ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HARAMKAN PENGGUNAAN NAMA KAUM DALAM PARTI POLITIK, NGO

Friday 12 December 2014

HARAMKAN PENGGUNAAN NAMA KAUM DALAM PARTI POLITIK, NGO

alt

KUALA LUMPUR – Penggunaan nama kaum seperti Melayu, Cina dan India dalam nama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diharamkan agar tidak memperlihatkan perbezaan antara kaum.

Cadangan itu diutarakan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah untuk memperkukuhkan dan menambah baik fungsi Akta Hasutan 1948 agar akta itu tidak dilihat hanya melindungi kaum tertentu.

Katanya, penggunaan nama itu hanya mengundang ketidakselesaan rakyat selain mengehadkan penyertaan kaum lain dalam parti atau pertubuhan yang diwujudkan.

“Saya merasakan, kita terlalu banyak parti atau pertubuhan yang berasaskan kaum dan ini tidak sihat untuk keharmonian negara dan menimbulkan banyak perkara berbangkit.

“Misalnya, parti politik yang ada di negara ini iaitu UMNO, MCA dan MIC yang hanya merujuk kepada satu bangsa sahaja dan jelas memperlihatkan gambaran kita sedang mempertahankan bangsa masing-masing.

“Ini bertentangan dengan apa yang kita usahakan iaitu mengekalkan keharmonian antara kaum, jadi adalah tidak wajar kita membuat promosi dan pertahankan bangsa kita sendirian,” katanya selepas mempengerusikan sidang meja bulat ‘Memperkasakan Melayu di Bandar’.

Mohd. Noor turut mencadangkan pindaan lain iaitu melarang sesebuah parti dan pertubuhan untuk memperjuangkan nasib kaum mereka secara terang-terangan ke­rana mampu mencetuskan ketidakharmonian.

Katanya, parti politik dan pertubuhan berasaskan kaum perlu dijenamakan semula selain membuka keahlian kepada semua kaum agar tidak dilihat hanya membela nasib kaum tertentu.
Jelasnya, adalah menjadi satu kesalahan jika sesebuah parti atau pertubuhan hanya memperjuangkan kaum mereka tanpa mempedulikan kaum lain.

“Pada pandangan saya, jangan jadi jaguh hanya untuk memperjuangkan hak kaum tertentu kerana ini boleh dikira sebagai menghasut dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau me­negaskan, empat perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam adalah agama rasmi, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan istimewa raja-raja Melayu adalah perkara yang tidak boleh dipertikaikan oleh bukan Melayu malah tidak wajar dipinda.

“Itu adalah apa yang telah termaktub pada Perlembagaan dan sekiranya dipinda atau ditambah apa-apa perkara lain, maka itu menjadi ultra vires dan melangkau kuasa Perlembagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment