ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: May 2014

Saturday 31 May 2014

BN MENANG PRK TELUK INTAN


Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan selepas calonnya, Datuk Mah Siew Keong menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dengan majoriti 238 undi - SPR


BN - 20,157
DAP - 19,919

Majoriti BN Menang - 238

Undi rosak - 543


TAHNIAH BN !!!

TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan selepas calonnya, Datuk Mah Siew Keong menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dengan majoriti 238 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahim Ahmad di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Teluk Intan di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini, sebentar tadi. 

Mah yang juga bekas Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) dan PRU-11 memperoleh 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi. 

Terdapat 543 undi rosak.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China mengumumkan Presiden GERAKAN itu, akan dilantik sebagai Menteri Kabinet jika beliau memenangi PRK Parlimen Teluk Intan.

Peratusan keluar mengundi kali ini juga merosot kepada 66.67 peratus berbanding 80.7 peratus yang dicatatkan pada PRU-13 tahun lalu.

Kerusi Teluk Intan kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu. 
Pada PRU-13 lalu, Seah menang dengan majoriti 7,313 undi apabila meraih 27,399 undi berbanding calon BN, Mah yang memperoleh 20,086 undi dan calon Bebas, Moralingam Kannan dengan 279 undi.
Bernama

KANAK-KANAK MAUT TERJATUH DI PASARAYA



KUALA LUMPUR – Cuti sekolah sebuah keluarga bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang anak perempuan mereka berusia enam tahun terjatuh dari tingkat tiga di sebuah pusat membeli belah terkenal di ibu negara kira-kira jam 2 petang, hari ini.

Insiden menyayat hati itu disedari kakitangan pembersihan ketika sedang menjalankan tugas dan melihat kepala kanak-kanak perempuan tersebut hancur selepas terhempas ke lantai.


Ibu bapa mangsa kelihatan meraung di samping jasad anak mereka sambil berkali-kali menyebut anaknya mereka baru sahaja masuk darjah satu.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan kejadian itu dan polis akan memaklumkan kepada umum perkembangan tentang kes itu dalam masa terdekat.
SH

{update}
Kuala Lumpur: Pengunjung sebuah pusat beli-belah terkemuka di Brickfields di sini, gempar apabila seorang kanak-kanak perempuan maut sejurus ‘melayang’ jatuh dari eskalator di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa, Nurul Emielda Nadia Sallehuddin, tujuh tahun, maut serta merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Azlee Abdullah berkata, bapa mangsa yang disoal siasat mendakwa terlepas pandang seketika sebelum menyedari mangsa terjatuh ke tingkat bawah bangunan. 

Menurutnya, mangsa dipercayai menaiki eskalator di tingkat tiga pusat beli-belah itu sebelum terjatuh mendadak.

MANGSA maut serta-merta selepas terjatuh dari eskalator di tingkat tiga pusat beli-belah.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah selain pecah di belakang kepala.
MyMetro


GURU DIJANJI RM22JUTA HASIL LABUR RM32,160



Kuala Lumpur: Seorang guru sekolah menengah nyaris ditipu sindiket ‘Black Money’ yang menjanjikan pulangan lumayan mencecah AS$7 juta (RM22 juta) dengan hanya bermodalkan AS$10,000 (RM32,160).

Mangsa yang pada mulanya berminat dengan tawaran lumayan itu, diajak seorang rakannya untuk bertemu dengan dua lelaki lelaki Afrika di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, 19 Mei lalu. 

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata mangsa dan rakannya kemudian dibawa ke sebuah hotel di Bukit Damansara dan suspek kemudian mengeluarkan dua beg berisi peti khas mengandungi bahan kimia dan sejumlah wang dolar Amerika yang masih belum ‘dicuci’ berjumlah AS$7 juta.

“Suspek kemudian membuat demonstrasi cara-cara mencuci wang dolar Amerika menggunakan bahan kimia khas itu dan kemudian meminta mangsa memberi AS$10,000 sebagai modal mereka membeli bahan kimia untuk ‘mencuci’ wang itu.



Setuju buat pembayaran

“Mangsa bersetuju dan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat pembayaran. Bagaimanapun, dia mula berasa curiga dengan tawaran itu sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur melakukan dua serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah di Damansara Heights dan sebuah rumah di Damansara. 

“Menerusi serbuan itu, kita menahan tiga suspek berusia antara 42 hingga 48 tahun membabitkan dua lelaki warga asing berasal dari Cameroon dan Chad serta seorang wanita tempatan.

“Kita turut merampas 45 ikat kertas bersaiz wang RM50, 99 keping logam keemasan bertulis 99.9 dalam bentuk bar emas, serta satu kotak mengandungi 18 ikat wang AS$100 yang disyaki palsu,” katanya.

Katanya, sindiket terbabit dikesan mula menjalankan kegiatan penipuan itu sejak tiga bulan lalu selain turut dipercayai melakukan penipuan membabitkan pelaburan emas.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2012 pihaknya berjaya menumpaskan enam kes penipuan Black Money membabitkan kerugian kira-kira RM286,000 manakala lapan kes pada 2013 dengan kerugian membabitkan RM1.8 juta.

PM MINTA KEDUTAAN BANTU PRESIDEN PAS YANG DIRAWAT DI ISTANBUL

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah meminta kedutaan Malaysia di Turki memberi bantuan sewajarnya kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di sebuah hospital di Istanbul.
Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi pejabat kedutaan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, pagi ini.
“Dimaklum Datuk Seri Hadi Awang diwadkan di hospital Istanbul. Pagi tadi saya hubungi kedutaan untuk pastikan Datuk Seri diberi sokongan sepatutnya,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter beliau.
Najib kini berada di Beijing untuk lawatan rasmi enam hari sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Mengikut laporan sebuah portal berita, Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang dimasukkan ke hospital di Istanbul pada kira-kira 8.45 malam tadi waktu Malaysia selepas mengadu sesak nafas.

TOLONG CARI TANGAN SAYA !!!


KOTA BHARU - "Tolong cari tangan saya,” demikian pesan seorang mangsa tetak.

Sambil menahan kesakitan mangsa, Izani Ghazali, 43, sanggup berlari hampir satu kilometer tanpa pergelangan tangan bagi mendapatkan ibu saudaranya selepas dia diserang dan ditetak dua lelaki dalam kejadian pada malam Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Bukit Temalong, Gunong Bachok itu, Izani sebelum itu didatangi lelaki terbabit semasa sedang menghidupkan enjin motosikal yang ditunggangnya.

Selain putus pergelangan tangan, mangsa juga cedera di beberapa bahagian badan akibat ditetak suspek yang kemudiannya melarikan diri.

[Artikel berkaitan: Tangan putus ditetak lelaki bermotorsikal]

Isterinya, Aidah Arifin, 36, berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang paip, di Jelawat, Bachok berulang alik seminggu sekali dari kediaman mereka di Besut, Terengganu dan menyewa berhampiran rumah ibu saudaranya di sana.

“Suami saya juga berasal dari Bachok, dan jika dia tidak pulang ke rumah, dia akan singgah di rumah ibu saudaranya.

“Hanya sekelip mata ketika menghidupkan enjin motosikalnya, dua lelaki yang dipercayai membawa senjata tajam menghampiri suami dan menetak tangannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar wad, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.
Aidah berkata, suaminya kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi HUSM.

Menurutnya, bagaimanapun  doktor mengesahkan bahawa tangannya berjaya disambung semula, namun masih tidak sedarkan diri.
Aidah berkata, kejadian itu berkemungkinan dendam lama di antara pelaku dan suaminya yang tidak berkesudahan.
“Memang sudah lama, suami tidak bertemu dengan mereka yang dipercayai masih berdendam terhadap keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aidah mengharapkan agar pelaku terbabit dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan di atas perbuatan mereka terhadap suaminya.

“Apa pun saya harapkan agar suami selamat dan cepat sembuh memandangkan saya tidak ada pekerjaan dan hanya bergantung harap kepadanya bagi membesarkan tujuh anak yang masih kecil berumur antara 18 hingga 5 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, setakat ini gerakan memburu suspek giat dijalankan.
“Kita percaya kes itu bermotifkan dendam namun mangsa enggan mendedahkan perkara tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.
SH

SKMM KESAN INDIVIDU HINA KEMANGKATAN SULTAN PERAK


CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati beberapa individu dalam laman media sosial telah menghina Institusi Beraja, terutamanya berhubung kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

“Kami sedang bertindak mengesan individu-individu tersebut dan memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MCMC untuk tampil memberikan maklumat berkenaan,” kata Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.



SKMM memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - Bernama

35 PUSAT MENGUNDI PARLIMEN TELUK INTAN DIBUKA MULAI 8 PAGI


TELUK INTAN: Sebanyak 35 pusat mengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pemilih berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu. 

Parlimen Teluk Intan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Berdamar dan Changkat Jong. Terdapat 17 pusat mengundi di DUN Pasir Berdamar dan 18 di DUN Changkat Jong. 

Antara pusat mengundi itu ialah Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina San Ming 1 & 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Timah, Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz. 

Semua 34 pusat pengundian akan ditutup 5 petang ini dan pengiraan undi dijangka bermula 6.30 petang di pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di sini. 

Hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Timah ditutup pada jam 4 petang. 

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan DAP. 

BN diwakili Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong manakala DAP diwakili setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud. 

Kerusi Teluk Intan kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lalu. 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu, Seah menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. 

Keputusan penuh pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan dijangka diketahui seawal 9 malam ini. 

Pada pengundian awal 27 Mei lalu, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi.
Bernama

IBU MANGSA ROGOL SEBAT SUSPEK PEROGOL ANAKNYA BOLEH DIDAKWA - POLIS



KOTA BAHRU: Ibu kepada kanak-kanak berusia 13 tahun yang mendakwa anaknya dirogol boleh didakwa selepas rakaman video menunjukkan wanita itu melakukkan sebatan terhadap seorang lelaki yang dipercayai telah merogol anak perempuannya.

Suspek yang berusia 30-an tahun telah disebat dengan alat yang kelihatan seperti ranting pokok atau rotan.

Rakaman video 37 saat itu menunjukkan tangan dan kaki suspek diikat, dan punggungnya terdedah di hadapan orang ramai di Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelantan pada hari Khamis, kira-kira pukul 5 petang.

Dia adalah seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terlibat merogol gadis terbabit.

Kes itu bagaimanapun tidak berkaitan dengan kes rogol kanak-kanak yang didakwa dilakukan oleh lebih 30 lelaki di Ketereh, Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Komisioner Lai Yong Heng berkata polis memiliki rakaman video tersebut dan berada dalam proses mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

"Lelaki dalam klip video itu dimasukkan ke hospital kerana terdapat darah beku di kepalanya. Tetapi dia telah dibenarkan keluar dari hospital.

"Polis akan menangkap mereka yang terlibat dalam kes ini dan mereka mungkin didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah," kata ACP Lai ketika dihubungi, Jumaat.

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan mereka walaupun percaya bahawa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Orang ramai perlu menyerahkan perkara-perkara tersebut kepada pihak polis.

"Wanita itu dan mereka yang terlibat dalam kes ini akan didakwa di mahkamah untuk disoal siasat.

"Saya menggesa kepada mereka yang terlibat dalam video itu untuk menyerah diri sebelum mereka ditangkap oleh polis," katanya.

MStar

Friday 30 May 2014

HADI AWANG DIMASUKKAN KE HOSPITAL AKIBAT SESAK NAFAS


KUALA LUMPUR: Presiden PAS,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul hari ini akibat sesak nafas.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhamad Khalil Abdul Hadi mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan ringkas.

Muhammad Khalil berkata, Abdul Hadi mengadu sesak nafas dan terus dibawa ke hospital di Istanbul untuk mendapatkan rawatan.

Keadaan Abdul Hadi dilaporkan stabil dan sedang berehat di hospital tersebut.

Abdul Hadi berada di Turki atas urusan lawatan.

DYANA, JANGAN MEMANDAI-MANDAI !!!


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan tindakan meletakkan Dyana Sofya mempunyai mesej tersirat untuk mereka (DAP menyampaikan agenda parti dalam hal-hal berkaitan Islam dan Melayu.

Beliau bagaimanapun tidak pelik dengan strategi DAP itu kerana pernah 'terperangkap' dengan cara halus untuk mengaburi umum khususnya masyarakat Melayu dan Islam kononnya DAP tidak cauvinis Cina ataupun perkauman.

"Saya pernah dijadikan 'alat' oleh mereka, saya seperti jurucakap kepada semua agenda tersembunyi mereka. Tetapi mungkin kerana saya lebih bijak, saya dapat mengesan perbuatan mereka dengan cepat.

"Hanya tiga bulan, saya sudah memahami tindak-tanduk mereka. Saya hanya bertahan selepas itu kerana dipujuk oleh ko-nonnya sahabat karib, Lim Kit Siang untuk terus tinggal dalam DAP.

"Walaubagaimanapun, saya berterusan menentang mereka dari dalam sehingga mereka tidak tahan dengan kerenah saya dan bertindak cuba 'menghalau' saya.

Saya ha-nyalah 'ejen' untuk mereka. Orang Melayu dalam parti itu hanyalah alat untuk mereka.

"Saya langsung tidak teragak-agak dengan pilihan Melayu mereka kali ini juga. Tidak ada apa-apa yang istimewa dengan calon DAP Teluk Intan itu kecuali dirinya adalah Melayu dan Islam yang mendengar setiap kata-kata bosnya.

Samalah dengan saya, cumanya saya tidak akan sesekali bertolak ansur dalam perkara yang membabitkan kepen-tingan Islam dan Melayu sampai bila-bila," katanya kepada penulis di kediaman beliau di Bandar Sri Damansara.

Jelas Tunku Aziz, beliau langsung tidak terkejut dengan setiap tindakan calon DAP itu yang mempersoalkan kepentingan orang Melayu dan Islam kerana kesemua itu bukanlah kehendak atau suara hati calon terbabit, sebaliknya adalah apa yang di kehendaki oleh 'tokong-tokong' dalam parti itu.

Kata beliau lagi: "Sekiranya orang Cina yang mempersoalkan kepentingan orang Mela-yu, maka semua orang Melayu akan bangkit kemarahan. Sekiranya 'mempergunakan' orang Melayu untuk mempersoalkan hak orang Melayu, apakah yang akan berlaku?

Berlaku perpecahan dalam kalangan kita. 'Orang' lain akan menari dalam kegembiraan.

"Tolong cakap dengan saya semua ini tidak benar? Mengapa calon DAP itu tidak habis-habis mempersoalkan perkara yang berkaitan dengan orang Melayu?

Saya tidak faham, tolong betulkan kefahaman saya. Saya juga ada mendengar dia (Dyana Sofya) membuat perbandingan antara saya dan dirinya dalam DAP.

Jika dia tidak tahu kebenaran, saya minta dia tutup mulut. Jangan memandai-mandai bercakap jika tidak tahu apa-apa," tegasnya - seterusnya

SUSPEK BUNUH KANAK-KANAK DIPERCAYAI LEMAS



KUALA LUMPUR - Suspek dalam kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, dipercayai lemas selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Klang berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata suspek berbuat demikian selepas dihampiri saksi dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi.
     
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang jelas dan kami buat fotofit, namun kami dapati suspek dipercayai lemas selepas melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai apabila dihampiri saksi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
    
Katanya rakaman CCTV itu diambil dari sebuah lif pusat membeli-belah Kotaraya di sini, iaitu lokasi kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya bersama rakan sebelum ke tandas.
    
Wanita itu kemudian mendapati anaknya hilang dan mayat kanak-kanak tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira 9 malam tadi dalam keadaan kepalanya terputus daripada badan.
   
Bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan.
    
Polis turut menemui pecahan seramik dan sepasang selipar di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Hong Soon berkata polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng sebelum ini dilapor berkata ada saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan "sesuatu" pada leher mangsa. - Bernama

LELAKI RAKAM KELIBAT BUAYA DI SUNGAI KELANG


Seorang pengguna laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Fadhlan HelangPutih mendakwa telah merakam kelibat seorang buaya di Sungai Klang pada Ahad lalu.
Pendedahan itu dibuat selepas individu tersebut mendakwa berjaya merakam kelibat buaya semasa berhenti di laluan motosikal Lebuhraya Shah Alam (Kesas) semasa dalam perjalanan dari Klang ke USJ.


LELAKI MAUT, KERETA JATUH LAUT



MANJUNG - Seorang lelaki lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke laut di Lekir Bulk Terminal Pelabuhan Lumut, Teluk Rubiah, di sini, malam semalam.

Mangsa, Mohamad Yusaini Mat Jasin, 25,  menaiki kereta milik rakannya terbabas ke laut ketika cuba membuat pusingan U.

Pemilik kereta, Adham Badruzaman, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama mangsa baru menamatkan waktu kerja masing-masing.

“Saya meminjam motosikal mangsa untuk ke tandas yang berada 500 meter dari tempat kejadian sebelum menyerahkan kunci kereta kepadanya.

“Apabila kembali semua ke tempat kejadian ada rakan memberitahu saya kereta (Proton) Waja milik saya telah terjatuh ke dalam laut,” katanya.

Adham berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka arwah terjatuh bersama kereta.

“Memang kami selalu bertukar kenderaan kerana sudah berkawan dari kecil.

“Kemungkinan mangsa cuba untuk membuat pusingan U tetapi terlajak dan terus terjatuh ke dalam laut,” katanya.

Adham mengenali mangsa sebagai rakan sekerja dan rakan sekampung di Felcra Gugusan Lekir.

Adham berkata, Allahyarham Mohamad Yusaini seorang rakan yang ceria dan banyak bercakap selain disenangi rakan-rakan namun rakannya itu lebih banyak berdiam diri sejak beberapa hari lalu.

“Saya tak sangka itu pentanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Jasin Saad, 62, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu ketika mangsa keluar untuk bekerja, kelmarin.

“Dia bekerja sebagai operator mesin di pelabuhan itu sejak empat tahun lalu.


“Arwah keluar bekerja seperti biasa pada petang itu kerana dan dia memasuki shift petang kira-kira jam 4 petang,” katanya.

Katanya, ketika keluar rumah pada petang itu, mangsa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya, Salmah Man, 60.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya.

“Walaupun terkejut dengan kejadian ini namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismail Othman berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan sebaik mendapat panggilan kira-kira jam 11.35 malam.

Katanya, operasi turut dibantu agensi lain termasuklah Maritim, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan pengurusan jeti berkenaan.

Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 10.40 pagi semalam dengan bantuan kren pelabuhan Lumut dan unit skuba.

“Mangsa tersepit di dalam kereta dan pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan alatan khas,” katanya.
SH