ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MANGSA BANJIR DIPINDAHKAN TERUS MENINGKAT RABU MALAM

Thursday 25 December 2014

MANGSA BANJIR DIPINDAHKAN TERUS MENINGKAT RABU MALAM



Keadaan banjir beberapa buah negeri semakin buruk pada sebelah malam dengan jumlah mangsa terpaksa dipindahkan terus meningkat kepada 67,738 berbanding 65,419 orang sebelum ini.

Di KELANTAN, keadaan banjir di sembilan jajahan terus buruk sementara jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 27,153 orang berbanding 26,547 orang sebelumnya pada sebelah petang.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mereka yang dipindahkan adalah 8,256 keluarga yang ditempatkan di 138 buah pusat, berbanding 7,687 keluarga di 125 buah pusat pemindahan sebelah petang.

Gua Musang mencatat jumlah tertinggi yang dipindahkan iaitu 7,386 orang, meningkat berbanding 6,947 orang pada sebelah petang dan kini ditempatkan di 18 buah pusat pemindahan.

Jajahan lain yang mencatat peningkatan termasuk Tanah Merah, yang meningkat kepada 1,049 orang berbanding 905 orang sebelumnya, Machang 386 orang (178 orang sebelumnya) diikuti Jeli dengan 1,308 orang (707 orang di sebelah petang).

Sementara Kota Baharu menyaksikan peningkatan mangsa apabila 464 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing berbanding 276 orang sebelum ini, selain jajahan Tumpat 4,432 orang dipindahkan berbanding 4,292 orang pada sebelah petang.

Jumlah mangsa dipindahkan di Pasir Puteh dan Kuala Krai pula kekal masing-masing 602 orang dan 4,864 orang.

Jajahan Pasir Mas pula mencatat 6,663 orang dipindahkan ke 22 buah pusat pada sebelah malam, susut sedikit berbanding 7,776 orang yang dipindahkan di 30 buah pusat pada sebelah petang.

Di TERENGGANU, jumlah mereka yang terpaksa bermalam di pusat pemindahan meningkat 436 orang kepada 22,808 orang sebelah malam berbanding 22,372 orang pada petang hari.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga pukul 8 malam, daerah Kemaman mencatat jumlah tertinggi mangsa iaitu 13,492 orang di 53 pusat pemindahan, meningkat daripada 13,017 orang sebelah petang.

Daerah lain yang terjejas termasuk Dungun 5,022 mangsa di 33 pusat, Hulu Terengganu (637 mangsa/10 pusat pemindahan), Kuala Terengganu (3,108 mangsa/14 pusat pemindahan), Besut (390 mangsa/lima pusat pemindahan), Marang (115 mangsa/dua pusat pemindahan) dan Setiu (44 mangsa/tiga pusat pemindahan).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di lapan daerah bertambah 1,282 orang menjadi 15,944 orang daripada 4,015 keluarga berbanding 14,662 orang daripada 3,810 keluarga pada sebelah petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, hanya daerah Maran yang menunjukkan pengurangan ketara mangsa banjir iaitu kepada 38 orang daripada sembilan keluarga di sebuah pusat pemindahan berbanding 2,541 orang daripada 623 keluarga di 18 pusat pemindahan di sebelah petang.

Tujuh lagi daerah terjejas terus menunjukkan pertambahan mangsa banjir dengan Kuantan mencatat jumlah paling ramai iaitu 10,485 orang daripada 2,808 keluarga di 38 pusat pemindahan.

Daerah Lipis mencatat 1,912 orang mangsa terdiri daripada 418 keluarga dan ditempatkan di 26 buah pusat pemindahan, diikuti Jerantut 1,906 orang daripada 413 keluarga di 42 pusat pemindahan.

Daerah lain yang terjejas termasuk Pekan dengan 774 orang daripada 185 keluarga ke 11 pusat pemindahan, Temerloh (468 orang/10 pusat pemindahan), Rompin (268 orang/empat pusat pemindahan) dan Bera (93 orang/tiga pusat pemindahan).

Berikutan keadaan banjir sejak beberapa hari lepas, 57 batang jalan utama di negeri itu ditutup kepada semua kenderaan.

Di PERAK, satu lagi kawasan iaitu Perak Tengah mula dinaiki air pada sebelah petang, menjadikan tiga daerah di negeri itu dilanda banjir termasuk Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Menurut jurucakap di Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, seramai 25 mangsa di kawasan Belanja, Perak Tengah dipindahkan ke dua pusat pemindahan.

Bagaimana pun jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di negeri itu berkurangan sedikit iaitu daripada 1,650 orang pada sebelah petang kepada 1,580 orang terdiri daripada 385 keluarga.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Perak pula menurun kepada 352 orang berbanding 359 orang di sebelah petang manakala jumlah mangsa di Kuala Kangsar berkurangan kepada 1,203 daripada 1,291 orang.

Di PERLIS pula, jumlah mangsa mencatat peningkatan iaitu kepada 253 orang berbanding 188 orang pada petang hari yang ditempatkan di lima buah pusat pemindahan, menurut Bilik Operasi Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Mereka terdiri daripada 71 keluarga dari kawasan Beseri, Padang Melangit dan Sena yang terpaksa dipindahkan sejak Selasa berikutan banjir melanda bahagian utara negeri itu.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment