Pages

Wednesday, 30 April 2014

BENARKAH ADA GANGGUAN LEMBAGA MENYERUPAI PONTIANAK DI SEKITAR JALAN SG ULAR ???

Pontianak Jalan Sungai Ular Makin Mengganas

SUNGAI ULAR (KULIM) – Gangguan makhluk halus atau mistik wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini bagaimanapun ada di antara mereka beranggapan ia satu kepercayaan tahyul.

Misteri gangguan lembaga menyerupai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular ke Simpang Tiga Terap bukanlah satu perkara baru, di mana ada dalam kalangan penduduk tidak berani menggunakan jalan itu waktu tengah malam.

Penduduk tempatan mendakwa turut berjumpa lembaga bertenggek di atas paip air di tepi jalan seawal jam 11 malam.

Gangguan makhluk halus itu juga dikatakan mengakibatkan ada dalam kalangan penunggang motosikal dan kenderaan lain terbabas.

Penulis sempat menemu bual mangsa yang pernah ternampak makhluk halus berkenaan.

Dia berkata, ia mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 11 inci hingga 6 kaki tinggi, berambut panjang sehingga ke paras siku dan menutup muka.

Menurutnya, lembaga dipercayai pontianak itu selalunya berdiri di tepi jalan atau dilihat berjalan di tepi jalan berseorangan dalam keadaan kepala tertunduk.

Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad yang tinggal di Taman Tunku Putra berkata, pontianak ini merupakan iblis dan jin yang mampu menyerupai pelbagai bentuk dan rupa.

“Gangguan iblis dan jin ini boleh mengakibatkan seseorang itu dirasuk. Semua ini berlaku apabila mangsa berada dalam keadaan lemah. Selain itu, pontianak ini sering berada di kawasan di mana kerap berlakunya kemalangan maut,” katanya.

Menurutnya, sekira iblis dan jin sudah berada di dalam badan terlalu lama, ia akan menjadi lebih selesa dan sukar untuk mereka meninggalkan jasad ditumpang.


Enjin motosikal tiba-tiba terhenti

Terkini, seorang kakitangan awam, Mohd Aziz Osman yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dari arah Terap ke Kulim terkejut apabila enjin motosikal ditunggangnya tiba-tiba terhenti kira-kira 50 meter dari Jambatan Sungai Anak Kulim kira-kira jam 12.30 pagi.

Dalam keadaan gelap dia menolak motosikalnya ke tepi jalan. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin motosikalnya itu berjaya dihidupkan semula.

Dia kemudiannya menghidupkan lampu motosikal bagaimanapun ternampak lembaga putih berambut panjang berada di hadapannya.

“Saya beristighfar panjang apabila ternampak lembaga putih itu berada kira-kira 10 meter di hadapan motosikal saya.

“Saya membaca beberapa surah Yasin dan meminta dia jangan mengekori saya,” katanya.

Menurutnya, pengalaman tidak dilupakan apabila lembaga itu memusingkan kepalanya sehingga ke belakang tanpa memusingkan badan.

Aziz berkata, Jalan Sungai Ular ke Terap sering melibatkan kemalangan maut dan sehingga kini, lebih 10 kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana ia melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Bonceng perempuan waktu malam

Sementara itu, penduduk tempatan, Safaruddin Ahmad berkata, kewujudan lembaga putih dipercayai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular menghala ke Terap bukanlah satu perkara baru, kerana ramai dalam kalangan penduduk di kawasan itu sudah mengalaminya.

Dia yang mempunyai kebun di Terap pernah ternampak lembaga itu bertenggek di atas paip air yang terletak di tepi jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

“Saya ketika itu menunggang motosikal dan tidak dapat menunggang dengan laju kerana membawa muatan durian. Jalan dari Terap ke Kulim sememangnya gelap pada waktu malam, kerana ia merupakan kawasan hutan.

“Apabila tiba di tempat kejadian saya merasakan muatan yang saya bawa semakin berat. Beberapa minit kemudian badan saya berasa sejuk dan dalam masa sama, lampu motosikal saya menyuluh lembaga perempuan berdiri di kanan jalan,” katanya.

Sebelum ini, lima anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengejar seorang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Mereka terkejut kerana di belakang motosikal salah seorang anggota ditumpang oleh seorang perempuan.

Anggota PBT itu mengalami kerasukan bagaimanapun dipulihkan dengan bantuan penduduk tempatan sebaik sahaja sampai ke pondok rondaan.

Kejadian ini masih berlaku sehingga hari ini dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk tempatan.
SH

MENUNGGU SAAT MASUK KE BILIK HARTA !!!


USAHA pencarian harta karun yang dilakukan di Pulau Nangka bermula dengan projek kajian  sejarah dan eksplorasi pada 1995 yang dilaksanakan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Ia dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketekunan sehingga berterusan sehingga kini.

Peringkat awal ia dijalankan secara senyap tanpa diketahui oleh masyarakat luar meskipun umumnya  mengetahui berkemungkinan wujudnya harta karun bernilai berbilion ringgit di pulau berkenaan.

Sebelum itu, beberapa usaha dijalankan baik individu atau berkumpulan untuk mengesan apa yang dikatakan sebagai harta karun itu.

Sehinggalah usaha itu dijalankan sebuah syarikat, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang bermula pada Julai 2012.

Ketika itu, syarikat terbabit dengan kakitangan seramai 25 orang menjalankan penyelidikan dan kajian kesan sejarah secara formal di pulau berkenaan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Kajian dijalankan selama tiga bulan itu berjaya menemui beberapa kesan dan tanda mengenai wujudnya penempatan serta bukti Pulau Nangka sebagai pusat penyebaran Islam serta himpunan para wali Nusantara.

Antara buktinya adalah penemuan, batu berukir bulan sabit dengan tertera kalimah ‘ALLAH' peta Pulau Nangka dan kalimah Muhammad bin Abdullah.

Tambah menarik apabila, beberapa batu berbentuk orang sedang bersolat, duduk antara dua sujud, batu berbentuk jari yang sedang melakukan gerak kalimah syahadah serta beberapa penemuan lain termasuk objek yang didakwa sebagai kubur lama.

Setelah itu, syarikat sama juga menjalankan kajian geoteknikal yang membabitkan beberapa fasa ke atas pulau itu.

Selama enam bulan, dengan melakukan teknik imbasan bumi mereka berjaya mengetengahkan beberapa bukti termasuk wujudnya bilik seperti gua serta mengesan sembilan pintu masuk.

Namun, semua bilik itu sukar ditembusi atas beberapa faktor termasuk runtuhan tanah serta hakisan semulajadi selepas mengalami proses selama lebih 500 tahun.

Pada Mei 2013, Smart Partnership yang diketua, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said selaku pengarah urusan mula menjalankan kerja penggalian serta penebukan.

Namun, selama sebulan setengah pihak terbabit berdepan kesukaran dengan keadaan batuan yang begitu keras biarpun pada permulaannya mengali struktur tanah lembut.

Selepas itu, mereka beberapa kali melakukan ulangan teknik imbasan bumi bagi mendapatkan pengesahan akan kewujudan bilik-bilik serta artifak di kawasan berkenaan.

Pada Februari 2014, bermulalah kerja-kerja mencari dengan secara lebih agresif apabila syarikat terbabit mula menempatkan sekumpulan kakitangan untuk melakukan beberapa teknik serta kaedah termasuk teknologi moden dan spiritual.

Selain itu, kerja-kerja pemecahan batu dijalankan dengan melakukan ujian kedalaman bagi mendapatkan kepastian sama ada ia bertepatan dengan hasil ujian imbasan.

Ternyata, keputusan positif sekali gus menambahkan lagi keyakinan pasukan mencari serta kerajaan negeri yang kemudiannya memutuskan ia dihebahkan kepada umum.

Sebelum tarikh penamat iaitu 30 April (hari ini) syarikat itu berjaya mengenal pasti apa yang didakwa sebagai pintu masuk.

Ia termasuk satu pintu yang dikatakan menerusi jalan air namun mereka berdepan kesukaran apabila kesemua pintu dipenuhi lumpur serta pasir-pasir yang berketebalan sehingga lima meter.

Kerja-kerja terpaksa dijalankan secara berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini termasuk mengorbankan nyawa.

Akhirnya kaedah menebuk batuan dilihat sebagai langkah terbaik dan paling selamat dan usaha itu  hampir berjaya.

Menjelang hari terakhir, hari ini, syarikat terbabit yakin dapat menghasilkan hasil serta laporan  yang positif sekali gus membawa kepada penemuan harta karun berkenaan.

Namun, benarkah pencarian itu berhasil? Dapatkah mereka tembus ke kawasan tersimpannya harta karun tersebut menerusi jalan air Segalanya terjawab hari ini...
SH

PEMILIHAN PKR BERCELARU !!!


Rakyat Malaysia tentu tidak lupa tidak berapa lama dulu Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin pembangkang yang paling ke hadapan mengkritik dan menghentam Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya telah gagal memastikan proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung dengan telus, adil dan saksama.

Juga masih segar dalam ingatan ramai dek kerana marahnya pada SPR maka Anwar jugalah yang ke hulur ke hilir membawa misi menyeru khalayak penyokong PKR, DAP dan PAS beramai-ramai menyertai Himpunan Blackout 505 yang katanya demi untuk menentang dan menyuarakan bantahan terhadap ketidakadilan yang didakwa berlaku dalam PRU-13.



Bukan setakat itu sahaja, Anwar juga beria-ia mengutuk SPR berikutan masalah dakwat kekal yang tidak kekal semasa hari pengundian PRU-13 di masa yang sama dengan lantang membuat dakwaan konon berpuluh ribu warga Bangladesh telah diimport sempena pengundian PRU-13 untuk memenangkan BN.



Pendek kata bagi Anwar, PRU-13 dulu sepatutnya dimenangi pakatan pembangkang PR namun disebabkan kesalahan-kesalahan yang konon dilakukan oleh SPR maka impiannya untuk menjadi Perdana Menteri dan menguasai urus tadbir negara ini berkecai selamanya.


Tapi itu semua kisah-kisah lama dulu yang sudah 11 bulan berlalu. Tumpuan umum sekarang adalah pada Pemilihan PKR 2014 yang serba pelik. Mana tak peliknya bila mana meskipun kelibat SPR langsung tak terlibat dalam pemilihan PKR namun proses demokrasi parti itu kelihatannya agak kacau bilau, bercelaru serba tidak kena.



Inilah julung kali dalam sejarah berlaku pengiraan undi dalam bilik hotel konon kerana berlaku masalah ‘blackout’ sehingga menimbulkan syak wasangka calon lain. Hanya dalam PKR sahaja, lain-lain parti tak pernah sebegitu gila sanggup melakukan sedemikian rupa.


Juga hanya berlaku dalam PKR bila mana para penyokong calon yang kalah naik berang menterbalikkan kerusi meja, mengoyak dan menyelerakkan kertas undi seperti yang berlaku dalam Pemilihan Cabang PKR Kemaman sehingga terpaksa ditangguhkan pada 10 Mei 2014. Dengar khabar Rafizi Ramli mengamuk betulkah?



Selain itu, insiden lain yang tak kurang hebatnya bila ada Cabang PKR yang melakukan proses pengundian di rumah aktivis parti. Malah ada ahli parti yang namanya ada dalam daftar pemilih tapi dilarang pula untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin. Unik dan pelik.



Paling menarik bila timbul kes penipuan pengiraan undi. Yang datang mengundi kurang 40 orang tapi jumlah undi yang diterima melebihi 300 undi seperti mana dakwaan pemimpin PKR Sabah, Ansari Abdullah. Ini kalau bukan pengundi hantu Bangladesh mungkin penyokong halimunan sultan Sulu yang bersimpati dengan Anwar agaknya.

Tapi disebalik kekecohan itu sampai sekarang batang hidung Anwar langsung tak kelihatan, sepatah haram kritikan atau teguran lagilah tak kedengaran. Senyap sunyi seribu bahasa. Siapa yang Anwar mahu persalahkan dalam hal ini?

Barangkali sekarang ANwar sedang bertafakur sambil menelaah senario sementara menanti datangnya ilham untuk menghumban kesalahan pada orang lain. Mungkinkah SPR atau UMNO akan dijadikan kambing hitam oleh Anwar berikutan kekalutan ini? Kebarangkalian itu ada kalau tabie semulajadi Anwar dijadikan sandaran.

Apapun dalam tempoh terdekat ini sama-samalah seluruh rakyat Malaysia saksikan sendiri betapa berkecamuknya PKR dalam menguruskan pemilihan parti sendiri. Bagi penulis perkara pelik dan unik sebegini tidak berlaku melainkan ada hikmah yang barangkali petunjuk dari Yang Maha Esa supaya kita membuka mata.


Petikan Mykmu.net

DITIPU BAKAL MENANTU BERGELAR "DATUK" !!!


Kuantan – Seorang lelaki yang mengaku dirinya bergelar Datuk bukan saja menipu bakal mentuanya sehingga kerugian ribuan ringgit, malah sanggup melarikan anak gadis pasangan terbabit yang juga tunangnya selepas tembelangnya diketahui mangsa.
Lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun didakwa melarikan tunangnya, Fatin Nursyamimi, 19, sejak 13 Mac lalu serta menipu keluarga gadis berkenaan menyebabkan kerugian RM4,000, gagal dikesan hingga kini.
Difahamkan lelaki berkenaan sering menipu orang ramai sejak 2009 membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit, malah pernah menghadapi 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 2011.
Malah, identiti lelaki berkenaan dipaparkan sebagai pesalah rasuah dalam laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain beberapa penipuannya turut didedahkan dalam laman blog sejak Februari lalu.
Mangsa, Ramlan Abu Hassan, 45, dari Kampung Kempadang, di sini, berkata, keluarganya bukan saja kerugian wang tunai akibat diperdaya lelaki berkenaan, malah lebih malang anak gadisnya turut dilarikan. 
myMetro Online

TURUN 501 : TG NIK AZIZ SERU RAKYAT TURUN DENGAN BAIK !!!



Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru rakyat turut untuk bersama menjayakan Himpunan Turun 501 yang bakal diadakan 1 Mei, esok.

Bercakap kepada Harakahdaily di pejabatnya pagi ini, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menyokong penganjuran itu sebagi ruang untuk rakyat bersuara.

Katanya ia perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi malah perlembagaan membenarkan rakyat menyuarakan hasrat hati mereka.

"Bagaimanapun sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, biarlah ianya berjalan mengikut cara yang baik serta tidak bertentangan dengan undang-undang.

"Pada masa yang sama pihak kerajaan juga memberi ruang kepada mereka dengan tidak bertindak kasar kerana mereka datang bukan untuk membuat huru hara,"ujarnya.

Katanya, cara untuk meluahkan perasaan adalah satu caranya melalui demokrasi yang turut dilakukan oleh negara demokrasi lain. 

HARAKAHDAILY 

LIVE : HUKUMAN GANTUNG TERHADAP PEROGOL KANAK-KANAK DI KUWAIT !!!


Dua lelaki yang berasal dari Mesir ini dihukum gantung pada 18 Jun 2013 jam 7.30 Pagi di Kuwait City kerana melakukan pemerkosaan pada anak2 dan pembunuhan. Hukuman tersebut disiarkan live melalui lokal TV Kuwait.

DITIPU JURUJUAL ONLINE : MAHASISWI DAPAT PENGAJARAN BERGUNA !!!

Nur Syamimi menarik nafas lega dengan keputusan TTPM yang mengarahkan jurujual terbabit mengembalikan semula wangnya
JOHOR BARU: Seorang mahasiswi, Nur Syamimi Abd Shukor mendapat pengajaran berguna selepas ditipu dalam urusan tukar beli telefon bimbit Samsung Galaxy Note yang baru dipakainya selama seminggu kepada model terbaharu menerusi sebuah portal dalam talian.

Nur Syamimi, 22, membeli telefon bimbit tersebut pada Januari tetapi menyedari ia telefon pintar palsu dari Korea Selatan.
"Saya amat kecewa apabila jurujual menafikan dakwaan saya tetapi harapan kembali cerah selepas seorang lagi jurujual secara dalam talian yang mendakwa mengenali jurujual yang berurusan dengan saya sebelum ini sanggup menggantikan telefon bimbit itu.

"Dia berjanji menjual semula telefon bimbit tersebut untuk saya dan menggantikan ia dengan Samsung Galaxy Note II yang baharu dengan bayaran tambahan sebanyak RM500," katanya kepada pemberita di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, Selasa.
Nur Syamimi berkata jurujual kedua amat menyakinkannya. Jadi dia berhasrat membeli telefon pintar lain - model Lenovo S930 - untuk rakannya.

"Saya mengirim telefon pintar Galaxy Note itu kepadanya dan memasukkan wang deposit RM500 selain RM880 untuk telefon bimbit Lenovo pada Februari. Namun selepas itu, dia enggan menjawab panggilan atau mesej yang saya hantar," katanya.
Selepas kes itu didengar, Presiden TTPM, Bernard John Kanny mengarahkan jurujual terbabit untuk mengembalikan kesemua wang berjumlah RM2,100 termasuk telefon pintar Samsung Galaxy Note kepada Nur Syamimi dalam tempoh 14 hari.

Jurujual tersebut tidak hadir semasa sesi pendengaran kes.

Dalam kes berasingan, TTPM menyerahkan semula wang sebanyak RM2,939 kepada L/Kpl Nurazyati Aini Aziz, 27, kerana menerima komputer riba rosak yang dibelinya dari sebuah kedai elektronik di Bukit Indah di sini, Julai tahun lalu.

Kpl Nurazyati berkata, selepas beberapa minggu digunakan, komputer tersebut tidak boleh mewujudkan sambungan Internet secara konsisten.
"Saya cuba menggunakan Internet tanpa wayar di beberapa lokasi termasuk capaian Internet berkelajuan tinggi, tetapi komputer tersebut akan menunjukkan sambungan 'terhad' selepas beberapa minit digunakan.

"Selain dihantar untuk dibaiki sebanyak tiga kali pada Ogos dan September tahun lalu dan Januari tahun ini, masalah sama masih berlaku," katanya selepas selesai sesi pendengaran kes.
MStar

MH370: PENEMUAN SYARIKAT AUSTRALIA BELUM DISAHKAN - HISHAMMUDDIN


KUALA LUMPUR: Dakwaan sebuah syarikat penerokaan Australia bahawa ia mengesan bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, di Teluk Bengal, masih belum disahkan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pemangku Menteri Pengangkutan berkata dakwaan, GeoResonance akan dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MH370.

"Terdapat terlalu banyak spekulasi di luar sana... adalah mustahil untuk memberi perhatian kepada semua.

"Bagaimanapun , misi pencarian ini masih lagi berjalan dan status quo adalah kekal," katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera di Wisma Pertahanan di sini, Isnin.

GeoResonance yang berpangkalan di Adelaide pada Isnin berkata, ia mula melakukan pencarian sendiri pada 10 Mac lalu, dua hari selepas pesawat MH370 hilang, dan bangkai pesawat mungkin dikesan di Teluk Bengal, kira-kira 5,000 km dari lokasi pencarian semasa di selatan Lautan Hindi , di barat Perth.

Pencarian GeoResonance itu meliputi 2,000,000 kilometer persegi zon kemungkinan berlakunya nahas, menggunakan imej yang diperolehi dari satelit dan pesawat, dengan pakar-pakar sains syarikat itu menumpukan usaha mereka di utara dari lokasi terakhir MH370 yang diketahui, menggunakan lebih 20 teknologi untuk menganalisis data yang termasuk reaktor nuklear.

Tuesday, 29 April 2014

LIMA MAHASISWI BERADA DALAM KETAKUTAN DIGANGGU LELAKI MISTERI !!!

DUA pelajar yang menyewa rumah berkenaan menunjukkan kertas amaran yang ditampal di luar tingkap.
SEGAMAT: Lima pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tinggal menyewa di sebuah rumah di Jalan Segamat-Muar di sini, kini bukan sahaja hidup dalam kebingungan dan ketakutan, malah tidak lena tidur malam kerana terpaksa berdepan dengan gangguan misteri sejak awal tahun ini.

Penuntut IPTA terbabit mendakwa gangguan mereka hadapi itu disyaki dilakukan seorang lelaki yang dipercayai tinggal di kawasan berdekatan rumah sewa mereka.

Antara kejadian yang menimbulkan kebimbangan penghuni ialah apabila sering berlaku kecurian pakaian dalam yang dijemur di ampaian dan tidak kurang juga bunyi seseorang mengetuk tingkap bilik tidur pada tengah malam ketika mereka baru melelapkan mata.

Seorang penghuni rumah sewa berkenaan yang dikenali sebagai Nur, 21, berkata, dia dan empat rakan menyewa di rumah berkenaan sejak setahun lalu kerana kedudukannya di tepi jalan dan memudahkan mereka ke kampus dengan menaiki bas yang disediakan pihak pengurusan universiti.

Bagaimanapun, dia mendakwa berlaku pelbagai kejadian pelik sejak awal tahun ini yang membuatkan mereka keliru sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan unsur mistik atau dilakukan oleh lelaki gila seks.

“Bermula dengan kehilangan pakaian dalam dari ampaian, kehidupan kami di rumah ini tidak tenteram, malah ada sahaja gangguan yang membuatkan kami semua ketakutan.

“Pernah sekali rakan serumah ternampak kelibat lelaki sedang mengibas seluar dalam di belakang bilik tidur kami pada tengah malam. Saya tidak tahu sama ada perbuatan lelaki tidak dikenali itu bertujuan mempraktikkan ilmu songsang atau sebaliknya, tetapi insiden itu cukup untuk membuatkan kami tidak lena tidur malam,” katanya ketika ditemui semalam.
HM

WANITA DIPUKAU LELAKI BERKOPIAH !!!


JENGKA - Seorang warga emas berusia 58 tahun kerugian hampir RM2,000 selepas mendakwa dipukau seorang lelaki berkopiah di kaki lima berdekatan sebuah kedai emas di Bandar Tun Razak Jengka dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa yang sendirian mahu ke sebuah bank terkejut apabila barang kemas miliknya bertukar menjadi duit syiling 55 sen.

Mangsa, Wan Minah Muhamad berkata, dia ke bank berkenaan untuk membuat kad bank baharu ekoran yang lama ditelan mesin pengeluar wang pada malam kelmarin.

Menurutnya, ketika menunggu waktu bank beroperasi di kaki lima premis berkenaan, seorang lelaki berkopiah tidak dikenali menepuk bahunya.

“Lelaki dalam lingkungan 50an itu memberitahu datang dari Klang dan ke sini untuk berjumpa dengan seorang ustaz.

“Dia bertanyakan kepada saya sama ada kenal atau tidak ustaz itu dan pada masa sama, datang seorang lagi lelaki dari arah hadapan menuju ke kami.

“Soalan sama ditujukan kepada lelaki yang baru datang tadi dan kami berdua cakap tidak kenal dengan ustaz yang dimaksudkan,” katanya.

Wan Minah berkata, lelaki berkopiah itu memberi sebuah permata mempunyai tulisan jawi sebagai tanda terima kasih di atas persoalan ditanya tadi.

Menurutnya, permata itu didakwa memiliki keistimewaan termasuk memberi kekebalan dan perlindungan.

“Lelaki berkopiah itu menunjukkan bukti dengan menoreh tangan seorang lagi lelaki bersama tadi menggunakan pisau.

“Kemudian diuji pula ke tangan saya dan memang tidak luka atau berdarah selepas ditoreh pisau.

“Lelaki berkopiah itu memberitahu bahawa barang kemas tidak boleh dipakai dan meminta saya menyerahkan cincin serta gelang emas,” katanya.

Mangsa berkata, barang kemas dipakai itu diambil sendiri oleh lelaki berkopiah tersebut lalu meletakkan di dalam satu sampul surat bersama batu permata.

Menurutnya,  sampul surat tersebut diserahkan kembali dan mengingatkan mangsa agar membuka sebaik pulang ke rumah.

“Lepas beberapa minit lelaki berkopiah dan seorang lagi lelaki tadi yang saya syak bersubahat sama pergi, saya rasa tidak sedap hati lalu membuka sampul surat berkenaan.

“Cincin dan gelang emas saya sudah tiada sebaliknya hanya ada duit syiling 55 sen di dalam sampul itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka.
SH

RUMAH WARGA EMAS MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KOTA BHARU !!!


KOTA BHARU: Sebuah rumah papan yang disewa tiga warga emas musnah dalam satu kebakaran di Jalan Sultanah Zainab di sini, kira-kira jam 9.43 pagi ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Rahmat Kamarulzaman, berkata semua penghuninya dapat menyelamatkan diri. 

"Kita dapat maklumat daripada orang awam bahawa kebakaran bermula dari bilik hadapan yang didiami oleh warga emas dan dianggarkan rumah itu berusia lebih 50 tahun. 

"Enam jentera dari balai bomba dan penyelamat Darul Naim, Kota Bharu dan Tunjung bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Katanya, bomba dapat memadamkan api dalam tempoh sejam dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat. 

Sementara itu, seorang mangsa Foo Mee Chin, 59, berkata ketika kejadian dia dan suami berada di tingkat bawah rumahnya sebelum menyedari terdapat asap di bahagian bumbung rumah mereka. 

"Saya sedang mengikat bakul pada motosikal untuk ke pasar menghantar sayur... Selepas itu, kedengaran seperti bunyi plastik terbakar dan saya tengok bumbung bilik bersebelahan berasap, kemudian saya panggil suami untuk menghubungi bomba," katanya.
BERNAMA

PAS PERLU BINCANG ISU HUDUD DENGAN PR TERLEBIH DAHULU - ANWAR


Malaysia masih belum mempunyai institusi yang sesuai untuk melaksanakan hukum hudud Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, ekoran perkara itu, PAS seharusnya berbincang bersama rakan komponen mereka daripada Pakatan Rakyat (PR) sebelum membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 di Parlimen.

“Kita tidak boleh membayangkan situasi apabila kita cuba laksanakan sesuatu yang kita anggap penting kepada agama, sedangkan tiada institusi untuknya,” kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Anwar berkata, sistem kehakiman di negara ini juga masih mempunyai kelemahan dari aspek perundangannya, sekaligus menyukarkan ?implementasi hudud di mahkamah.

“Kita tidak boleh bicara soal hudud sedangkan sistem penghakiman kita masih tidak bebas. Saya boleh kemukakan banyak? contoh, termasuk Mahkamah Syariah.

“Siapa yang akan laksanakan hudud? Hakim bagaimana? Adakah mereka bebas?” katanya kepada pemberita apabila disoal tentang persediaan Malaysia untuk melaksanakan hudud.

?Pemimpin pembangkang itu juga berkata, PAS perlu membawa isu hudud kepada perbincangan Majlis Pimpinan PR bagi menjelaskan semua isu tersebut.

“Dan tentunya dalam soal hudud ini, pendirian PAS yang konsisten menjadi kontroversi kerana mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen.

“Sebab itu kita putuskan ia dibincangkan di Majlis Pimpinan PR,” kata Anwar kepada pemberita.
The Malaysian Insider

ISTERI MUDA MELAMBUNG DISEPAK SUAMI TOLAK BERASMARA !!!


Perbalahan isu remeh-temeh, termasuk keengganan isteri melayan kemahuan seks, dikenal pasti antara punca golongan suami di negara ini tergamak mendera serta memukul isteri tanpa belas kasihan.

Malah, isu membabitkan keganasan rumah tangga semakin kritikal apabila masalah kewangan serta peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan golongan suami hilang kawalan hingga tergamak membunuh isteri.

Ketua Unit Seksual, Bahagian Jenayah Seksual dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Deputi Superintendan Zaiton Che Lah berkata, sebanyak 27 hingga 32 peratus jenis jenayah kekerasan dan penderaan dilakukan mendatangkan kecederaan, manakala 30 hingga 36 peratus lagi adalah ugutan jenayah.

Menurutnya, siasatan mendapati 53 hingga 68 peratus punca penderaan disebabkan perselisihan faham dan 13.5 hingga 17 peratus akibat masalah kewangan membabitkan mangsa yang kebanyakannya suri rumah.

“Suspek biasanya dalam kalangan suami yang bekerja sendiri, swasta dan penganggur.

“Antara punca dilaporkan sering menyebabkan suami isteri berselisih faham ialah tertekan dengan kerenah anak. Isteri biasanya menjadi mangsa dipukul apabila meminta wang bagi memenuhi keperluan anak,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan penderitaan seorang isteri muda, termasuk melambung disepak suami, gara-gara menolak paksaan lelaki itu supaya melacur bagi mencari wang mudah membayar hutang judi.
ihtmalaysia

MH370: JURUTERBANG DAKWA TEMUI PESAWAT TERHEMPAS !!!

SEORANG juruterbang dari New York mendakwa telah menemui serpihan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu di lautan berhampiran pantai Thailand.
Michael Hoebel, 60, mendakwa telah menemui imej serpihan itu selepas membuat pencarian menerusi ribuan imej pelbagai stelit yang terdapat di sekitar laluan pesawat berkenaan.
Juruterbang dari Tonawanda itu berkata, dia terkejut dengan imej yang diperolehi dan percaya pesawat dalam air itu telah terhempas sejak dua bulan lalu di timur laut pantai Malaysia iaitu lokasi ia dikesan melakukan lencongan.
Jelasnya, imej satelit tersebut dirakam pada 10 Mac iaitu dua hari selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang.
Ditanya mengenai kemungkinan imej itu merupakan banyangan seekor ikan yu, Hoebel menyoal," adakah seekor ikan yu sepanjang 21 kaki (6.4 meter) boleh didapati di lautan tersebut".
Lelaki itu juga yakin imej tersebut merupakan pesawat MH370 yang didakwa berakhir di Lautan Hindi baru-baru ini. 
MStar

BR1M ; PERMOHONAN RAYUAN DILANJUTKAN SEHINGGA 31 MEI !!!



SHAH ALAM – Permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini bagi memberi lebih peluang kepada mana-mana individu yang layak mengemukakan rayuan masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sehingga 20 April lepas, kerajaan menerima sebanyak 246,911 rayuan BR1M daripada mereka yang tidak terpilih sebagai penerima.

“Sebelum ini, kementerian ada menghantar surat kepada pemohon yang gagal mendapatkan BR1M dengan menyatakan sebab mengapa permohonan mereka ditolak.

“Jadi bagi rayuan ini, mereka perlu sertakan dokumen sokongan mengikut sebab penolakan tersebut bersama-sama borang rayuan BR1M sebagai bukti yang mereka sebenarnya layak terima bantuan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memuat turun borang rayuan di laman web LHDN dan setiap rayuan mesti disertakan dokumen sokongan untuk pertimbangan.

Ahmad berkata bagi tempoh sehingga 20 April lepas, peruntukan sebanyak RM2.47 bilion diagihkan kepada 3,805,643 penerima BR1M berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah manakala perbelanjaan sebanyak RM633.8 juta pula digunakan untuk bayaran kepada 2,112,906 individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.

Katanya bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, kerajaan membelanjakan sebanyak RM157 juta untuk diagihkan kepada 349,226 penerima layak.

“Sehingga kini, kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion kepada 6.5 juta penerima BR1M seluruh negara, jadi mana-mana individu yang merasakan mereka layak mendapatkan bantuan itu, segera kemukakan rayuan sebelum 31 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata pembayaran BR1M bagi permohonan rayuan hanya akan dilakukan selepas tarikh tutup rayuan itu.
BERNAMA