ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: September 2015

Monday 21 September 2015

PAS TOLAK KERJASAMA DALAM PAKATAN RAKYAT (PR) 2.0


Pas menolak untuk bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) 2.0 bukan disebabkan parti itu bersikap bodoh sombong ataupun ego.

Sebaliknya penolakannya dibuat atas pendirian parti berkenaan enggan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dituduhnya sebagai pengkhianat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata ia juga dibuat bagi menjaga maruah dan prinsip parti itu.

“Kita tidak akan membiarkan budaya ‘tikam belakang’ itu menjadi amalan dalam politik negara dan berpendapat pengkhianat perlu dihukum.

“Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Budaya sebegini akan merosakkan kesejahteraan iklim politik negara. Justeru ia mengheret negara menghalalkan sebuah pengkhianatan politik,” katanya dalam kenyataan dibuat pada Isnin.

Pada masa sama, Nasrudin berkata Pas tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak kerana mereka sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menambat kembali sokongan terhadap partinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, Pas sentiasa bersikap terbuka untuk menerima mana-mana pihak untuk bekerjasama dengannya.
“PAS tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya,” katanya.

Sunday 20 September 2015

BR1M LEBIH TINGGI UNTUK SEMUA PERINGKAT TAHUN DEPAN


Kerajaan masih berupaya untuk membuat pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk tahun ini, malah akan menambah nilai bantuan bermula tahun hadapan untuk semua peringkat penerima berpandukan kepada kedudukan kewangan semasa negara.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan menambah jumlah bantuan itu bagi membantu rakyat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Pendapatan negara dijangka tidak meningkat tinggi, tetapi memadai bagi kerajaan menggunakannya untuk mentadbir dan perbelanjaan pembangunan negara.

"Kita akan beri tumpuan kepada perbelanjaan yang lebih utama dan ini termasuklah BR1M," katanya ditemui selepas Program Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, hari ini.

Husni berkata, golongan berpendapatan paling rendah akan menerima penambahan bayaran paling tinggi bagi membantu mereka menghadapi bebanan berikutan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2016 pada 23 Oktober ini," katanya.

MESTI BACA !!! CARA MALAIKAT MAUT MEMBERITAHU BILA TIBA AJAL KITA


Sebahagian Para Nabi berkata kepada Malaikat pencabut Nyawa. "Tidakkah Kau memberikan Aba- aba atau peringatan kepada Manusia bahawa kau datang sebagai malaikat pencabut nyawa sehingga mereka akan lebih hati - hati? "

Malaikat itu menjawab . "Demi Allah, aku sudah memberikan aba -aba dan tanda- tandamu yang sangat banyak berupa penyakit , uban , kurang pendengaran , penglihatan mulai tidak jelas ( terutama ketika sudah tua). Semua itu adalah peringatan bahawa sebentar lagi aku akan menjemputnya. Apabila setelah datang aba -aba tadi ia tidak segera bertaubat dan tidak mempersiapkan bekal yang cukup, maka aku akan serukan kepadanya ketika aku cabut nyawanya : "Bukan kah aku telah memberimu banyak aba -aba dan peringatan bahawa aku sebentar lagi akan datang? Ketahuilah , aku adalah peringatan terakhir , setelah ini tidak akan datang peringatan lainnya " ( HR imam qurthubi )

Beginilah cara kerja Malaikat Maut 

Nabi Ibrahim pernah bertanya kepada Malaikat maut yang mempunya dua mata diwajahnya dan dua lagi tengkuknya . "Wahai malaikat pencabut nyawa , apa yang kau lakukan seandainya ada dua orang yang meninggal diwaktu yang sama; yang satu berada di hujung timur yang satu berada diujung barat, serta ditempat lain tersebar penyakit yang mematikan dan dua ekor bintang melata pun akan mati? "

Malaikat pencabut nyawa berkata: "Aku akan panggil ruh - ruh tersebut , dengan izin Allah , sehingga semuanya berada diantara dua jariku , Bumi ini aku bentangkan kemudian aku biarkan seperti sebuah bejana besar dan dapat mengambil yang mana saja sekehendak hatiku " ( HR abu Nu ' aim )

Ternyata Orang Mati Mendengar Tapi Tidak Bisa Menjawab

Rasullullah SAW memerintahkan agar mayat- mayat orang kafir yang tewas pada perang badar dilemparkan ke sebuah sumur tua. Kemudian beliau mendatanginya dan berdiri di hadapannya. Selepas itu, beliau memanggil nama mereka satu- satu: "Wahai fulan bin fulan , fulan bin fulan , apakah kalian mendapatkan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kalian untuk kaliab betul- betul ada? Ketahuilah sesungguhnya aku mendapatkan apa yang dijanjikan Tuhanku itu benar -benar ada dan terbukti. "

Umar lalu bertanya kepada Rasulullah . "Wahai Rasul, mengapa engkau mengajak bicara orang -orang yang sudah menjadi mayat? "

Rasulullah menjawab . "Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran, kalian memang tidak mendengar jawapan mereka atas apa yang tadi aku ucapkan , Tapi ketahuilah , mereka mendengarnya , hanya saja tidak dapat menjawab " (HR Bukhari Muslim)
Credit : babab.ne

Monday 14 September 2015

TERKINI : EMPAT JEMAAH HAJI MALAYSIA DISAHKAN TERKORBAN


PETALING JAYA:
 Setakat ini, seramai empat jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram, Makkah pada Jumaat lalu. 

"Pada jam 6 petang (Ahad) waktu (Arab) Saudi, Tabung Haji mengenal pasti tiga lagi jenazah. Mereka ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37 dari Tanah Merah, Kelantan; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan.

"Ketiga-tiga mereka disahkan oleh waris dan keluarga yang bersama-sama di Tanah Sudi di rumah mayat" kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya pada lewat malam Ahad.

Terdahulu, Rusiah Suar, 56, dari Sungai, Perak dikenal pasti sebagai jemaah Malaysia yang pertama terkorban dalam insiden itu.


Sunday 13 September 2015

PARTI AMANAH NEGARA DILARANG ANJUR SEBARANG AKTIVITI SELAGI PERTUKARAN NAMA BELUM DILULUS - ROS



KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan ketetapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Katanya RoS menerima notifikasi daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu anggota Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan 25 Ogos lepas.

"Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa baru ini, adalah terdiri daripada bekas ahli-ahli Parti PAS yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya permohonan parti itu untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.

Mohammad Razin berkata mana-mana pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000.

Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.

Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata parti itu akan dilancarkan pada 16 Sept ini.

HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI) sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS menolak permohonan itu.

MAT SABU SASAR 100,000 SERTAI PARTI AMANAH NEGARA

MELAKA - Parti Amanah Negara (PAN) menjangkakan lebih 100,000 orang termasuk anggota Pas akan menyertai parti itu menjelang hujung tahun ini.

Presiden PAN Mohamad Sabu berkata sehingga kini PAN menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur daripada pelbagai pelbagai parti politik di negara ini. 

"Kita telah mengedarkan borang keahlian PAN di seluruh negara dan menjangkakan bilangannya akan meningkat sehingga akhir tahun ini.

"Pada hari ini PAN telah menerima borang keahlian sebanyak 500 melibatkan penduduk Melaka termasuk anggota Pas. 

"Di Johor PAN menerima 5,000 borang keahlian manakala di Kedah sebanyak 2,721 borang keahlian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PAN Melaka di sini, hari ini. 

Turut hadir Pengerusi PAN Melaka Adly Zahari dan Anggota Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka. 

Mohamad Sabu berkata PAN Melaka akan bergerak sebagai sebuah parti politik bermula hari ini dan terus bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu.
Beliau berkata PAN juga bersedia bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan Pas dalam sesuatu isu sekiranya perlu. 

Mengulas tentang anggota Pas iaitu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar memilih untuk menyertai PKR, katanya ia tidak memberi kesan kepada PAN kerana mereka masih anggota Pakatan Rakyat. 

"Tidak apalah...asalkan mereka berada dalam Pakatan Rakyat..barangkali mereka ada pandangan masing-masing..saya mengalu-alukan mereka menyertai PKR," katanya. 
Bernama

TROLI KLIA PULA KE NAK KENA SAMAK ???



Adakah senario ini memang sengaja dirancang atau ia telah berlaku cuma sekarang baru kita sedari?

Selepas kejadian anjing diletak dalam troli di pasaraya terkenal yang menyebabkan kariah masjid diminta menyamak kesemua troli pasaraya tersebut, ianya dilihat dilakukan pula di tempat lain.

Terbaru sekeping gambar seekor anjing diletakkan didalam troli di KLIA pula. Kemana penguatkuasa KLIA?

Adakah mereka tidak peka dengan sensitiviti Islam?

Jika ini terjadi dengan sengaja maka pengurusan KLIA kena bertanggungjawap.

INSIDEN KREN TUMBANG DI MASJIDIL HARAM : PERKEMBANGAN TERKINI JEMAAH HAJI MALAYSIA DI MAKKAH


Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan sehingga jam 1.00 petang (waktu Saudi) hari ini, sejumlah sepuluh (10) orang Jemaah Haji Malaysia telah terlibat dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan tiga orang wanita masih kekal.
Tiada sebarang laporan terbaharu mengenai kecederaan mahupun kematian yang melibatkan Jemaah Haji Malaysia yang diterima.
Kini, kesemua jemaah negara ini yang terbabit dilaporkan stabil dan hanya mengalami kecederaan fizikal. Mereka kini berada di bawah jagaan rapi pasukan perubatan. Daripada keseluruhan jemaah terbabit, seorang masih ditempatkan di Hospital Raja Abdul Aziz; Hospital Raja Faizal (1 orang); Hospital An Nur (1 orang), Pusat Rawatan Tabung Haji (6 orang) manakala seorang jemaah telah dibenarkan pulang ke bilik penginapan.
Sepertimana dilaporkan sebelum ini, seramai enam orang (6) Jemaah Haji Malaysia yang masih belum dapat di kesan.
Pada semakan ke dua yang telah dijalankan di maktab-maktab dan telah selesai pada jam 10.00 pagi waktu Saudi, didapati dua (2) lagi Jemaah masih hilang, menjadikan jumlah keseluruhannya lapan (8) orang jemaah iaitu tiga (3) orang lelaki dan lima (5) orang wanita.

Senarai Jemaah Haji adalah seperti di bawah:-
1. Abdul Habib Lahman (68 Tahun), Sik, Kedah
2. Shahidan Saad (52 Tahun), Kodiang, Kedah
3. Zainun Taha (69 Tahun), Ampang, Selangor
4. Rohana Ismail (54 Tahun), Kuala Krai, Kelantan
5. Munah Jusoh (73 Tahun), Cherang Ruku, Kelantan
6. Siti Nurolshlizan Zolkifli (37 Tahun), Tanah Merah, Kelantan
7. Abdul Muluk Ishak (71 Tahun), Pantai Remis, Perak
8. Rusiah Suar (56 Tahun), Sungkai, Perak

Pasukan mencari dan menyelamat TH menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah terbabit di lokasi persekitaran Masjidil Haram serta klinik dan hospital sekitar Makkah.
Pusat Maklumat TH di Makkah juga akan memaklumkan perkembangan terkini kepada waris secara terus. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa.
Orang ramai serta waris boleh menghubungi talian 03-62071919 untuk mendapatkan maklumat. ‪#‎haji1436H‬
LEMBAGA TABUNG HAJI

Thursday 10 September 2015

GUANG ENG DESAK PKR PERJELAS ALASAN MAHU BEKERJASAMA DENGAN PAS



Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali didesak memperjelaskan kepada penyokong pembangkang berhubung keputusan parti itu untuk terus bekerjasama dengan Pas.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, Mohamed Azmin mungkin mempunyai alasan tersendiri dengan keputusan untuk meneruskan kerjasama tersebut.

Menurut beliau, pendirian DAP adalah jelas iaitu tidak lagi akan bekerjasama dengan Pas yang didakwa terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan parti tersebut.

“Mungkin Azmin ada sebab tersendiri, tetapi beliau kena menjelaskan kepada penyokong pembangkang kenapa beliau buat keputusan untuk terus kerjasama dengan Pas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Akhbar melaporkan kenyataan Mohamed Azmin yang mendakwa akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan menjelaskan perkara itu bukan pendirian peribadi beliau, sebaliknya pendirian parti seperti diputuskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, DAP ketika ini meneruskan kerjasama seperti biasa dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bakal ditubuhkan.

Ditanya penerimaan DAP dengan pendirian PKR yang mahu meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti, Guan Eng berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada masa depan.

“Sama ada itu formula yang PKR mahu buat iaitu bekerjasama dengan Pas dan DAP, itu kena tanya PKR.

“Bagi DAP, buat masa ini kita akan teruskan kerjasama dengan PKR, tapi saya rasa mungkin masa akan datang kita kena bincang keadaan ini. Buat masa ini, kita masih bekerjasama dengan PKR,” katanya.

JADUAL PERLAWANAN PIALA MALAYSIA 2015


BERIKUT adalah jadual perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia 2015:

11 September 2015 (Jumaat) 

JDT lwn Perak

12 September 2015 (Sabtu)
Terengganu lwn JDT II

Lions XII lwn Kedah

Sarawak lwn ATM

Selangor lwn Kelantan

KL Felda United lwn T-Team

Pahang lwn PDRM

Pulau Pinang lwn PKNS

18
 September 2015 (Jumaat) 
Kedah lwn Terengganu

Kelantan lwn KL Felda United

19 
September 2015 (Sabtu) 
JDT II lwn Lions XII

Perak lwn Sarawak

ATM lwn JDT

T-Team lwn Selangor

PDRM lwn P.Pinang

PKNS lwn Pahang

26 September 2015 (Sabtu) 
JDT II lwn Kedah

Lions XII lwn Terengganu

Sarawak lwn JDT

Perak lwn ATM

Selangor lwn KL Felda United

T-Team lwn Kelantan

P.Pinang lwn Pahang

PDRM lwn PKNS

Senarai kumpulan:
Kump A: Terengganu, Lions XII, Kedah, JDT II

Kump B: JDT, Perak, Sarawak, ATM

Kump C: KL Felda United, Kelantan, Terengganu, T-Team

Kump D: Pahang, PDRM, P.Pinang, Selangor PKNS

MESYUARAT MT UMNO : 'TIADA SIAPA YANG DIPECAT' - DS @NajibRazak



KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pemecatan atau pengguguran berlaku pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, mesyuarat juga berlangsung dalam suasana baik dan penuh semangat setiakawan.

"Saya mengalu alukan penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyatakan kesetiaan pada UMNO dan berjuang demi UMNO dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shafie Apdal dan komitmennya dalam parti.

"Pentingnya solidariti peringkat tertinggi dalam isu tertentu untuk kita menjamin kelangsungan parti untuk terus berkuasa dan menyelesaikan apa juga isu," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Mesyuarat MT kali ini adalah yang pertama selepas Hari Raya Aidilfitri lepas susulan pembatalan mesyuarat asal yang dijadualkan pada 31 Julai lalu.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sendiri mengatakan tidak akan berlaku sebarang pemecatan hari ini malah mengakui ia tidak pernah dibincangkan dan hanya khabar angin semata-mata.

Dalam pada itu Najib berkata, mesyuarat MT UMNO turut membincangkan isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dalam soal 1MDB bersama kedudukan semasanya, kita juga sudah meletakkan tempoh untuk mengurangkan hutang dan menyelesaikan proses rasionalisasi.

"Kita juga akui mendapat tawaran menggalakkan dalam isu ini namun tidak boleh membuat sebarang pengumuman. Kita akan maklum bila selesai nanti," jelasnya.

Sementara itu tegasnya, UMNO juga tidak akan mendedahkan isu dana politik juga menjadi isu beberapa pihak akhir-akhir ini.

"Tidak ada undang-undang yang diterima pakai untuk isu ini. Tidak ada keperluan juga untuk mendedahkan apa-apa daripada dana ini.

"MT juga ambil maklum semua parti mengambil sumbangan dana. Isu ini sebenarnya sudah dibangkitkan empat tahun dahulu namun tidak mendapat reaksi pembangkang," ujarnya.

Najib turut mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO tahun ini adalah pada 8 sehingga 12 Disember iaitu selepas selesai persidangan Parlimen.

Tuesday 8 September 2015

KERAJAAN BUKAN 'ANGKUH' - PM @NajibRazak

Kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional bukan bersikap 'angkuh' dan sedia untuk menerima teguran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan yang dipimpinnya bersedia memperbaiki kelemahan dan sanggup memperbetulkan kelemahan tersebut.
Bercakap pada majlis pembukaan bangunan Yayasan Pewaris Batu di sini malam Isnin, Najib berkata walaupun rakyat boleh menunjukkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan, mengadakan perhimpunan di jalanan bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan.

"Kami tidak boleh membenarkan kerajaan yang dipilih menerusi proses demokrasi digulingkan menerusi perhimpunan jalanan," katanya.

Najib berkata kestabilan politik menjadi keutamaan pelabur dan kestabilan ini tidak boleh dimusnahkan oleh sesiapa sahaja.

Pada majlis perasmian bangunan tersebut yang akan digunakan sebagai pusat perkhidmatan Umno Bahagian Batu, Najib turut menyerahkan geran perniagaan RM50,000 kepada 50 peniaga yang beroperasi di pasar malam Kampung Batu Muda.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan dana RM10,500 kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

DAP TOLAK PENYERTAAN PAS DALAM PAKATAN BAHARU PEMBANGKANG

DAP tidak akan menerima penyertaan PAS dalam gabungan baharu Pakatan Rakyat 2.0.
Menegaskan demikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP dan PAS kini berada di tahap tidak mungkin dapat 'rujuk' kembali kerana PAS telah mengisytiharkan DAP sebagai musuhnya.
"Bagaimana kami boleh menyertai pakatan itu bila PAS hendak bertanding menentang kami," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Katanya, PAS telah mengisytiharkan DAP sebagai musuh nombor satunya - dan bukan Barisan Nasional atau UMNO - maka kini jelas ia akan bertanding di kerusi-kerusi DAP.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dilaporkan berkata bahawa parti itu sedang mempertimbang untuk bertanding di kerusi-kerusi DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
"Saya tidak terkejut dengan kenyataan Presiden PAS itu. Ia selari dengan dasar baharu PAS yang menganggap DAP musuhnya," kata Lim.
Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata beliau menerima cabaran PAS itu dan mempelawa bekas sekutunya itu bertanding di kerusi negerinya Air Putih.
Ketika diminta mengulas cadangan timbalan presiden PKR Azmin Ali supaya membenarkan PAS menyertai pakatan baharu pembangkang, Lim berkata, adalah mustahil bagi DAP berada dalam gabungan yang sama dengan PAS.
BERNAMA

Monday 7 September 2015

BAI'AH : MURSYIDUL AM PAS AKHIRNYA BERSUARA !!!

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din hari ini menolak pendapat bahawa baiah dibuat oleh wakil rakyat PAS boleh ditebus dengan membayar kafarah seperti disebut oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.


Haron berkata, baiah yang dibuat oleh kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu sebenarnya berbaiah dengan Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, katanya tidak timbul soal membayar kafarah seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.


Beliau mengulas mengenai kenyataan Khalid Samad yang menyatakan wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah yang sesuai sebagai 'denda' kerana melanggar baiah parti itu.


Susulan kenyataan Khalid itu, Haron mengingatkan kesemua wakil rakyat PAS untuk merujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti berhubung isu baiah yang mereka lafazkan.

"Maksud itu jelas, kalau mengkhianati baiah bermakna mereka mengkhianati Allah.

"Allah tidak perlu kepada kafarah, kerana itu maka terpulanglah kepada setiap-setiap orang ada pandangannya, ada perkara yang dia rasa boleh meyakinkan apa yang dia buat, akan tetapi saya menasihatkan hal-hal keagamaan khususnya baiah yang mengaitkan dengan talak isteri, rujuklah kepada orang yang autoriti," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli merujuk kepada bidang kuasa mahkamah syariah ekoran perjanjian baiahnya yang melibatkan talak tiga selepas melanggar bai'ah tersebut.

"Kalau (baiah-talak), itu adalah bidang kuasa mahkamah syariah, ada orangnya yang ada autoriti dan ada kuasa, bagi maksud kalau sudah ternyata hubungan suami isteri sudah terpisah disebabkan talak tiga, mereka tidak boleh lagi duduk serumah.

"Kalau berlaku juga, itu bidang kuasa penguatkuasaan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Haron mengingatkan Hatta supaya tidak menjadikan semua alasannya daripada ditegur oleh penguasa kerajaan atas sebab 'mengaturkan hidupnya'.

Beliau berkata, ini ekoran teguran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob terhadap Hatta berhubung 'cerai talak tiga' adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin untuk menegur mana yang salah.

"Maknanya dia tidak mengakui adanya perintah Allah amar ma'ruf dan nahi munkar.

"Amar ma'ruf itu memanglah kita perlu ambil tahu, dan nahi munkar pula kepada semua orang dan masyarakat dan yang memberi komen kepada sahabat kita Dr. Hatta Ramli itu ialah penguasa, seorang menteri besar, ketua kerajaan, jadi memang tanggungjawab dia untuk mengekalkan yang amar ma'ruf dan menghapuskan yang mungkar," tambahnya.

Malah beliau mengingatkan Hatta supaya memahami semula perkara-perkara 'fahishah' (perbuatan yang keji).

"Kalau sudah diputuskan atau dinyatakan dengan jelas oleh ketua hakim syarie bahawa perkahwinannya telah terlerai atau pun tertalak, maka hubungan yang berlaku selepas itu adalah perkara yang 'fahishah'," katanya.

"(Fahishah) adalah yang wajib dicegah, maka itu adalah kewajipan mereka (menteri besar Kelantan) mencegah dan memanglah mencegah itu ialah perlu ambil tahu hal orang lain.

"Pertama sekali ialah pemerintah," katanya.

Haron turut memberikan contoh dalam al-Quran turut memperincikan perkara-perkara baiah yang perlu diikuti oleh mereka yang berbaiah.

"Sesungguhnya sesiapa yang mengkhianati baiahnya, maka dia sebenarnya mengkhianati dirinya sendiri.

"Sesiapa yang menyempurnakan baiahnya, maka Allah akan menganjarkannya dengan pahala yang besar," katanya.

"Jadi sepanjang cerita tentang baiah dalam al-Quran tidak ada yang dipanggilkan kafarah. Yang ada, yang besarnya, dia berbaiah dengan Allah, dia menunaikan baiah itu dia akan dapat pahala dan jika dia mengkhianatinya, dia khianat diri dia sendiri.

"Jadi itu sudah lebih daripada cukup untuk buat pengajaran," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Haron turut meminta supaya semua wakil rakyat tersebut tidak mencari alasan untuk mereka menghalalkan cara dan membolehkan mereka mengkhianati baiah yang sudah dilafazkannya bersama PAS.

"Berilah apa alasan pun yang boleh kita mereka begitu banyak alasan, tetapi tanyalah hati kecil sendiri dan tanya iman, apakah yang mereka buat itu diredhai oleh Allah atau tidak.

"Kalau mereka jawab redha takper, silakan, tidak ada masalah tetapi tanyalah orang yang jujur dan memberi pandangan dan nasihat yang berguna untuk kebaikan dunia dan akhirat...untuk kebaikan dunia dan akhirat...perlu bersandar kepada hujah-hujah syarak bukan semata-mata hujah akal," katanya.

Semalam, Khalid memberitahu berkemungkinan semua wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah sebagai denda kepada pelanggaran baiah itu.

Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

GAMBAR WANITA BAWA ANJING DALAM TESCO JADI VIRAL


JOHOR BAHRU - Seorang pengguna media sosial, Sharafazleen telah memuat naik satu gambar yang memaparkan seorang wanita membawa anjing peliharaannya ke dalam pasar raya menggunakan troli pada hari ini.

Melalui apa yang ditulis oleh Sharafazleen, kejadian mengambil tempat di Tesco Plentong, Johor Bharu dan gambar terbabit dirakam sendiri olehnya.

Tindakan wanita terbabit telah mengundang kemarahan netizen yang lain yang menyifatkan wanita berkenaan tidak sensitif.

Lebih teruk, Sharafazleen juga turut berkata anjing tersebut siap terkencing lagi.

"Bawak anjing jalan2 ke ape??? Ltk dlm troli!!!! Siap terkencingg lagiii ������ @ Tesco plentong....", tulis beliau.

Menurut Sharafazleen lagi, dia sudah membuat laporan mengenai perkara itu kepada pengawal keselamatan.

"Dah report tadi, tapi guard pun macam slow je," katanya.

Gambar terbabit telah mendapat lebih dari 2,000 perkongsian dalam masa lebih kurang lima jam.

SUMBER

Saturday 5 September 2015

"SAYA TETAP AKAN TERUSKAN KEHIDUPAN SEPERTI BIASA BERSAMA ISTERI" – MOHD HATTA

Biarpun Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad telah mengesahkan perkahwinannya gugur talak tiga kerana melanggar bai’ah, Ahli Parlimen Kuala Krai, Mohd. Hatta Ramli tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama isterinya.

“Saya ada pendirian tersendiri dan telah pun merujuk perkara bai’ah ini dengan beberapa ulama baik dari dalam mahupun dari luar negara.

“Ulama berbeza pendapat malah ada yang mengatakan dalam Islam tidak ada bai’ah yang menuntut cerai talak tiga dengan isteri.

“Tetapi bagi memuaskan hati, saya membayar kafarah juga dengan memberi makan 10 orang anak yatim untuk membatalkan bai’ah yang dilafaz sewaktu bersama Pas,” katanya selepas ceramah Parti Amanah Negara di Tanah Merah Kelantan malam tadi.

Tegas Mohd Hatta, dia mempunyai cukup alasan dan panduan untuk menolak pandangan mengenai bai'ah jatuh cerai talak tiga walaupun datang daripada Mufti Kelantan sendiri,” katanya

Pada Rabu lalu, Daud mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta dengan isterinya telah jatuh talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah PAS negeri itu.

Dalam lafaz bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
malaysiagazette

PAS : BAI'AH DAN TALAK




Jika benar, bai'ah dan sumpah PAS adalah seperti di dalam gambar:

"Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli dewan negeri atau dewan rakyat, maka akan tertalaklah isteri atau isteri-isteri saya dengan tiga talak. Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah haram."


Di zaman Rasulullah, Nabi dibai'ah dengan cara bersalaman dengan lelaki. Bagi wanita, bai'ah diberikan dengan ucapan. Dan Nabi tidak pernah menyentuh mana-mana wanita yang bukan mahram untuk menerima bai'ah.

Nabi dibai'ah dengan ucapan, antaranya seperti yang diriwayatkan dari Ubadah bin al-Shomit:

"Kami telah berbai'ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami. (Kami juga berbai'ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan di sisi Allah (kami juga berbai'ah) untuk menyatakan al-Hak di mana saja kami berada dan kerana Allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela." [Lihat hadis riwayat al-Bukhari, nombor 7199, riwayat Muslim, nombor 1836].

Bai'ah umat Islam kepada Nabi tertegak atas asas iman dan taqwa, bukan asobiyyah dan kepentingan. Contohnya Allah berfirman, maksudnya:

"Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk berbai'ah, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang" [Surah Al-Mumtahanah, ayat 12].

Bai'ah kepada Rasulullah ini mendapat pengiktirafan dari Allah. Firman Allah, maksudnya:

"Allah telah reda ke atas orang-orang beriman ketika mereka berbai'ah kpdmu (Muhammad) di bawah pohon, maka Allah mengetahui segala sesutu di dalam hati mereka..." [Surah al-Fatah: 18].

Kerana itu, maksud bai'ah dari sudut istilah syarak adalah:

"perjanjian yang dimeteraikan bertujuan untuk memberikan ketaatan (dalam hal yang makruf), sepertimana seorang pemimpin dibai'ah oleh rakyatnya dengan tujuan pemimpin tersebut akan bertanggungjawab ke atas urusan rakyatnya dan kaum muslimin..." [Lihat: Muqaddimah, oleh Ibn Khaldun, ms 229].

Para ulama bersepakat bahawa bai'ah yang menepati syarak adalah bai'ah kepada Ulil Amri yang dilantik mengikut sistem yang diiktiraf Islam.

Bai'ah yang dipraktiskan oleh PAS ini, jika benar, bukanlah bai'ah dari sudut istilah syarak, sebaliknya ia merupakan bai'ah dari sudut bahasa yang bermaksud perjanjian atau aqad semata-mata [Lihat: Lisanul 'Arab, oleh Ibnu Mandzur, 1/299].

Sumpah bai'ah yang menetapkan janji tertentu seperti jatuh talak dan lain-lain diasaskan oleh Gabenor Iraq, Hajjaj Yusof, sekitar tahun 95H yang terkenal dengan kezalimannya.

Bai'ah tersebut digelar oleh para ulama sebagai bai'ah Hajjajiyyah. Sememangnya bai'ah seperti ini menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah. [Lihat 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63].

Cuma persoalan yang perlu dirungkaikan adalah jatuh talak atau tidak bagi sesiapa yang keluar PAS atau lompat ke parti lain?

Ibnu al-Qayyim merungkaikan isu ini di dalam kitab beliau 'Ilam al-Muwaqqi'in, kata beliau:

"Hajjaj telah mencipta bentuk bai'ah yang baru bukan seperti bai'ah Nabi sallallahu alaihi wa sallam; bai'ah Hajjaj merangkumi sumpah dengan nama Allah, talak, bebaskan hamba, sedekah harta benda dan laksanakan haji. Maka para ulama berselisih pendapat tentang hal ini..." [Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63].

Pandangan Mazhab Maliki; Abu Bakr Ibnu al-'Arabi berkata:

"Telah ijmak ulama-ulama mutakhir (mazhab Maliki) bahawa jatuhnya talak isteri-isteri mereka yang melanggarkan sumpah bai'ah.." [Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63].

Pandangan Mazhab Al-Syafie:

"Sekiranya lafaz sumpah itu jelas, bukan samar-samar maksudnya, beserta niat, maka jatuh talak." [Lihat: Al-majmu, oleh Al-Nawawi, 8/462].

Pandangan Mazhab Hanbali;

"Sesiapa yang memahami isi kandungan Sumpah bai'ah, dan memang berniat untuk mematuhi segala perjanjian ketika bersumpah, maka JATUH TALAK. [Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, 11/408].

Kesimpulannya, sesiapa yang berbai'ah berkonsepkan bai'ah Hajjajiyyah-walaupun ia menyelisihi sunnah- contohnya JATUH TALAK ISTERI; secara sedar memahami apa yang dilafazkan, tanpa paksaan, dengan kerelaan dan niat, maka apabila dia melanggar sumpah bai'ah tersebut dengan sengaja, JATUHLAH TALAK KE ATAS ISTERINYA.

Cuma, ulama berbeza pendapat samada jatuh 3 talak -jika diniatkan jatuh 3 talak- atau hanya satu talak sahaja; dinukilkan dari sebahagian ulama mazhab Maliki, jatuh hanya satu talak. Manakala sebahagian yang lain menetapkan jatuh ketiga-tiga talak. [Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 64]

Terdapat satu hadis yang diperselisihi statusnya, Nabi bersabda:

"Orang Islam itu (berpegang) dengan syarat-syarat (yang telah dipersetujui)" [HR Al-Tirmidzi, no. 1352].

Mungkin saudara-saudara di kalangan PAS berpegang dengan hadis di atas untuk mengharuskan bentuk bai'ah seperti ini. Syarat ini ditetapkan ke atas sesiapa yang ingin bertanding atas tiket PAS.

Jadi, jika tidak mahu terikat dengan syarat-syarat tersebut, maka janganlah bertanding atas tiket PAS, kemudian keluar atau lompat ke parti lain.

Namun saya berpendapat, konsep sumpah bai'ah yang PAS gunakan –jika benar– sangat mirip dengan konsep bai'ah Hajjajiyyah yang menetapkan kelaziman tertentu bagi sesiapa yang melanggarnya.

Sesungguhnya keburukannya lebih besar dari kebaikan. Bagaimana dengan status perkahwinan sebahagian ahli-ahli PAS yang telah berbai'ah namun kini meninggalkan PAS? Wallahul musta'an.

Cuma soal jatuh talak atau tidak, itu terpulang kepada mahkamah.

Sumber