera kerana mereka dilatih untuk menangani situasi sedemikian.



"Dalam masa beberapa minit, keadaan dapat dikawal dan pesawat meneruskan penerbangan serta mendarat dengan selamat di Kuala Lumpur pada 7.27 malam," kata kenyataan itu.



Anak kapal kabin dan seorang doktor dalam pesawat memberi rawatan kecemasan kepada penumpang yang cedera di tangannya, dan selepas pesawat mendarat, penumpang itu dibawa ke pusat perubatan klia2 untuk rawatan lanjut. 



Syarikat penerbangan itu berkata, polis klia2 dimaklumkan mengenai insiden itu sebelum pesawat mendarat dan bersama-sama kakitangan Keselamatan Penerbangan Malindo Air (AvSec), mereka menemu bual penumpang berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh Malindo Air.



Malindo Air turut mengingatkan para penumpangnya supaya tidak membawa bateri ganti dalam pesawat, tidak menyambung mana-mana peranti elektronik mudah alih dengan sumber kuasa semasa dalam penerbangan dan tidak meninggalkan sebarang peranti elektronik mudah alih tanpa penjagaan.
mStar

ABANG RAYU BANTUAN CARI ADIK PEREMPUAN HILANG



KOTA BHARU – Orang ramai diminta tampil memberikan maklumat berkaitan kehilangan seorang wanita yang mengalami masalah kesihatan, Rosyiati Yaakub, 39.

Che Harun 41, berkata, adiknya itu keluar rumah dekat Aur Duri, Salor awal pagi Rabu lalu dengan membawa dua orang anaknya berusia enam dan lapan tahun bersama.

“Pada hari tersebut, dia memakai baju T lengan panjang warna putih dan membawa beg plastik, kami tidak syak apa-apa kerana ia sudah menjadi kebiasaan di keluar rumah setiap hari tanpa hala tuju.

“Sudah menjadi rutin harian untuk dia keluar bersiar-siar, tetapi ini kali pertama dia langsung tidak pulang ke rumah sudah hampir seminggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Harun berkata, satu laporan polis telah dibuat sehari selepas kehilangan Rosyiati kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini khususnya kepada dua anaknya.

“Saya mohon pertolongan orang ramai yang terjumpa atau melihat RosyiatI agar segera menghubungi balai polis berdekatan.

“Kami sekeluarga bimbang sebab dia ada masalah kesihatan seperti tekanan perasaan lagipun dia sedang menjalani rawatan secara berkala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak awal tahun ini,” katanya.

SH

SUSPEK KES BUNUH REMAJA 17 TAHUN DI TAHAN


Polis menahan seorang lelaki awal pagi tadi, yang dipercayai membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di rumah mangsa di Bandar Baru Teluk Kumbar, malam tadi.

Suspek berusia 20 tahun ditahan di kawasan Bayan Lepas dan polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa. Jurucakap polis berkata, suspek dipercayai menceroboh bilik mangsa ketika dia tinggal seorang di rumah ketika kejadian.

"Suspek yang bersembunyi sekitar kawasan ini turut mengambil telefon bimbit mangsa.

"Dia dijangka direman pagi ini di Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian malam tadi, seorang pelajar perempuan, Intan Suraya Mawardi, 17, ditemui mati dengan lehernya dikelar. Mangsa ditemui bapanya kira-kira jam 7.30 malam di atas katil dalam keadaan berselimut ketika mahu mengejutkan mangsa yang disangka sedang tidur.

Mayat gadis malang itu ditemui ayahnya yang mulanya menyangka anak sulung beliau itu sedang tidur di sebuah bilik di rumah mereka.

Panggilan tidak bersahut menyebabkan ayahnya masuk ke bilik dan mendapati anaknya sedang berselimut dan lehernya dikelar.

Sunday 25 October 2015

TARIKAN TERBARU DI MASJID BEIJING



RANTAU PANJANG – Memanah merupakan salah satu daripada sukan kegemaran junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW, dan tidak lama lagi, aktiviti sukan sunnah itu bakal menjadi tarikan terbaru di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing, di sini.

Imam Masjid Beijing, Mohsin Abdullah berkata, aktiviti itu bukan sahaja terbuka kepada kanak-kanak seawal usia 6 tahun, malah golongan wanita turut digalakkan untuk menyertainya.

"Pada setiap sesi aktiviti ini, pemanah-pemanah akan ditemani oleh tenaga pengajar berpengalaman dari Kelab Memanah Sunnah Kelantan. Pihak masjid juga akan mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kelab Memanah Sunnah Masjid Beijing," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Beijing, Samsuddin Yasin berkata, idea itu tercetus apabila melihat ramai anak muda masa kini mempunyai peralatan memanah, tetapi tidak memiliki kemahiran untuk menggunakannya.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat daripada Kelab Memanah Sunnah Kelantan, pihak Masjid Beijing berminat untuk mengetengahkan sukan tersebut dalam kalangan anak muda di Rantau Panjang.

"Mesyuarat bersama jawatankuasa masjid akan diadakan bagi menentukan tarikh dan waktu sesi pembelajaran untuk sukan memanah. Padang belakang Masjid Beijing dipilih sebagai kawasan memanah untuk memudahkan semua lapisan masyarakat mendalami sukan sunnah itu.

"Lebih menarik adalah sukan memanah ini juga boleh dipelajari oleh mereka yang bertangan kidal. Untuk sebarang pertanyaan atau urusan pendaftaran, boleh hubungi jawatankuasa masjid di talian 019-932 1840," katanya.
SH