ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: August 2014

Sunday 31 August 2014

PAS SELANGOR LULUS USUL KUTUK & KECAM DUA ADUN SOKONG WAN AZIZAH

PAS Selangor lulus usul kutuk dan kecam dua ADUN sokong Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Usul mengutuk dan mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin yang menyatakan sokongan kepada ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu diluluskan.

Ia diluluskan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor kali ke-26 yag berlangsung di Klang.

Menurut posting Facebook terbaru Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, usul itu juga akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk diambil tindakan berdasarkan Fasal 82, Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.



Sebelum ini 30 adun Pakatan Rakyat di Selangor menyatakan sokongan Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baharu.

Sokongan tersebut sekaligus menandakan ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang kepercayaan majoriti di Selangor untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

PAS akan menyiasat tindakan dua ahli dewan undangan (Adun) partinya yang menyatakan sokongan kepada Adun Kajang, Dr Wan Azizah hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini memaklumkan , perbincangan akan dibuat melalui Lajnah Politik PAS, biro paling utama dalam parti Islam itu untuk menentukan nasib dua ADUN tersebut.

Bagaimanapun Saari dilaporkan bersedia untuk dipecat dari partinya akibat mengambil tindakan menyokong Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

POLIS TAHAN PENGERUSI PPS, AMBIL KETERANGAN LIM GUANG ENG


GEORGE TOWN: Polis menahan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang Phee Boon Poh dan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung pasukan yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata Phee,yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada Ahad. 

"Phee hadir di IPD Timur Laut pada pukul 4.30 petang dan polis menahannya untuk siasatan lanjut manakala Lim Guan Eng dibebaskan selepas polis merekod keterangannya," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata polis turut mengambil keterangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima RSN Rayerdi. 

Sehingga pukul 6 petang, sejumlah 156 anggota PPS termasuk Phee dan tujuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung pasukan itu, yang didakwa ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).  

Pagi tadi, polis menahan 154 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota.  

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata kesemua anggota PPS, termasuk tujuh wanita itu, ditahan pada 10.15 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.  

Sementara itu, tinjauan Bernama di IPD Timur Laut mendapati beberapa ADUN, anggota keluarga PPS dan penyokong kerajaan negeri berkumpul di pintu masuk balai berkenaan. 
mStar

2 PENGGUNA TWITTER MAKI @PDRM DIBURU !!!


KUALA LUMPUR: Dua pengguna laman sosial Twitter dikesan mengeluarkan kenyataan biadap terhadap polis, dengan seorang daripada mereka menggelar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebagai "anjing Barisan Nasional".

Sehubungan itu, Khalid mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab di sebalik dua akaun Twitter berkenaan untuk dikenakan tindakan.

"PCIRC@PDRMsia sila ambil tindakan terhadap orang biadap ini yang menggelar IGP 'Anjing BN'," kata Khalid dalam catatan di laman Twitternya hari ini.

Akaun yang menghina Khalid itu menggunakan akaun Twitter Nasrul Omar.


Pada satu lagi akaun Twitter atas nama Viktor Wong, tertera mesej mencemuh berikut: "Bastardization of @PDRMsia. Thanks to the ruthless@KBAB51. Henrich Himmler of Malaysia."

Merujuk kepada akaun Twitter kedua itu, Khalid berkata: "PCIRC@PDRMsia, juga kesan seorang lagi yang biadap ini untuk diambil tindakan."

Heinrich Himmler adalah antara individu paling digeruni di bawah pemerintahan Nazi di Jerman.

- BERNAMA

RANGKA BUDAK DITEMUI DIBELAKANG RUMAH


Melaka: Satu rangka manusia dipercayai kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui di belakang sebuah rumah di Taman Bayan, Bukit Katil pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Abu Bakar berkata, mangsa dipercayai dibunuh Februari lalu sebelum mayatnya ditanam di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan. 
"Sepasang kekasih berusia 24 dan 25 tahun yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak ini ditahan di Muar, Johor kira-kira jam 2 pagi tadi. 

"Hasil soal siasat, rangka mayat mangsa yang dibalut kain batik ditemui di dalam satu lubang sedalam kira-kira 0.3 meter di belakang rumah berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
myMetro

AMARAN KPN @KBAB51 : MEREKA YANG BERTANGGUNGJAWAP KE ATAS PPS SEGERA SERAH DIRI !!!


Selepas lebih 200 anggota PPS ditahan hari ini, polis menggesa anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) selebihnya menyerah diri selepas pasukan itu diisytihar tidak sah baru-baru ini.

Eloklah mereka yang bertanggungjawab ke atas PPS ini segera menyerah diri sebelum kami serbu kediaman,” tulis Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitter hari ini.



Berikut adalah komen daripada orang ramai:

Adakah amaran ini juga ditujukan kepada Lim Guan Eng? 

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini berikrar untuk mempertahankan anggota Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) dari sebarang tindakan polis atas penglibatan mereka dengan pertubuhan haram tersebut.

"Ini susulan kepada ugutan berbentuk membuli oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar yang berkata polis akan menahan anggota PPS sekiranya mereka meneruskan aktiviti mereka,” kata Lim dengan angkuh dalam kenyataannya.

Mungkin berasakan jawatan Ketua Menteri yang ada padanya sangat berkuasa , Lim Guan Eng secara terbuka mencabar Ketua Polis Negara untuk berdepan dengannya didalam isu pertubuhan haram PPS.

Dalam masa yang sama Lim Guan Eng turut mengaku bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang yang membiayai serta melindungi PPS sejak 4 tahun yang lalu walaupun sedar ia menyalahi undang-undang.

Polis pagi ini menahan kira-kira 250 anggota PPS Pulau Pinang selepas menghadiri perarakan hari merdeka di Esplanade di Pulau Pinang.

Khalid pada 26 Ogos berkata PPS tidak berdaftar bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Justeru, setelah dimaklumkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), polis akan menyiasat aktiviti bawah kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

PPS menjelaskan, ia tidak berdaftar dengan ROS kerana ia bukan pertubuhan, tapi agensi kerajaan negeri negeri.

PPS mencetuskan kontroversi selepas ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mendakwa diserang dua lelaki yang berpakaian seragam unit itu di Air Itam minggu lalu.

{UPDATE} PUNCA SEBENAR GADIS CANTIK INI DITETAK DENGAN PISAU PEMOTONG DAGING...

Nasib malang gadis yang bernama Effy Faathirs seorang pelajar KLMU apabila di samun dan ditetak dengan pisau pemotong daging di kawasan rumahnya di Pandan Indah.

Menurut mangsa menerusi laman sosialnya, suspek yang sudah menunggu kehadirannya berlari kearahnya dengan bersenjatakan pisau cuba merampas barang milik mangsa namun mangsa enggan beralah terpaksa bergelut namun suspek berang lalu menetak mangsa sebelum melarikan beg dan telefon miliknya.



1
10577003_333849113455152_5550498979083605904_n
10628187_333849066788490_2830763782600640696_n
Apabila mengetahui kisah ini rakan-rakan mangsa didapati memberi nasihat kepadanya bahawa dia tidak sepatutnya melawan apabila berdepan situasi seperti ini.
komen1
komen2
komen3
komen4

KEDIAMAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, LGE DILEMPAR BAHAN LETUPAN BUATAN SENDIRI


PULAU PINANG 31 Ogos - Kediaman Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Jalan Pin Horn dekat sini dilempar bom buatan sendiri yang meletup dalam kejadian kira- kira pukul 11.45 malam tadi.

Ketika kejadian difahamkan Guan Eng dan ahli keluarganya berada di dalam rumah dan tiada yang tercedera kerana bom molotov koktail yang dilempar meletup di kawasan parkir kereta.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, penelitian terhadap kamera litar tertutup mendapati seorang lelaki menaiki motosikal berhenti di hadapan rumah Guan Eng dan bertindak melempar bahan letupan itu sebelum melarikan diri.



POLIS TANGKAP PASUKAN HARAM PPS KERAJAAN DAP PULAU PINANG !!! SYABAS @pdrm @KBAB51


Polis P.Pinang sudah mula bertindak menangkap pasukan haram PPS kerajaan Dap hari ini di Padangg Kota .

Pasukan FRU juga  terpaksa dikerahkan bagi mengawal keadaan bagi membantu menangkap mereka dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai .

Georgetown: Lebih 200 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, di sini, hari ini.

Mereka ditahan kira-kira jam 10.15 pagi, berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama.

Semua anggota PPS dilihat memberi kerjasama dengan baik dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai untuk siasatan lanjut.

Sehingga kini, wakil media masih menunggu di hadapan Balai Polis Lebuh Pantai untuk perkembangan terbaharu.

 







"JANGAN KITA HANYA 'SENTIMEN ALLAHU AKBAR" SAHAJA" - MAT TAIB

SHAH ALAM - Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini mengingatkan PAS agar tidak membuat keputusan dengan mudah untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dalam berhadapan krisis Menteri Besar Selangor.

Beliau yang pernah memegang jawatan itu selama 11 tahun itu berkata, parti Islam itu perlu mengambilkira faktor pengundi Cina yang merupakan antara penyumbang besar dalam mempertahankan Kerajaan PR pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

"PAS akan kalah banyak kerana mungkin orang Cina tidak mahu mengundi PAS.

"Jangan kita hanya 'sentimen Allahu Akbar' sahaja. Kita kena praktikal dengan keadaan pengundi.

"Jika kita silap percaturan, PR akan menang dan PAS yang tidak dapat undi. Jika ada pilihan raya di Selangor, saya ingat kurang-kurang PAS akan kalah 10 (kerusi)," katanya dalam Wacana Merdeka di Universiti Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, PAS menyatakan pendirian akan tetap menamakan dua calon Menteri Besar sebagaimana yang dititahkan Sultan Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

PAS Selangor juga bakal mengadakan satu mesyuarat dalaman bagi membincangkan calon jawatan itu.

Malah kenyataan rasmi yang dikeluarkan PR baru-baru ini bagi mempertahankan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya diwakili PKR dan DAP.
RakyatNews - 30 Ogos

Saturday 30 August 2014

PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-57 OLEH PERDANA MENTERI @NajibRazak



Teks ucapan perutusan Hari Kebangsaan yang ke-57 oleh Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Tun Razak:

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Alhamdulillah, segala puji dan rasa syukur, dirafakkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran dengan kehendak dan keredhaan-Nya jua, kita sekali lagi, tidak kira di mana ceruk mahupun rantau tanahair bertuah ini, masih terpelihara dalam keadaan aman, untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan.

Tidak seperti tahun-tahun yang sudah, di mana perutusan selalunya dibuat secara rakaman dan kemudian dipancar ke kaca-kaca televisyen,… malam ini,… saya memilih untuk berucap secara langsung kepada ratusan hadirin di ambang merdeka ini, sebagai menzahirkan semangat patriotik dan obor perjuangan negara bangsa, dari mata ke mata, hati ke hati, khususnya kepada saudara dan saudari sebagai sebahagian rakyat Malaysia yang berada di sini.

Hakikatnya, setiap kemerdekaan itu bermula dengan sebuah perjuangan murni dan pengorbanan yang tiada tandingnya, termasuklah daripada pihak Raja-Raja Melayu dan istana, para pemimpin politik dan rakyat keseluruhan.

Dalam hal ini, jika dihimbau sejarah silam negara, kita telah dijajah selama empat setengah kurun, bermula daripada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 hingga kepada pentadbiran Inggeris. Semenjak itulah, penjajah datang silih berganti, mengaut hasil dan menindas masyarakat peribumi, sehingga menyinsingnya fajar kemerdekaan, pada 31 Ogos 1957.

Mengenang sejarah, setiap orang perlu beringat bahawa negara ini berasal sebagai Persekutuan Tanah Melayu. kemudiannya, bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

Merujuk episod ini, kita mendengar desas-desus serta suara-suara tidak menyenangkan, yang mempersoal mengapakah tarikh pembentukan Malaysia tidak pula sama dengan tanggal kemerdekaan, kenapa 16 September, sedangkan Semenanjung 31 Ogos?

Dalam perkara ini, kita perlulah mengkaji apakah sebenarnya yang telah diusahakan oleh sebuah Suruhanraya khas yang bertanggungjawab untuk mengadakan pungutan suara terhadap penduduk di Sabah dan Sarawak dalam proses penubuhan Malaysia ketika itu.

Untuk pengetahuan ramai, kelewatan tarikh tersebut telah berlaku di atas sebab teknikal, kerana, pihak Suruhanjaya Cobbold perlu menunggu pengesahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan majoriti persetujuan melalui referendum sebelum memuktamadkan laporannya. Justeru, tarikh 16 September telah ditetapkan sebagai pembentukan hari Malaysia.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Bertolak dari situ, tahun ini, kita meraikan sambutan kemerdekaan kali ke-57, sekaligus tahun ke-51 Sabah dan Sarawak bersama-sama kita sebagai sebuah Malaysia. Dirgahayu Malaysia, Dirgahayu Malaysia!

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Sememangnya lagi, kita bersyukur kerana kebersatuan bersejarah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan itu, telah mengukir jutaan rahmat dan ingin ditegaskan cinta kasih serta tali persaudaraan seluruh rakyat Malaysia bertitik tolak dari Arau Perlis, membawa hingga ke Semporna Sabah dan ke penghujung Ulu Lachau Sarawak, tidak mungkin dapat dipisahkan, bahkan InsyaAllah, akan kekal utuh ibarat rambut bersimpul mati.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Justeru, sebaik sahaja selesai dan rampungnya Pilihanraya Umum ke-13 tahun lalu, sebagai perlambangan atau simbolis mandat baharu yang Kerajaan terima, tanpa berlengah-lengah lagi saya melantik sejumlah besar Menteri dan Timbalan Menteri di kalangan pimpinan dari Sabah dan Sarawak sebagai satu penghormatan terhadap sokongan padu saudara dan saudari kita di sana terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Kini lebih setahun telah pun berlalu, keanggotaan para wakil rakyat Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan menjadi perhitungan penting, dalam mengorak halatuju selanjutnya Malaysia yang tercinta.

Ini turut saya pertegaskan dalam ucapan-ucapan utama saya sepanjang setahun lebih yang lalu bahawa Kerajaan yang mentadbir pada hari ini mempunyai tanggungjawab cukup besar demi mendahulukan kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam yang mewakili lebih 70 peratus rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

Makanya, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadu-dombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tatap dipertahankan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Menghimbau lipatan tawarikh pra-merdeka, ramai pihak merasa sangsi akan ehwal kemampuan kita dengan kepelbagaian yang begitu rencam untuk merdeka dan memilih jalan sendiri. Namun ternyata kemajmukan masyarakat ini telah kita jadikan sebagai aset meniti kemakmuran sehinggakan bukan sahaja setakat menerima dan saling wujud antara satu sama lain, hatta meraikannya ke peringkat tertinggi sebagai ramuan kejayaan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Kita mengatur sebanyak-banyak kepada Tuhan, negara ini telah berjaya berhadapan dengan seribu liku dan pancaroba yang penuh tantangan. Sepanjang tempoh itu, telah terpancar wajah kemerdekaan hakiki, yang jika dilihat dari segala sudut, merangkumi aspek merdeka hati, merdeka jiwa, merdeka semangat dan merdeka meraikan kemajmukan. Sehinggalah kita mampu meniti batas dan permatang kesejahteraan dengan jayanya menurut acuan sendiri. Tahniah Rakyat Malaysia! Tahniah Rakyat Malaysia!

Umpamanya, sewaktu negara mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan adalah pada tahap lebih 60 peratus. Kemudiannya, ia menyusut kepada 1.7 peratus pada tahun 2012, di mana kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya.

Pabila saya mengambil alih tampuk pemerintahan dan pentadbiran negara pada tahun 2009, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan pula Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Kerangkanya merangkumkan keseluruhan agenda besar transformasi negara, yang dimulai dengan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP.

Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun ini, kita telah meraih pelbagai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang mana saya telah digariskan dalam pelbagai ucapan dan laporan.

Mutakhir ini, ekonomi negara sekarang telah menunjukkan trend yang memberangsangkan dalam tempoh suku kedua 2014 dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK sebanyak 6.4 peratus, berbanding 4.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2013, iaitu rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2012. Ini menjadikan pencapaian kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara-negara ASEAN bagi separuh tahun pertama 2014.

Kesimpulannya, kita telah berjalan jauh dan didewasakan oleh waktu daripada sebuah negara pertanian, hanya sekitar 6 dekad yang lalu kepada sebuah negara membangun kini sedang mendepani kelok untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi yang dijangka lebih awal dari waktunya.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Apa yang mustahak, kita tidak boleh sesekali alpa, semua yang dikecapi pada hari ini tidak berlaku dengan semena-mena atau dengan sendirinya. Semuanya diperoleh berkat usaha para pemimpin lampau dan bapa-bapa pendahulu hinggalah ke era Kerajaan yang ada hari ini.

Sebenarnya, dalam ikhtiar kita menjadi bangsa mulia lagi berjaya, apa saja musibah dan gelora yang menduga, sewajarnya kita jadikan sebagai cabaran. Sebagaimana mafhum pengertian firman Allah SWT bahawa, Tuhan tidak memberi dugaan, kepada sesuatu pihak yang tidak tertanggung oleh mereka. Terbukti, Malaysia mampu menempuh dan mengatasinya dengan cara, pendekatan serta santun kita tersendiri.

Kita turut berupaya keluar daripada pelbagai kemelut dan menangani cabaran yang melanda dengan jaya antaranya, peristiwa darurat, menghapuskan serangan gerila Komunis Malaya, tragedi hitam 13 Mei 1969, penyusunan semula masyarakat dan ekonomi negara, sehingga dihormati sebagai negara Islam moden dan progresif lagi dicontohi oleh negara-negara lain di dunia.

Berkait itu juga, masihkah kita ingat peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada tahun lepas? Insiden yang telah mengorbankan nyawa para perajurit tanahair? Syukur kepada Allah, kesemua serangan itu berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan kita di sana, yang sekarang ini di bawah penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM.

Sehubungan itu, kita berasa tidak senang dan hairan dengan sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan menangguk di air keruh, mempertikaikan pula pengiktirafan Kerajaan kepada para perajurit dan anggota keselamatan.

Apa yang ingin pihak Kerajaan jelaskan, usahlah diperbanding-bandingkan, tentang penghormatan tertentu yang diberikan kepada mangsa tragedi MH17 bahawa kononnya kenapakah istiadat tertinggi sedemikian tidak diwajarkan juga kepada para perajurit dan anggota keselamatan dalam peristiwa Lahad Datu.

Tentunya hasutan tersebut adalah memesongkan dengan niat yang tidak baik. Jelasnya, sekali lagi saya menegaskan bahawa jasa para wira negara ini akan sentiasa disanjung tinggi dan mendapat tempat utama dalam kenangan bakti yang telah dicurahkan. 

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Sudah menjadi lumrah dan kelaziman manusia serta kejadian hidup, musim hujan kepanasan, musim panas kehujanan. Sekalipun tahun ini beberapa tragedi di luar jangkaan telah berlaku, merentap dan menyentap perasaan kita, namun, kita semua harus tabah serta cekal dalam menempuh perjalanan yang jauh lebih mencabar ini.

Makanya, kita perlu menghadapinya dengan tenang dan tabah serta berusaha sedaya mungkin bagi menguruskan krisis yang terjadi.

Bahawa 2014, tahun yang sangat menguji kita, apabila dikejutkan dengan tragedi tidak terduga, misteri kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa tragik pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine. Kedua-dua pesawat itu, milik syarikat penerbangan negara atau MAS.

Masih segar dalam ingatan saya ketika itu, bagaimana kita berhadapan dengan waktu-waktu mencabar dan rumit tersebut. Sehinggalah saya berjaya berunding, mencapai tiga persetujuan dengan pihak pemisah, yang menguasai kawasan kejadian tersebut antaranya:

Pertama: Membawa keluar semua mayat mangsa MH17, dari kawasan nahas.

Kedua: Memperolehi dua kotak hitam yang hanya diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.

Tambahan pula, ketika menghadapi saat-saat kritikal dan mencemaskan itu, semua perundingan telah dilakukan dengan berhati-hati, termasuklah seperti yang telah saya sebutkan dalam bahasa Inggerisnya bahawa, “sometimes we must work quietly in the service of a better outcome”... yakni, adakalanya kita mesti bekerja secara senyap dalam perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang lebih baik, terutama ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah, bagi memastikan mangsa-mangsa dapat dibawa pulang serta diberi penghormatan untuk disemadikan dengan sempurna.

Sememangnya lagi, kita berasa lebih kuat dan utuh apabila segenap lapisan rakyat memberi sokongan sepenuhnya, juga kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha-usaha Kerajaan dalam merungkaikan kejadian yang tidak diduga ini, dengan penuh tertib dan tersusun. Apa yang pasti, inilah semangat jitu, yang diusiakan oleh pengalaman dan waktu selama hampir enam dekad kita merdeka.

Zahirnya, segala apa yang berlaku ini memperlihatkan di satu sudut, kemampuan kita dalam mentadbir, memimpin dan menguruskan sesuatu cabaran besar. Manakala di satu sudut yang lain, penyatuan hati rakyat dan kekitaan yang kental sebagai bangsa Malaysia yang merdeka.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Makanya, pada hemat saya, setiap ujian yang ditakdirkan menimpa kita sebagai sebuah negara bangsa, sebetulnya tidak lain dan tidak bukan, dalam titian masa, menjadi persediaan serta menguji ketahanan kita sebagai bekal pedoman menuju destinasi Malaysia yang maju hingga ke puncak jaya.

Ehwalnya, dua peristiwa tragik ini diharapkan akan berlaku perubahan penting dalam industri penerbangan dunia. Keadaan ini di luar kebiasaan dan jarang berlaku. Saya mengerti, ini adalah tahun sukar bagi syarikat penerbangan MAS.

Justeru, untuk terus beroperasi, kita tidak banyak pilihan, melainkan melakukan penstrukturan semula secara komprehensif terhadap MAS. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya dapat memberikan sokongan atas 12 Pelan Pemulihan MAS seperti yang telah diumumkan.

Jelasnya, semoga semua kenangan pahit dan manis yang kita lalui bersama sebagai sebuah negara bangsa, tersimpan kukuh dalam lipatan khutub khanah tanahair.

Hakikatnya kita memang perlukan kepada sebuah syarikat penerbangan negara yang ampuh, berdaya saing, dengan mengambil ketetapan-ketetapan komersial tanpa mengorbankan kebajikan warga kerja serta berdaya maju.

Moga-moga berkat sokongan semua pihak, dalam beberapa tahun ini, InsyaAllah kita mahu terus melihat Malaysia Airlines System terbang tinggi dan megah di angkasaraya. 

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Marilah kita selami dan tanamkan semangat patriotisme dengan mencintai tanahair. Sesungguhnya, lambaian kemerdekaan mengundang dan melukiskan pelbagai pemaknaan dan pengertian buat kita semua sebagai warga merdeka.

Marilah juga semarakkan kemerdekaan ini dengan mengibar dan menaikkan Jalur Gemilang di seluruh negara. Pastinya, kita semua sangat mengerti akan nilai dan betapa bangganya apabila melihat panji negara berkibar gemilang.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Ya… memang benar… memang benar… ramai yang khabarkan kepada saya bahawa kita adalah negara kecil, namun berjiwa besar. Justeru, bagi merealisasikan impian itu, saya ingin utarakan 3 amanat penting merdeka, demi kesimbungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa iaitu:

Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.

Sebagai contoh dalam istiadat penghormatan bagi 20 kumpulan pertama jenazah tragedi MH17, pada 22 Ogos minggu lepas dan diikuti oleh jenazah-jenazah mangsa yang lain secara berperingkat-peringkat, adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.

Selain itu, kita dapat saksikan, begitu sugul rakyat Malaysia berkongsi duka nestapa. Kita bertafakur serentak selama satu minit di seluruh negara sebagai solidariti dan semangat kebersatuan demi membina satu Negara, 1Malaysia.

Pokoknya, saudara dan saudari, kita telah tunjukkan kebersatuan itu sewaktu Hari Berkabung di seluruh negara tempohari, dan kita akan teruskan semangat kebersamaan di kala senang mahupun tatkala dalam kesusahan, selamanya. 

Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan. Maksudnya, masa depan yang cerah akan menjadi milik semua, jika kita mempunyai ikhtiar-ikhtiar yang mantap dan hidup saling ganding-bergandingan, demi sebuah hasrat yang murni itu. 

Sememangnya, mentadbir sesebuah negara adalah satu urusan yang kompleks dan bukanlah seperti sebuah organisasi biasa. Sebagai pucuk pimpinan kepada Kerajaan yang mentadbir hari ini, saya dan sahabat-sahabat akan terus membuat keputusan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia berlandaskan keperluan, tuntutan dan kemampuan Kerajaan.

Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera. Maknanya, walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, kita akan terus mara dan melangkah ke depan, membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak-anak cucu kita. Pucuk pangkalnya marilah sama-sama berusaha gigih menggapai kejayaan demi generasi dan keturunan hari muka untuk untuk tempoh 50 tahun atau lebih dari itu,…100 tahun akan datang.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Akhir kalam, saya mengajak saudara dan saudari khusunya yang hadir pada malam ini, berdirilah,…berdirilah,… dan bersama-sama saya, letakkan telapak tangan kanan di dada sebelah kiri, sebagai simbolis bertempatnya hati dan perasaan. Katakanlah,…Katakanlah,… bahawa,… di sinilah lahirnya sebuah cinta,… di sini tersemainya cita-cita yang luhur dan murni demi pertiwi,… dan di sinilah kita pastikan ia terus menguntum dan mengharum di sanubari satu semangat patriotik yang marak menyala dan menjulang tinggi…. Sesungguhnya jua kita semua adalah penyambung warisan…

Ayuhlah,…Ayuhlah,…Ayuhlah,…kita laungkan kata-kata keramat MERDEKA,… MERDEKA,… MERDEKA,…

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

FOTO KEMALANGAN NGERI KERETA PUTUS DUA, 3 MAUT 2 PARAH


Kemalangan maut yang berlaku hari ini di Ketengah Jaya melibatkan dua buah kereta. Rempuhan kuat Crv dan perdana, menyebabkan Proton Perdana terputus dua menyebabkan tiga orang maut dan dua parah.




Credit : AAKJ

KHALID KELUAR KENYATAAN RABU INI



SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor pada Rabu ini. 

"Saya tak boleh komen dan saya hanya akan keluarkan kenyataan mengenainya Rabu ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku peringkat Negeri Selangor pada Sabtu. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar, setelah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kelak memperoleh nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu daripada pakatan pembangkang.   

Abdul Khalid diminta meletak jawatan setelah didakwa kehilangan undi daripada 30 anggota Dewan Undangan Negeri Selangor termasuk dua daripada PAS. 

Berikutan itu pada Selasa lepas, beliau telah menyatakan hasrat kepada Sultan Selangor untuk melepas jawatan tersebut.  

Bagaimanapun Sultan Sharafuddin menangguhkan untuk menerima peletakan jawatannya sehingga pelantikan Menteri Besar baharu dibuat, dengan menitahkan PAS, DAP dan PKR masing-masing mempersembahkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu selewat-lewatnya 3 September ini.

VIDEO PERAGUT KENA BELASAH DENGAN ORANG RAMAI DI SUNGAI BESI


Tengok peragut kena keronyok dengan orang ramai sampai berdarah-darah memang kesian tapi perasaan itu mungkin hilang selepas tahu apa yang dilakukannya.

Sebagai contoh salah seorang daripada tiga peragut yang berjaya ditangkap selepas cuba mencuri rantai emas dipakai seorang wanita di Batu 3 1/2, Jalan Sungai Besi, kelmarin.

Sebelum meragut peragut ini terlebih dahulu berpura-pura bertanya jalan kepada mangsa yang membonceng motosikal abangnya sebelum dua lelaki tiba-tiba muncul dari belakang lalu merentap rantai emas yang dipakai.

Sudahlah menipu dan mencuri, bila rantai emas yang direntap putus dan sangkut di baju mangsa ketiga-tiga peragut boleh pula bertindak kejam menendang motosikal mangsa.

Dek kerana perangai kejam itu maka inilah jadinya bila tak sempat melarikan diri dan dapat ditangkap oleh orang ramai.

Malah ketika keadaan riuh rendah dengan peragut tersebut cuba mencari perlindungan daripada terus dibelasah, seorang lelaki tiba-tiba muncul mendakwa sudah memerhatikan tindakan peragut itu bersama dua lagi rakannya mencari mangsa sejak dari Bukit Jelutong, Shah Alam lagi.

Kalau tak ada orang awam yang simpati dan menenangkan keadaan, dah mati peragut ni kena pukul kelmarin kot. Tengok sajalah keadaan dia yang dah tak berdaya sampai jatuh longkang masa cuba untuk lari.

Apa pun dah dapat sakit dan maki hamun begini harap-harap peragut terlibat insaflah hendaknya untuk menggunakan tulang empat kerat sendiri bagi mencari rezeki selepas ini. 

PRESIDEN PAS, HADI AWANG KUNCI MULUT ISU MB SELANGOR


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menutup mulut mengenai langkah susulan parti itu berhubung calon yang akan dinamakan sebagai pengganti menteri besar Selangor.

Pembantunya, Mohd Adram Musa memberitahu pemberita bahawa parti itu akan mengadakan mesyuarat Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) tidak mahu bercakap dengan media pada masa ini. Biar perkara ini dibincangkan dahulu, kepimpinan PAS akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi," katanya.

Hadi sebelum itu menyampaikan ucaptama pada forum Merdeka anjuran PAS.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata parti itu tidak berhasrat untuk menentang konsensus Pakatan Rakyat dengan menamakan calon PAS untuk jawatan menteri besar.

"Tidak, tidak ada niat," katanya ketika ditanya pemberita.

Selasa lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Baginda meminta parti-parti dalam Pakatan Rakyat supaya mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu.

Sehingga kini PKR dan DAP berkeras untuk hanya mengemukakan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal.

Bagaimanapun PAS sudah menyatakan hasrat untuk mengemukakan tiga nama Adun PKR sebagai pengganti Khalid.

Sebelum ini PAS pernah menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua untuk dilantik ke jawatan itu.